Syed Idid Syed Abdullah Aidid - bekas Hakim Mahkamah Tinggi yang mendedahkan rasuah dalam badan kehakiman pada tahun 1996 - berkata beliau 'agak terperanjat' dengan keputusan kerajaan untuk menubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyiasat klip video Lingam.
Dalam ceramahnya mengenai 'Badan Kehakiman Malaysia Hari Ini", beliau berkata, isu-isu yang ditimbulkan dalam klip video tersebut akan "kelip-kelip mata, hilang begitu saja".
Memetik tulisan dalam blog Raduan Md Taib, Syed Ahmad Idid berkata, sewaktu kempen pilihanraya, isu-isu kehakiman tidak menarik minat pengundi luar bandar, yang merupakan penyokong terbesar Umno, dan akan terus memberi sokongan kepada pemerintah.
Oleh itu, katanya, kerajaan tidak merasakan pentingnya untuk menangani segera isu tersebut.
Beliau bagaimanapun berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi nampak serius walaupun berdiam diri mengenai perkara tersebut.
Klip video selama lapan minit itu menunjukkan peguam kanan Datuk VK Lingam (foto) berbual melalui telefon, didakwa dengan seorang hakim kanan, mengenai pelantikan hakim-hakim yang 'sehaluan'.
“Marilah kita berharap dan berdoa agar akan wujud titik perubahan," kata Syed Ahmad Idid kepada para hadirin di Wisma Wisma Bernama di Kuala Lumpur malam tadi. Ceramah tersebut adalah sebahagian daripada siri ‘Straight Talk’ anjuran Persatuan Konsultan Perhubungan Awam Malaysia.
Walaupun ditanya berkali-kali, Syed Ahmad Idid bagaimanapun enggan memberi komen secara mendalam mengenai suruhanjaya diraja tersebut yang bidangkuasanya belum lagi diumumkan.
Beliau hanya berkata, semua orang harus menunggu pengumuman mengenainya.
Kabinet telah menyerahkan kepada perdana menteri untuk mengumumkan butir-butir lanjut, tetapi pihak pembangkang dan pertubuhan sivil telahpun membuat syor-syor mengenai siapa yang harus dilantik dan tidak harus dilantik menganggotai suruhanjaya tersebut.
Dalam hubungan itu, Syed Ahmad Idid merujuk kepada senarai yang disediakan oleh Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam) mengenai individu yang menurutnya tidak sesuai seperti pesuruhjaya, dan bertanya "siapa lagi yang tinggal?".
Senarai tersebut mengandungi: Ketua Hakim Negara, dahulu dan sekarang. Hakim bersara yang berkhidmat di bawah ketua hakim tertentu. Hakim yang sedang berkhidmat. Mereka yang rapat dengan perdana menteri sekarang dan sebelumnya. Mereka yang dianggap ada masalah dengan kerajaan dan/atau pentadbiran kehakiman sejak tahun 1988. Anggota tribunal tahun 1988 yang memecat Ketua Hakim ketika itu, Tun Salleh Abas
Ditanya sewaktu sesi soal-jawab sekiranya beliau berminat untuk menganggotai suruhanjaya diraja itu, Syed Ahmad Idid menolaknya dengan alasan "saya perlu mengisytiharkan bahawa saya ada kepentingan tertentu... itu agak tidak adil".
Syed Ahmad Idid, 69, juga enggan memberi komen tentang perhimpunan Bersih dan Hindraf baru-baru ini, dan "Perarakan untuk Keadilan" oleh Majlis Peguam September lalu, kerana menyifatkan dirinya tidak ada kuasa untuk berbuat demikian.
Integriti kehakiman
Beliau bagaimanapun menggesa para peguam, hakim dan rakyat untuk tampil menangani isu mengenai etika dan integriti kehakiman.
Menurutnya, 'kereputan' dalam badan kehakiman boleh dibersihkan jika para hakim dilatih untuk membuat keputusan dan sekiranya separuh daripada hakim-hakim itu dipilih dari kalangan anggota Majlis Peguam.
Syed Ahmad Idid juga menegaskan bahawa para hakim harus menulis penghakiman mereka. Menurutnya, tidak perlu menulis penghakiman sehingga 200 muka surat yang mengolak semula bukti-bukti yang dikemukakan - tetapi para hakim perlu berfikir dan membuat keputusan.
Para hakim, tambahnya, bertanggungjawab untuk mempertahankan dan memelihara nama baik badan kehakiman dan negara, dan mesti mempunyai ciri-ciri dan kualiti yang tidak ramai boleh mendakwa memilikinya.
Syed Ahmad Idid juga menasihatkan Peguam Negara supaya tidak bimbang sekiranya pihak pendakwa kalah, tetapi sebalik belajar daripada kesilapan.
Jika keputusan kehakiman diterima, katanya, maka para hakim akan merasa lebih selesa untuk membuat penghakiman yang independen.
Mengenai krisis kehakiman pada tahun 1988 dan perletakan jawatannya lapan tahun kemudiannya, Syed Ahmad Idid menyebut tentang kesukaran untuk melapor dan menyiasat skandal-skandal rasuah.
“Kesukaran untuk mendapatkan bukti dan kebenaran...siapa yang berani atau mahu mengaku?".
Pada tahun 1996, Syed Ahmad Idid menulis laporan setebal 33 muka surat termasuk dakwaan terhadap 12 hakim membabitkan 39 kes rasuah, 21 kes salahguna kuasa, 52 kes salahlaku, tidak bermoral dan perkara yang tidak betul.
Selepas siasatan yang dijalankan oleh Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Mohtar Abdullah - laporan tersebut dianggap sebagai 'surat layang' yang tidak mempunyai asas untuk dijalankan pendakwaan.
Akibatnya, Syed Ahmad Idid telah dinasihatkan meletakkan jawatan, tetapi beliau tidak menyesal dengan tindakannya itu.
Beliau turut mengulas laporan media arus perdana berhubung perletakan jawatannya itu.
"Kira-kira sebulan sebelum saya meninggalkan Mahkamah Tinggi, media di Malaysia yang mendakwa bebas, telah menyiarkan pembohongan dan maklumat yang salah.
"Sehinggakan sebuah akhbar harian melaporkan bahawa saya telah melarikan diri ke London sedangkan pada pagi itu saya sedang makan 'nasi lemak' di Paramount Gardens (di Petaling Jaya)," katanya. Berita asal |