Semenjak negara bebas daripada penjajahan pada tahun 1957, majoriti dua pertiga Barisan Nasional (yang dahulunya dikenali sebagai Perikatan) hanya sekali sahaja pernah dinafikan, iaitu pada pilihanraya umum 1969.
Walaubagaimanapun, keputusan pilihanraya tersebut digantung dan darurat diisytiharkan akibat berlakunya rusuhan kaum. Rusuhan yang berlaku empat tahun selepas terbentuknya Malaysia itu telah menyebabkan Majlis Gerakan Negara (Mageran) ditubuhkan dan Tun Abdul Razak Hussein mengambilalih kepimpinan negara daripada Tunku Abdul Rahman.
Selepas itu majoriti dua pertiga BN tidak pernah tergugat. Ini memudahkan BN untuk menggubal atau meminda apa sahaja undang-undang yang ada di negara ini. Semalam, sekali lagi BN telah meminda undang-undang untuk membenarkan pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bersara pada usia 66 tahun. Maka, Tan Sri Rashid Abdul Rahman yang seharusnya bersara pada hujung tahun ini, dapat berkhidmat setahun lagi sehingga tahun 2008.
Ertinya, Rashid akan sempat meggendalikan pilihanraya umum ke-12 akan datang. Walaupun telah dikritik hebat oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan parti pembangkang, kuasa dua pertiga di Parlimen tetap digunakan oleh BN untuk memastikan Rashid terus bertahan. Telah terbukti bahawa Rashid begitu penting bagi BN dalam pilihanraya akan datang. Enam belas ahli Parlimen pembangkang DAP dan PAS telah bertindak keluar dari dewan sebagai memprotes pindaan tersebut serta penangkapan 24 orang penyokong Bersih (Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil).
Pihak polis mengadakan sekatan jalanraya untuk menghalang rakyat pergi ke parlimen. Pintu masuk ke Parlimen dipenuhi anggota polis dan kawat dawai dipasang untuk menakut-nakutkan sesiapa sahaja yang cuba hadir memberi sokongan kepada wakil Bersih untuk memorandum bantahan kepada Parlimen berhubung pindaan perlembagaan tersebut.
Tian Chua, Razak Ismail, Dr Hatta, Dr Nasir, Arutchelvan, Dr Lo'Lo', Nasruddin Tantawi dan beberapa orang lagi ditahan dan diheret dengan ganas oleh pihak polis. Apakah dosa besar mereka sehingga diperlakukan seperti penjenayah besar?
Saya menyaksikan sendiri bagaimana mereka ditahan. Tian dan Razak ditahan kerana mereka mahu ke parlimen. Arutchelvan dan Sivarajan ditahan ketika baru sampai di luar parlimen. Manakala Dr Hatta, Dr Nasir, Nashruddin Tantawi, Dr Lo'Lo' serta beberapa orang lagi, termasuk seorang remaja berusia 13 tahun, ditahan ketika bersama-sama dengan Dr Hatta memberikan kenyataan kepada media.
Abdullah kelihatan begitu terdesak apabila polis digunakan sepertimana tentera Myanmar dipergunakan oleh Regim Junta untuk menangani aktivis pro-demokrasi. Sekarang telah jelas mengapa Malaysia tidak mengkritik Myanmar apabila tembakan dilepaskan kepada aktivis pro-demokrasi. Di Malaysia taktik yang sama digunakan. Tembakan telah dilepaskan seperti apa yang berlaku di Batu Burok, beberapa bulan yang lalu.
Ketidakadilan pilihanraya
Pilihanraya di Malaysia telah jelas tidak akan dirombak. Kontrak Rashid yang dilanjutkan memberikan tamparan hebat kepada NGO dan parti pembangkang yang bergabung dibawah Bersih. Tuntutan mereka agar pilihanraya di Malaysia dijalankan secara bebas dan adil hanya tinggal harapan. Abdullah dan BN jelas tidak mahu sebarang perubahan terhadap sistem pilihanraya di Malaysia. Bagi Abdullah, dakwat hitam dan peti undi lut sinar sudah cukup untuk menjamin kebersihan pilihanraya.
Tidak ada tanda-tanda bahawa demokrasi di Malaysia ini akan pulih selagi BN terus memegang majoriti dua pertiga di Parlimen. Tidak ada tanda-tanda juga bahawa parti pembangkang akan dapat menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen melalui sistem pilihanraya yang ada sekarang. Tarikh pilihanraya yang hanya diketahui oleh Perdana Menteri adalah satu contoh ketidakadilan pilihanraya. Sekiranya pilihanraya di Malaysia adil, semua pihak seharusnya tahu bila tarikh pilihanraya akan datang, sepertimana pilihanraya yang dijalankan dinegara-negara jiran.
Belum lagi kita bincangkan soal media, penggunaan jentera kerajaan dalam pilihanraya, perbelanjaan kempen pilihanraya, neutraliti polis dan pegawai kerajaan. Pendek kata, jika Malaysia membenarkan kemasukan pemantau pilihanraya antarabangsa, sudah pasti seribu satu macam kesalahan pilihanraya akan ditemui.
Pemantau-pemantau antarabangsa sudah pasti akan mengadu keletihan akibat terlalu banyak yang harus direkodkan. Sedangkan jika memantau pilihanraya di negara-negara jiran seperti Filipina, Indonesia dan Korea Selatan, mereka sering mengadu bahawa sukar untuk mencari kesalahan pilihanraya. Sebab itu - seperti yang dilakukan oleh Regim Junta di Myanma r- Malaysia tidak akan membenarkan pemantau pilihanraya antarabangsa untuk menyaksikan perjalanan pilihanraya di negara ini.
Dalam memorandum yang disampaikan oleh Bersih kepada Parlimen, Rashid dikatakan tidak lagi layak untuk terus mengepalai SPR. Ini akibat daripada daftar pemilih yang masih lagi belum dibersihkan, pemindahan pengundi dari kawasan kubu kuat pembangkang, tindakan Rashid mempertikaikan keputusan mahkamah dalam pilihanraya Likas dan pelbagai lagi sebab.
Sekarang telah jelas, Rashid masih lagi sempat untuk mengepalai SPR dalam pilihanraya umum ke-12. Apakah tindakan yang akan dilakukan oleh NGO dan parti pembangkang yang bergabung dalam Bersih selepas ini? Terus menari mengikut rentak BN atau membuat rentak sendiri?
Memang benar ada pihak yang mendakwa bahawa sama ada Rashid ada atau tidak, sistem pilihanrayanya tetap sama. Akan tetapi apabila melihat sejarah Rashid, memang patut dia dipertikaikan daripada terus mengepalai SPR. Rashid tanpa ragu-ragu telah mempertikaikan keputusan mahkamah dalam pilihanraya Likas.
'Udang di sebalik batu?'
Selain itu, tanpa segan silu Rashid pernah mengeluarkan kenyataan bahawa parti-parti pembangkang tidak akan menang dalam pilihanraya. Bayangkanlah seorang pengerusi SPR yang seharusnya bebas daripada memihak kepada mana-mana parti politik, menggeluarkan kenyataan bahawa parti-parti pembangkang tidak akan menang.
Selain itu Rashid juga sering mengeluarkan kenyataan yang bercanggah. Sebelum pilihanraya kecil Batu Talam pada tahun 2006, beliau mengatakan bahawa SPR perlu diberikan lebih kuasa untuk memastikan pilihanraya di Malaysia adil kepada semua pihak. Tidak berapa lama selepas itu beliau pula yang bersungguh-sungguh mengatakan bahawa tidak ada masalah dalam pilihanraya di Malaysia.
Atau mungkinkah kenyataannya sebelum Pilihanraya Kecil Batu Talam adalah "bargaining power" yang digunakan agar kontraknya dilanjutkan lagi? Sekarang Rashid telah berjaya untuk mengepalai SPR dalam tempoh setahun lagi. Apa yang akan beliau lakukan bagi membalas jasa ahli Parlimen BN yang memastikan beliau terus menjadi pengerusi SPR setahun lagi?
Salah satu perkara lagi yang harus dipersoalkan ialah mengapa BN beriya-iya mahukan Rashid terus mengepalai SPR? Apakah ada "udang di sebalik batu"? Apakah hanya Rashid yang mampu memastikan mandat besar yang diperolehi oleh BN pada tahun 2004, dapat dipertahankan?
Apakah perlu satu lagi perhimpunan yang lebih besar sebelum pilihanraya umum ke-12 untuk memastikan agar pilihanraya dapat dibersihkan. Lebih baik ia diadakan sebelum pilihanraya umum ke-12. Jika NGO dan parti-parti pembangkang hanya akan mengambil tindakan selepas keputusan pilihanraya umum ke-12 diumumkan, maka mereka sudah terlambat.
Malahan parti-parti pembangkang akan dikatakan hanya membuat bising selepas kalah dalam pilihanraya. Sekarang masa telah tiba untuk bertindak. Kekuatan rakyat haruslah dimobilisasi agar cita-cita untuk mendaulatkan demokrasi akan tercapai. |