Polis sekat perhimpunan penyokong Hindraf di Kamunting

Andrew Ong | Dec 16, 07 6:59pm

Polis hari ini menghalang para penyokong Hindraf daripada mengadakan perhimpunan di Pusat Tahanan Kamunting di mana keluarga lima pemimpin Hindraf yang sedang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di situ mahu mengadakan upacara sembahyang.

Polis mengambil pendekatan memujuk dan psikologi untuk menghalang penyokong Hindraf daripada berhimpun di kawasan tersebut -- berbeza dengan kebiasaannya di mana gas pemedih mata dan meriam air digunakan untuk menyuraikan orangramai seperti dalam perhimpunan Hindraf dan Bersih di ibunegara bulan lalu.

Bagaimanapun, sekurang-kurangnya lima trak Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan sebuah trak meriam air ditempat di sebuah kompleks sukan yang terletak kira-kira 100 meter dari pusat tahanan tersebut.

Sejak awal pagi lagi, beberapa sekatan jalanraya diadakan dekat pusat tahanan tersebut di mana setiap polis mengambil butiran diri pengguna dan penumpang kenderaan keturunan India.

“Saya bagi tahu mereka yang kami mahu pergi ke pusat tahanan tersebut. Seorang anggota polis wanita berkata, mereka telah menahan 50 orang dan berkata, saya boleh pergi atas risiko sendiri," kata seorang penyokong Hindraf dari Kuala Lumpur.

Beberapa penyokong Hindraf turut memberitahu perkara yang sama kepada Malaysiakini, tetapi Ketua Polis Taiping, ACP Raja Musa Raja Razak, berkata tidak ada tangkapan dibuat pagi tadi.

Usaha memujuk

Penyokong dari pelbagai negeri datang ke Kamunting selepas mendapatkan tahu yang keluarga lima pemimpin Hindraf yang ditahan di situ, akan mengadakan upacara bersembahyang hari ini.

Di Kamunting, Raja Musa dan anggotanya sibuk meminta kumpulan-kumpulan kecil penyokong Hindraf supaya bersurai dari situ.

Beliau sebaliknya meminta mereka pergi ke kuil berhampiran untuk mengadakan upacara sembahyang di sana.

Kerana tidak dapat berhimpun di pusat tahanan tersebut, keluarga tahanan serta para penyokong bergerak ke Kuil Sri Mariamman dekat situ di mana mereka melepaskan 36 burung merpati sebagai tanda simbolik menuntut pembebasan mereka.

Selain lima pemimpin Hindraf yang ditahan di situ, 31 orang lagi penyokong Hindraf ditahan reman selepas didakwa di mahkamah atas tuduhan cubaan membunuh.;

Upacara bersembahyang diadakan sebelum RS Thanenthiran diumumkan sebagai penyelaras baru, ekoran penahanan lima pemimpin Hindraf di bawah ISA.

“P Waythamoorthy masih lagi pengerusi Hindraf. Beliau akan memimpin dari luar negeri. Saya hanya menjaga halehwal Hindraf di sini sehingga kelima-lima pemimpin Hindraf itu dibebaskan," kata Thanenthiran kepada kira-kira 500 penyokong di kuil tersebut. Bagaimanapun, menurut pihak penganjur, sekurang-kurangnya 2,000 penyokong hadir.

Kuasa rakyat’

Kemudian, isteri tiga tahanan terbabit memberi ucapan ringkas yang penuh emosi, kepada mereka yang berhimpun di situ.

Penyokong Hindraf yang lain turut memberi ucapan ringkas yang disambut dengan laungan 'Hidup Hindra' dan 'Hidup Makkal Sakhti (kuasa rakyat)'.

Selepas berhimpunan selama sejam, orang ramai bersurai secara aman.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Thanenthiran (kiri) berkata, perhimpunan hari ini diadakan sebagai tanda sokongan kepada lima pemimpin Hindraf yang ditahan di situ serta keluarga mereka.

Beliau menggesa kerajaan sama ada menghadapkan lima pemimpin Hindraf itu ke mahkamah atau membebaskan mereka.
Berita asal


(Foto oleh Andrew Ong)