Bersih terus desak kempen pilihan raya diadakan selama 21 hari |
Roy Rasul |
KUALA LUMPUR, 23 Nov (Hrkh) - Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) mengulangi tuntutan supaya tempoh kempen rasmi bagi pilihan raya umum diadakan sekurang-kurangnya 21 hari. |
Berhubung perkara itu, Ahli Jawatakuasa Bersih, Liew Chin Tong menggesa Pengerusi Suruhanjaya Pilihan raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman bersikap professional dan konsisten di atas perkara tersebut.
"Ini kerana Tan Sri Abdul Rashid menyatakan dalam sidang medianya bahawa tempoh kempen lebih singkat jika ada pihak-pihak tertentu berterusan untuk membuat huru-hara dan menjerit di jalanraya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata apabila Rashid memilih untuk tidak mengendahkan desakan untuk menjalankan reformasi dalam sistem pilihan raya seperti yang dibuktikan dalam Perhimpunan 10 November ia sangat mengecewakan. Bahkan katanya, pengerusi SPR itu seolah-olah mengugut pembangkang dan rakyat Malaysia apabila beliau akan menjadikan jangka masa kempen pilihan raya akan datang terpendek dalam sejarah Malaysia.
"Atau adakah Rashid hanya menjalankan arahan yang diterima daripada kerajaan sebagai balasan kepada peruntukkan yang dibuat bagi memanjangkan umur persaraan anggota SPR dari 65 ke 66, yang secara efektifnya memberi penambahan setahun lagi buat Rashid," tegasnya.
Katanya, kebanyakan amalan demokrasi yang matang membenarkan tempoh kempen yang bersesuaian kepada calon-calon yang terlibat dalam pilihan raya.
Namun katanya, dalam kes Malaysia, agak malang kerana ia cuba melangkah satu tapak ke belakang sedangkan katanya Pilihan raya Persekutuan pertama di Malaya pada 1955 kempennya selama 42 hari.
Begitu juga katanya, dalam tiga pilihan raya pertama selepas merdeka (1959, 1964 dan 1969), tempoh kempen diadakan selama lima minggu.
Manakala pilihan raya tahun 1974, 1978 dan 1982 kempen boleh diadakan dalam tempoh melebihi dua minggu, katanya.
Seterusnya katanya, tempoh berkempen bagi empat pilihan raya berikutnya (1986, 1990, 1995 dan 1999) di bawah pentadbiran Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad, tempoh berkempen ialah antara sembilan atau 10 hari.
Pada tahun 2004 pula katanya tempohnya tujuh setengah hari sahaja.
"Bersih mendesak supaya kempen pilihan raya dibenarkan untuk diadakan selama 21 hari, separuh daripada tempoh yang diadakan pada 1955, bagi membenarkan para pengundi mengenali calon-calon mereka dan mesej yang hendak disampaikan semasa pilihan raya," katanya
Perkara ini katanya, penting apabila media elektronik perdana bersikap berat sebelah dalam laporan mereka.
Tempoh kempen yang lebih panjang katanya, membantu ke arah satu pertandingan dalam lapangan yang sama rata (level playing field) dan memperkasakan rakyat supaya dapat menilai calon mereka melalui cara yang lebih bermakna. - mns