Penipuan pilihan raya, Anwar tunjuk bukti kepada PM, SPR |
Wan Nordin Wan Yaacob |
KUALA LUMPUR, 28 Nov (Hrkh) - Mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim hari ini mengecam kepimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menafikan berlakunya penipuan dalam perjalanan pilihan raya di negara ini. |
Sambil melaungkan kekecewaan terhadap pemimpin Islam Hadhari itu beliau menyatakan bahawa penafian berterusan ini hanya akan menjejaskan imej Malaysia.
Anwar berkata demikian ketika mengadakan sidang media di pejabatnya di Petaling Jaya hari ini.Turut serta ialah, Pengerusi Mafrel, Abdul Malik Hussin dan Pegawai Khas Anwar, Din Merican.
Ini buktinya!
Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) mengemukakan dokumen-dokumen yang disebut sebagai bukti yang baginya 'mustahil' bagi SPR dan PM tidak mengetahuinya.
Anwar mendakwa telah menyerahkan satu surat kepada Perdana Menteri pada Jun 2006 berhubung bukti penyelewengan pilihan raya beserta laporan 'Sham Democracy' yang dibuat KeADILan mengenai penipuan pilihan raya 2004.
Laporan tersebut disokong dengan bukti yang telah pun ada dalam pengetahuan SPR sendiri seperti daftar pemilih yang tidak bersih dan tempoh berkempen pada pilihan raya 2004 yang paling pendek dalam sejarah pilihan raya di negara ini.
Anwar melampirkan bukti-bukti yang baginya adalah satu alasan kukuh SPR dan kerajaan Abdullah Ahmad Badawi perlu melihatnya dengan serius dan melakukan perubahan segera.
Antara bukti yang dinyatakan Anwar ialah :
1 : Pada tahun 1999, SPR mendakwa mereka tidak 'mempunyai masa yang mencukupi' untuk meluluskan daftar pengundi yang mendaftar pada Mei untuk pilihan raya yang berlansung pada November.Kelulusan katanya mengambil masa tiga bulan.Ini jelas sekali satu usaha yang terancang untuk menafikan seramai 680,000 pengundi baru ketika era reformasi (1998-1999).
2 : Pada tahun 2004, daerah mengundi tidak wujud ditemui di Parlimen Gombak, di mana wujud dua daerah mengundi dengan nama yang sama (Kemensah 098/18/04) tetapi memberikan dua keputusan yang berbeza.
3 : Pada tahun 2004 juga, rekod mencatatkan Ali Bin Omar (No.K/P 280903-02-5057), iaitu bapa kepada pemimpin KeADILan, Azmin Ali yang telah meninggal dunia pada tahun 2001 hadir mengundi pada tahun 2004 dengan mengundi BN.
4 : Pada pilihan raya 2004 juga, 37.6 peratus daripada pengundi di kawasan Parlimen Lembah Pantai didapati mempunyai alamat yang tidak boleh dikesan.Menurut daftar pengundi seramai 141 pengundi mendaftar di satu alamat iaitu di sebuah kedai kecil beratap zink di lot 4742 Bukit B, Kampung Kerinchi.
5 : Pada pilihan raya kecil Dun Ijok, sebanyak 142 kertas undi tidak dipulangkan dari Peti Undi 4 daerah mengundi di Pekan Batang Berjuntai Bestari Utara.
6 : Oktober 2007, di kawasan Parlimen Ipoh Timur yang merupakan kubu kuat DAP, didapati wujud 8463 pengundi baru dalam kawasan itu dalam masa hanya tiga bulan sahaja.Sebelum ini Parlimen tersebut mempunyai 48,000 pengundi berdaftar dan pembangkang memenanginya dengan majoriti 9774 undi.
SPR dan PM tahu?
Bagi Anwar, semua bukti ini sebenarnya diketahui SPR dan pembangkang antaranya PAS, DAP dan KeADILan telah beberapa kali menyerahkan laporan penyelewengan kepada SPR.
Namun kata Anwar, semua laporan itu tidak dijawab oleh SPR sebaliknya Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rahsid Abdul Rahman menyatakan bahawa 'tiada bukti'.
Menurut Anwar, 100,000 rakyat baru sahaja melepaskan rasa tidak puas hati mereka pada 10 November lalu bagi membantah penyelewengan pilihan raya, tetapi kerajaan masih meneruskan reaksi angkuh mereka meneruskan penipuan yang ada.
"Kami menuntut penilaian penuh dasar dan prosedur SPR agar mereka menepato tahap ketelusan antarabangsa sebelum berlangsungnya pilihan raya umum akan datang," kata Anwar.
ISA zalim, kata Anwar
Dalam hal lain, Anwar menyelar kenyataan PM bahawa kerajaan tidak teragak-agak akan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kepada peserta himpunan aman.
Baginya, seorang pemimpin Islam Hadhari tidak seharusnya berkata dan bersikap demikian dalam melayani tuntutan dari pelbagai pihak termasuk golongan pembangkang atau minoriti.
Baginya, penggunaan ISA jelas sekali menzalimi rakyat, dan ia telah terbukti dalam kes saman Abdul Malik Hussin (bekas tahanan ISA yang menang RM2.5 juta) bahawa ISA digunakan dengan cara yang paling kejam sekali.
Sebagai seorang pemimpin negara dan Islam Hadhari, PM seharusnya mendengar dan menghalusi tuntutan rakyat dan Islam sendiri tidak menegahnya.
Dalam hal perhimpunan aman pula, Anwar menyelar sikap PM yang tidak membenarkan perhimpunan aman diadakan di negara ini.
Baginya himpunan sedemikian rupa adalah satu amalan biasa di negara lain yang mengamalkan demokrasi, kerana ia adalah hak paling 'basic' kepada rakyat untuk menyatakan pandangan.
Bagaimanapun di negara ini ia tidak diamalkan, sebaliknya hak berhimpun ini boleh hanya kepada Umno sahaja, kerana Umno telah beberapa kali mengadakan himpunan memprotes pelbagai isu. - mks.