"Saya tidak ingat" - Mahathir


Wan Nordin Wan Yaacob | Foto Nasir Sudin
Thu | Jan 17, 08 | 12:52:44 pm MYT

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Hrkh) - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad buat pertama kalinya hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebagai saksi siasatan kes skandal kehakiman 'Pita Lingam' yang dikendalikan Suruhanjaya Siasatan DiRaja hari ini.

Sebelum masuk ke kandang saksi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pegawai mahkamah kelihatan menyediakan air mineral dan sekotak tisu di atas meja kandang saksi.

Mahathir diwakili oleh tiga peguam, Tengku Sofia Jewa, Dato' Dr Yaakob Hussin Marican dan Dato' M Chandran.

Sementara beberepa peguam lain mewakili anak guaman masing-masing antaranya, peguam bagi Tun Mohamed Dzaidin Abdullah, Wong Choo Wah dan peguam bagi Dato' Seri Anwar Ibrahim, M Puravelan.

Beberapa persoalan yang dihadapkan oleh peguam yang mewakili pelbagai pihak mengenai pelantikan hakim hanya dijawab Mahathir dengan jawapan 'saya

tidak ingat' selain 'saya tidak boleh beri penjelasan mengenai alasan mengapa saya tolak cadangan'.

Soalan antaranya menjurus kepada pelantikan Hakim Besar Malaya, Ketua Hakim Negara dan penolakan dua nama bagi jawatan Hakim Mahkamah Tinggi.Soalan juga menjurus kepada mengenai pelantikan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim yang dicadangkan oleh Tun Dzaidin dalam salah satu surat cadangan kepada Mahathir.

Mahathir mengakui ada menerima dan mengutus beberapa surat kepada Dzaidin mengenai cadangan pelantikan hakim-hakim kanan.

Dalam proses pelantikan Hakim Mahkamah Tinggi, Mahathir mengakui menolak dua nama bagi jawatan tersebut iaitu, Dr Andrew Chew dan Zainuddin Ismail.

Sementara tiga nama yang disetujui bagi jawatan Hakim Mahkamah Tinggi ialah, Dato' Heliliah Mohd. Yusof, Dato' Ramly Ali dan Dato' Ahmad Maarop.

Semalam, surat menyurat antara Mahathir dengan bekas Ketua Hakim Negara (Dzaidin) dikemukakan kepada suruhanjaya tersebut.

Sepucuk daripadanya menunjukkan Mahathir menolak dua nama yang dicadangkan oleh Dzaidin iaitu, Dr Andrew Chew dan Zainudin Ismail.

Dalam rakaman perbualan Lingam meramalkan bahawa Chew dan Zainudin tidak akan dilantik kerana mereka dari 'kem Dzaidin'.

Bila tanya mengapa nama Chew dan Zainudin digugurkan, Dr Mahathir memberitahu suruhanjaya tersebut yang beliau tidak ingat sebab-sebabnya.

Beliau juga mengakui menolak cadangan Dzaidin berhubung pelantikan Dato' Malek Ahmad sebagai Hakim Besar Malaya setelah Tun Ahmad Fairuz mengosongkan jawatan itu untuk dicadangkan menjadi Presiden Hakim Mahkamah Rayuan.

Mahathir dengan tegas menyatakan bahawa dalam membuat penilaian terhadap pelantikan hakim-hakim kanan, beliau ada mendapat pandangan dari pelbagai pihak.

Ini termasuk orang yang berpengetahuan undang-undang, pegawai kerajaan dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) selain mendengar pandangan daripada khalayak yang datang dalam program-program sosial, katanya.

Begitupun beliau menyatakan, keputusan akhir untuk pelantikan hakim-hakim tetap akan dibuatnya sendiri.

Beliau juga mengakui ada menerima memorandum dan surat dari pelbagai pihak termasuk bekas Ketua Hakim Negara, Tun Eusoff Chin ketika berkhidmat sebagai Perdana Menteri, namun tidak mengesahkan kandungan memo dan tidak ingat tarikh memo diterima.

"Mungkin ada surat dari Tun Eusoff Chin, walaupun saya tidak ingat," katanya.

Sementara semasa ditanya oleh salah seorang peguam mengenai hubungkaitnya dengan peguam terkemuka, Dato' VK Lingam, Mahathir mengakui hubungan dengan peguam itu sebagai anak guaman.

Beliau mengenali Lingam sebagai seorang peguam yang bagus yang mengendalikan beberapa kes ketika beliau masih menjadi Perdana Menteri.

Beliau seterusnya mengakui ada mengambil khidmat Lingam dalam kes saman Dato' Seri Anwar Ibrahim terhadapnya beberapa tahun lalu.

Mahathir yang menjawab soalan-soalan berdasarkan beberapa dokumen mengenai surat-surat cadangan antara beliau dan Dzaidin dengan kaitannya berdasarkan rakaman perbualan Lingam beberapa kali menyatakan "saya tidak ingat" .

Mahathir seterusnya ditanya mengenai satu pertemuan yang turut dihadiri oleh ahli perniagaan, Vincent Tan, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Tengku Adnan Tengku Mansor (kini Menteri Pelancongan) dan pada tahun 2001 di sebuah hotel di Lembah Klang,

Mahathir mengakui kenal dengan Vincent Tan dan mempunyai hubungan baik dengan ahli perniagaan itu.

Menjawab soalan peguam Anwar, Mahathir berkata, terlalu banyak pertemuan dengan banyak pihak diadakan namun beliau tidak ingat tentang pertemuan yang diperkatakan itu.

Beliau juga ditanya mengenai sebarang kemungkinan ada pihak yang ada 'akses' untuk melihat surat-surat rahsia mengenai pelantikan hakim-hakim.

Mahathir hanya menyatakan ada pihak termasuk jurutaip, pegawai yang berkenaan dan menteri yang ada kena-mengena dengan urusan itu sahaja yang mungkin boleh melihat.

Prosiding ke atas Mahathir berakhir pada jam 11.25 pagi tadi selepas beberapa peguam termasuk Timbalan Pendakwaraya, Nordin Hassan mengemukakan soalan kepada bekas Perdana Menteri itu.

Semalam Suruhanjaya Diraja yang menyiasat skandal kehakiman 'Pita Lingam' diberitahu mengenai pertukaran surat antara bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkaitan dengan pelantikan hakim-hakim Mahkamah Tinggi pada tahun 2001.

Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman, telah diminta memberi keterangan saksi untuk menyahihkan surat-surat tersebut di hadapan lima pesuruhjaya siasatan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

Dalam satu surat bertarikh 2 Oktober 2001, Mohamed Dzaiddin telah mengemukakan lima calon untuk menjadi Hakim Mahkamah Tinggi kepada bekas Perdana Menteri.

Suruhanjaya Siasatan DiRaja yang bersidang bagi hari yang keempat hari ini menghentikan prosiding selepas Mahatahir tamat memberi keterangan pagi tadi.

Siasatan akan bermula semula jam 2.30 petang ini di hadapan lima pesuruhjaya yang mengendalikan siasatan itu, antaranya Tan Sri Haidar Mohamad Noor; Prof Emeritus Khoo Kay Kim; Zaiton Zawiyah Puteh, Dato' Mahadev Shankar dan Tan Sri Steve Shim. - mks.