"Saya akan kempen untuk PAS habis-habisan" - Ketua Wanita Umno Paloh |
Buletinonline |
KUALA TERENGGANU, 22 Nov (Hrkh) - Kezaliman kerajaan Umno Terengganu semakin bermaharajalela apabila pihak penguatkuasa telah merobohkan tiga buah kedai yang sedang menjalankan perniagaan baru-baru ini. |
Tiga buah kedai tersebut terletak di Paloh, Jalan Kelantan, Kuala Terengganu, menjalankan perniagaan kedai makanan, bengkel motosikal dan pembuat plet kenderaan.
Laman web Buletinonline melaporkan, operasi meroboh dimulakan pada jam 9.45 pagi dengan dua buah jentolak, polis dan penguatkuasa Pejabat Tanah dan Galian (PTG). Pemilik kedai dan orang ramai yang berurusan terpaksa keluar dari kedai tersebut apabila penguatkuasa muncul secara tiba-tiba.
Pemilik kedai makan, Abdul Rahman Muda dan isterinya Maimun Abd Ghani ketika ditemui melahirkan tidak puas hati dan kecewa atas tindakan roboh tersebut.
"Kami sedang berniaga, dia mari robohkan. Tengok ni semua kuih-kuih ada belaka,"Abd Rahman berkata sambil menunjuk kepada barang-barang yang dipunggah dari kedainya.
"Saya baru sekali diberi notis, lebih kurang dua bulan yang lalu," kata Abdul Rahman lagi.
"Sesen bayaran pun tak dapat,"katanya bila ditanya sama ada dia menerima sebarang bayaran pampasan.
"Kedai depan tu, bayaran dah dapat, notis dah tiga kali, tapi tak roboh pun,"tambah isterinya, Maimun Abd Ghani.
Maimun Abd Ghani juga adalah Ketua Wanita Umno Cawangan Kg Paloh. Walaupun dia seorang pimpinan wanita peringkat cawangan, namun rayuannya supaya diperimbangkan sedikit bayaran saguhati tidak diendahkan oleh kerajan Umno.
"Ada dia panggil sekali, ingatkan nak berbincang pasal bayaran, tapi dijamu dengan nasi minyak sahaja,"keluh Maimun.
"Eloklah dia orang buat begini, dekat pilihan raya. Kali ni saya akan pangkah PAS dan akan kempen untuk PAS habis-habisan,"katanya dengan nada marah.
Pada zaman PAS memerintah kerajaan negeri Terengganu dulu, memang ada kedai dan rumah yang dirobohkan untuk tujuan pembesaran jalan. Tetapi kerajaan pada ketika itu memberikan bayaran saguhati atas kesusahan dan bebanan yang ditanggung oleh pemilik walaupun, tanah tersebut terletak atas tanah kerajaan. - mks.