Oleh: Syed Ibrahim Syed Noh

Sidang parlimen kali ini menjadi tumpuan rakyat dan negara kerana
adanya Rang Undang-undang Perbekalan 2021 atau Belanjawan 2021. Ia
berlatarbelakangkan krisis Covid-19, krisis ekonomi, kerajaan Perikatan
Nasional (PN) yang punyai majoriti tipis dan cabaran terhadap majoriti tersebut
oleh Yang Berhormat Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hal ini tambah mengujakan ekoran daripada kegagalan kerajaan PN
untuk menguatkuasakan darurat dan kemudiannya, titah nasihat daripada DYMM Seri
Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong supaya ahli Dewan Rakyat memberi sokongan
padu kepada Belanjawan 2021 demi kesejahteraan rakyat serta pemulihan ekonomi
negara yang terkesan oleh Covid-19.
Belanjawan paling sukar
Justeru ini boleh dikatakan Belanjawan yang paling sukar untuk
diunjurkan dan dipertahankan melainkan jika ada timbal balas daripada kerajaan
terhadap syor daripada pembangkang mahu pun penyokong kerajaan.
Saya ingin mengambil kesempatan ruangan ini untuk menjelaskan
aturcara proses perbahasan dan kelulusan bagi Belanjawan 2021 supaya boleh
difahami dengan mudah oleh rakyat.
Umum telah ikuti bahawa Belanjawan 2021 telah dibentangkan oleh
Menteri Kewangan pada 6 November lalu. Daripada sekarang hingga sekitar 25
November (sekitar 8 hari), wakil-wakil rakyat akan membahaskan belanjawan
tersebut di peringkat dasar.
Ini bermaksud wakil rakyat boleh membahaskan perkara-perkara dasar
berkaitan Belanjawan tanpa merujuk kepada mana-mana butiran. Contohnya,
seseorang wakil rakyat boleh membahaskan berkenaan falsafah dan pendekatan yang
diambil oleh Kerajaan dalam Belanjawan 2021. Juga yang terkait dengan
angka-angka unjuran hasil dan ekonomi serta jumlah perbelanjaan yang mungkin
besar atau kecil bagi sesebuah kementerian. Isu-isu di kawasan juga boleh
dibangkitkan.
Perhatian tertumpu kepada ucapan perbahasan sama ada seseorang
wakil rakyat itu menyokong, menolak atau menyokong dengan syarat, Belanjawan
2021. Umpamanya Anwar dalam ucapan perbahasannya menyatakan hanya akan sokong
kalau ia benar-benar Belanjawan Covid-19. “Dalam keadaan sekarang terlalu
banyak persoalan, unjuran, peruntukan Covid-19, pemindahan wang dan peruntukan
pembangunan yang bukan jadi keutamaan,” tambahnya.
Pengerusi Kelab Ahli Parlimen Backbenchers (BN), Najib
Razak pula berkata, Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) membuat pendirian
sokongan mereka ke atas Belanjawan 2021 adalah secara bersyarat. Syarat itu
ialah kerajaan perlu meluluskan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
(KWSP) sebanyak RM10,000 secara one-off dan moratorium dilanjutkan hingga Jun
2021.
Belanjawan boleh dipinda
Ia kemudian akan dijawab oleh Menteri Kewangan semasa sesi
penggulungan sebelum Dewan Rakyat mengundi untuk kelulusan di peringkat dasar.
Pada ketika ini Menteri Kewangan boleh mengulas kritikan, teguran dan cadangan
wakil rakyat. Malah Menteri boleh membuat usul pindaan belanjawan untuk dibawa
dalam perbahasan dan kelulusan peringkat jawatankuasa.
Pengundian boleh dijalankan dengan suara sama ada bersetuju atau
tidak iaitu sekiranya lebih suara bersetuju maka masalah (dalam konteks ini
Belanjawan 2021 peringkat dasar) adalah diluluskan. Ini terkandung dalam
peraturan mesyuarat 46.
Tetapi jika ada daripada kalangan wakil rakyat seramai 15 orang
atau lebih yang bangun meminta untuk diadakan belah bahagian maka Yang Dipertua
(atau dipanggil Pengerusi ketika peringkat Jawatankuasa) hendaklah
memerintahkan diadakan belah bahagian.
Dalam belah bahagian ini penghitung undi hendaklah bertanya kepada
setiap wakil rakyat sama ada bersetuju, tidak bersetuju atau tidak mahu
mengundi. Ini terkandung dalam peraturan mesyuarat 47.
32 kali undian
Sekiranya diluluskan maka sesi perbahasan peringkat jawatankuasa
pula akan menyusul. Dalam sesi ini, wakil rakyat akan membahaskan butiran
belanja mengurus dan pembangunan bagi setiap Kementerian. Ini dijadualkan
berlangsung selama 8 hari. Setiap kali selesai satu kementerian, ia akan
diikuti dengan jawapan Menteri dan undian untuk kelulusan.
Sekali lagi proses undian boleh berlaku seperti semasa peringkat
dasar. Bezanya ialah proses ini boleh berlaku sebanyak 32 kali memandangkan
terdapat sebanyak 32 kementerian di bawah kerajaan sekarang. Masing-masing
wakil rakyat kerajaan dan pembangkang perlu bersedia pada setiap masa apabila
proses undian berlaku.
Begitulah prosesnya. Apa yang benar-benar bakal berlaku hanya akan
diketahui apabila tiba masanya. Sebab itu kehadiran wakil rakyat amat penting
terutamanya dalam proses undian. Had 80 orang wakil rakyat pada satu satu masa
yang diputuskan oleh dewan tidak terpakai ketika proses undian. Semua wakil
rakyat dibenarkan masuk ke dewan ketika proses undian.
Perdana Menteri hilang sokongan
Kegagalan sokongan terhadap Rang Undang-undang Perbekalan atau
Belanjawan 2021 ini boleh mengakibatkan kegagalan pengaruh dan keyakinan kepada
Perdana Menteri maka ia jelas menunjukkan bahawa kerajaan dan Perdana Menteri
telah hilang sokongan majoriti.
Apabila ini berlaku maka Perdana Menteri tidak ada pilihan lain
selain meletakkan jawatan dan/atau menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk
membubarkan Parlimen.
Persoalannya, apa akan jadi kepada Belanjawan 2021? Apakah kerana
tidak diluluskan maka tiada peruntukan untuk emolumen penjawat awam, menangani
ancaman wabak Covid-19, kesejahteraan rakyat dan ketahanan ekonomi?
Belanjawan baharu boleh diluluskan
Saya percaya bukan itu yang akan berlaku meskipun Perdana Menteri
ada menggambarkan bahawa rakyat akan teraniaya jika Belanjawan 2021 tidak
diluluskan.
Amatlah wajar sekiranya berlaku peralihan kerajaan maka Belanjawan
2021 perlu dibawa semula dengan kadar segera dan sekurang-kurangnya
perbelanjaan yang utama boleh diluluskan sementara perbelanjaan lain boleh
diluluskan sebagai perbelanjaan tambahan pada tahun 2021.
Apa pun keadaan, memang benar bahawa kerajaan dan wakil rakyat
daripada kedua-dua belah pihak wajib meletakkan keutamaan bagi ancaman wabak
Covid-19 dan merancakkan pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat. Bukan
kepada kepentingan kuasa dan politik semata-mata.
__________________________________________________________________________________
Penulis merupakan Ahli Parlimen Ledang dan Pengerusi Majlis
Pimpinan Negeri KEADILAN Johor