16 Sept: Perwakilan dijangka tuntut penjelasan-MALAYSIAKINI

Jimadie Shah Othman Nov 13, 08 10:54am



Kongres Nasional Tahunan PKR yang akan berlangsung hujung bulan ini dijangka menjadi medan bagi para perwakilan untuk mendapatkan penjelasan mengenai projek peralihan kuasa 16 September yang diusahakan penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim."Ia akan menjadi landasan bagi memulihkan keyakinan rakyat yang agak kecewa dengan projek 16 September," kata ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu Khalid Jaafar.


Menurutnya, penjelasan tersebut penting bagi menangani persepsi rakyat apabila rancangan untuk mengambil alih kuasa pada tarikh tersebut, tidak menjadi kenyataan.Projek mengambil alih kuasa itu, menurut Khalid, telah menjadi wacana dalam masyarakat dan terdapat tuntutan supaya perkara itu disegerakan."Selama ini mereka prnah bincang tentang proses (peralihan kuasa). Sekarang ini, bukan saja berbincang tentang proses (mengambil alih kuasa), tetapi kalau boleh hendak cepat," kata Khalid yang juga bekas setiausaha akhbar Anwar.Kira-kira 2000 perwakilan PKR daripada lebih 160 bahagian akan bersidang pada 29 dan 30 November ini di Stadium Melawati Shah Alam.


Kongres kali ini menjadi tumpuan kerana ia adalah yang pertama diadakan selepas pilihanraya umum Mac lalu.Gerak tenaga partiPKR adalah parti dominan dalam gabungan Pakatan Rakyat yang memerintah di lima negeri yang dimenanginya dalam pilihanraya umum lalu.Dihubungi Malaysiakini semalam, Khalid berkata, peralihan kuasa dalam Umno juga dijangka turut disentuh dalam ucapan Anwar."Saya difahamkan Anwar akan buat beberapa pembaharuan dalam aspek tema dan cara organisasi parti."Kongres ini bukan sekadar acara tahunan, tetapi mesti menggerakkan tenaga parti kerana kita akan menghadapi suasana getir Mac 2009 di mana berlaku peralihan kuasa dalam Umno."Saya percaya, bukan sahaja PKR, ia turut memberi kesan terhadap parti-parti lain dalam Pakatan," katanya yang juga ketua bahagian Bukit Katil, Melaka.



Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung PKR, Abdul Halim Mohamed Yusof berkata kongres bertemakan "Harapan Baru" itu akan memfokuskan isu pemantapan parti dari aspek keahlian.Katanya, perkara itu menjadi keperluan bagi menghadapai kemungkinan pembubaran Parlimen apabila peralihan kuasa kelak.Beberapa pindaaan teknikal terhadap cawangan juga akan dibuat, tambahn Abdul Halim.