Percubaan mengheret PAS dalam isu Hindraf

Amin Iskandar | Dec 4, 07 6:50pm

Sepuluh hari selepas perhimpunan Hindraf (Hindu Rights Action Force), media arus perdana masih lagi bercerita tentangnya. Hindraf bukan sahaja telah berjaya mendapatkan perhatian di dalam negara, tetapi juga berjaya menyampaikan mesej mereka di peringkat antarabangsa.

Hindraf telah menyebabkan pemimpin kerajaan, terutamanya pemimpin Umno panik dan menggelabah. Ramai yang melenting dengan perhimpunan dan tuntutan Hindraf. Yang paling ektrim dalam menjawab isu Hindraf ini ialah Nazri Aziz dan Zainuddin Maidin. Nazri dan Zainuddin kedua-duanya bersependapat bahawa Hindraf tidak layak berjumpa denganPerdana Menteri.

Berikut adalah kenyataan Nazri:

KUALA LUMPUR 3 Dis. – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, beliau berpendapat pemimpin Hindu Rights Action Force (Hindraf) tidak perlu berjumpa dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana mereka telah melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang negara dengan menganjurkan perhimpunan haram di ibu negara bulan lepas.

“Saya tidak ada bantahan sekiranya Perdana Menteri bersetuju untuk berjumpa dengan mereka tapi kerajaan tidak perlu tunduk kepada ugutan sesiapa kerana selama ini tiada kaum yang dipinggirkan di Malaysia,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini ketika diminta mengulas hasrat Hindraf untuk menemui Abdullah bagi berbincang mengenai masalah yang dihadapi oleh masyarakat India di Malaysia (
Utusan Malaysia, 4 Disember 2007).

Manakala Zam pula berkata:

“Bukan taraf seorang Perdana Menteri untuk bertemu dengan sebuah pertubuhan yang hina dan mempunyai taraf yang rendah kerana bertindak seperti samseng jalanan dengan melanggar undang-undang negara,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat media di Pameran Antarabangsa Maritim dan Udara Langkawi (LIMA) di sini, hari ini.

Zainuddin berkata, bukanlah taraf bagi seorang Perdana Menteri untuk bertemu dengan golongan yang telah menimbulkan huru-hara dan menggunakan cara kekerasan untuk mengugut kerajaan (
Utusan Malaysia, 4 Disember 2007).

Hairan bin ajaib. Hindraf pada mulanya diserang oleh kerana mereka dikatakan telah membelakangkan pemimpin negara akibat dari tindakan menghantar memorandum kepada kerajaan British. Dan sekarang apabila mereka mahu bertemu dengan Perdana Menteri, mereka diperlekehkan pula oleh pemimpin kerajaan. Ternyatalah bahawa perhimpunan Hindraf telah berjaya memberikan kesan yang mendalam kepada pemimpin Umno.

Percubaan mengheret PAS

Selepas perhimpunan Hindraf, ramai pihak telah menuding jari kepada kerajaan Barisan Nasional (BN). Kerajaan BN dikatakan gagal untuk memerintah Malaysia dengan baik oleh kerana selepas 50 tahun Merdeka, masih ada lagi kaum minoriti yang mengatakan mereka dipinggirkan. Dengan hanya satu perhimpunan yang dianjurkan oleh Hindraf telah menyebabkan keharmonian antara kaum yang sentiasa diwar-warkan oleh kerajaan BN di peringkat antarabangsa, mula diragui.

Sejak awal lagi Umno melalui Ketua Pemudanya, Hishamuddin Tun Hussein telah mengeluarkan kenyataan meminta PAS menyatakan pendirian mereka berhubung dengan isu Hindraf. Mengapa Ketua Pemuda Umno itu beriya-iya mahukan PAS terlibat sama dalam kemelut Hindraf?

Jawapannya tidak lain tidak bukan ialah untuk mengheret PAS terlibat sama dalam masalah Umno. Jika Umno dapat mengheret PAS dengan menggunakan isu Melayu dan agama Islam, secara tidak langsung pencabar utama Umno itu akan bersama-sama membantu menyelesaikan masalah yang berlaku akibat daripada politik perkauman yang diwarisi daripada penjajah British itu.

Kerajaan campuran

Khabar-khabar angin juga telah bertiup mengatakan bahawa PAS sedang berunding dengan Umno untuk mengadakan kerajaan campuran dalam pilihanraya umum akan datang. Dari segi sejarah politik Malaysia, ini pernah berlaku. Selepas berlakunya tragedi berdarah 13 Mei 1969, PAS telah menyertai BN dalam tahun 1974. Malahan, Tan Sri Datuk Asri bin Haji Muda pernah dilantik menjadi Menteri Pembangunan Tanah dan Kemajuan Wilayah.

Ini yang mendorong khabar-khabar angin bahawa PAS dan Umno akan mendirikan kerajaan campuran. Asas kepada khabar angin ini ialah orang Melayu telah dicabar.

Namun Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa telah menafikan bahawa ada usaha di antara PAS dan Umno untuk mendirikan kerajaan campuran. Beliau berkata bahawa pimpinan PAS ada bertemu dengan pimpinan Umno untuk membincangkan mengenai isu kepentingan Melayu-Islam tetapi tidak pernah berbincang mengenai kerajaan campuran.

PAS ternyata sudah bijak dalam menangani provokasi. Gandingan golongan Ulama dan golongan profesional telah menunjukkan bahawa parti Melayu yang menjadi pencabar utama kepada Umno itu tidak lagi mudah untuk dipengaruhi dengan isu-isu dan masalah-masalah Umno.

Selepas berjaya membuka mata dunia dengan kecekapan anggota Unit Amal dalam memastikan perhimpunan Bersih pada 10 November berjalan dengan aman, PAS sekali lagi menunjukkan kebijaksanaan mereka berpolitik dalam isu Hindraf ini dengan tidak melenting secara melulu.

Setiausaha Akhbar kepada Presiden PAS, Roslan Shahrir mengatakan bahawa Umno, MIC dan BN telah terperangkap dalam isu Hindraf oleh kerana selama ini, undi daripada Masyarakat India merupakan tunggak kepada kekuatan BN. Sebagai contoh ialah apa yang berlaku dalam pilihanraya kecil Ijok di mana BN dapat mengalahkan PKR dengan bantuan undi masyarakat India.

Selain daripada itu, Presiden PAS sendiri telah menggeluarkan kenyataan mengenai isu Hindraf. Berikut adalah petikan kenyataan beliau.

“PAS dengan ini menyeru seluruh rakyat Malaysia agar tidak terpengaruh dengan mainan pihak media yang didalangi oleh Umno dan Barisan Nasional yang cuba mencetuskan ketegangan kaum bagi tujuan meraih undi rakyat dalam pilihanraya umum yang akan datang. Akhirnya yang menjadi mangsa adalah rakyat dan pimpinan parti-parti pembangkang sebagaimana semasa "Operasi Lalang" tahun 1987 dahulu.”

Nampaknya usaha Umno untuk mengheret PAS untuk bersama-sama mereka dalam menangani isu Hindraf telah gagal. Apa lagi selepas ini


No comments: