Khdimat Percuma Naiktaraf Masjid, Syarikat Adik PM Harus Disiasat


SHAH ALAM 19 APRIL : Suruhanjaya Pencegahan rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat perkhidmatan secara 'sukarela' menaiktaraf Masjid Kampung Baru oleh sebuah firma arkitek milik adik perdana menteri, Datuk Nazim Razak.
Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisyam Shaharin berkata SPRM harus menyiasat perkhidmatan menaiktaraf secara percuma, yang disediakan NRY Architects agar tidak tercetus salah tanggapan dan sebagainya.
Badrul bagaimanapun berkata, pada dasarnya, kerajaan pimpinan Najib Razak tidak sepatutnya mendedahkan projek naiktaraf itu kepada risiko dan ia seharusnya diwar- warkan kepada umum.
“Persoalannya begini, persoalannya dia tak boleh , Negara ini diurus bukan dengan cara macam itu. Makna saya boleh bagi free dia boleh dapat macam tu. Dia perlu diperjelaskan secara detail.
"Pertama sekali dia main contractor dan bukan setakat design malah banyak benda lain dan kenapa dia dapat dan kenapa , dia juga orng dalam jawatankuasa asjid. Benda-benda seperti ini yang kita pertikaikan dan maknanya kalau kita tak Tanya hari itu kitapun tak tahu adik Najib dapat benda itu,“ katanya.
Badrul tidak menolak kemungkinan syarikat NRY Architects diberikan 'pulangan' hasil perkhidmatan secara sukarela itu.
“Mungkin juga dia kata ini percuma, tapi dia mengaut imbuhan dengan beberapa projek lain dan ini mengarut dan kerajaan tidak diurus secara keluarga macam tu,” ujarnya lagi.
NRY Architects hari ini tampil memberi penjelasan bahawa syarikatnya menyediakan rekabentuk untuk projek naik taraf Masjid Kampung Baru disediakan secara sukarela.
Wakil jurutera syarikat itu, Muhd Syafeeq Subhi tampil membuat penjelasan itu susulan tuntutan SAMM yang menuntut Najib Razak menjelaskan pembabitan firma NRY Architects dalam projek naiktaraf yang bernilai RM20 juta itu.
“Saya tengok benda ini harus diperjelas bukan menjadi presidensi, oh tengok Perdana Menteri boleh buat uruskan projek-projek negara secara adik beradik bagi free dan sebagainya dan akhirnya negara jadi celaru,” kata Badrul.
Februari lalu, Najib Razak mengumumkan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi membiayai projek naik taraf masjid berkenaan.
Peruntukan itu disalurkan melalui syarikat pembangunan strategik milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad.
Badrul berkata apa pun alasan yang diberikan, SPRM harus menjalankan siasatannya selagi ia melibatkan kepentingan awam.
“Jadi kerana itu yang kita hendak ialah keletelusan dan SPRM harus tampil dalam memberi respon terhadap isu ini tapi dia senyap saja. Kalau isu melibatkan orang lain dia tak ada orang reportpun dia boleh cari sendiri.
"Isu ini ternyata benar dan ada conflict of interest di sini dan SPRM juga harus tampil untuk menyatakan apa sebenarnya yang berlaku dan dari segi prinsip nyatakan betul ata tidak. SPRM kena nyatakan itu,” tambahnya lagi.

Video Lucah : Gani Harus Tumpu Kepada Fitnah Datuk T, Kata Johari



SHAH ALAM 19 APRIL : Gandingan Datuk T harus menjadi fokus utama Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berhubung video seks yang cuba dikaitkan dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul.

'Datuk T' iaitu Bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Abdul Rahim Tamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Easky Abdullah dan bekas Bendahari Perkasa Shuaib Lazim mengaku mendalangi penayangan video lucah itu di Hotel Carcosa Seri Negara pada 21 Mac lalu.

"Soal dia (Eskay) mahu heret isu jam. Hari ini cerita jam, esok cincin, lusa tali pinggang, tulat sapu tangan...manakan boleh kita mahu jawab semua ini. Sebab itu kalau polis merasakan ada (keperluan untuk) siasatan maka siasat sahaja. Bukan sahaja jam, tapi apa jua yang perlu disiasat. Tetapi itu episod kedua selepas Peguam Negara dan polis mengambil tindakan jenayah atas fitnah dan ugutan yang dilemparkan," ujar beliau.

Johari berkata, Anwar sendiri tidak keberatan jika pihak berkuasa menjalankan siasatan telus untuk mengenal pasti pelaku dalam video berkenaan namun perkara pokok ialah tindakan fitnah dan peras ugut oleh Datuk T.

"Jangan lari daripada isu di mana tiga orang ini telah melakukan jenayah. Rahim dan Eskay mengaku terlibat, perlu ambil tindakan perkara itu dahulu. Kita tidak mahu defensif. Kalau mahu siasat maka teruskan, sebab Anwar kata bukan dia. Kalau bukan dia, tentu orang lain. Guna apa sahaja undang-undang tiada masalah," ujar beliau lagi.

Johari adalah ahli parlimen pertama diundang oleh Rahim menonton rakaman itu. Johari berkata Rahim kemudian memintanya untuk memujuk wakil rakyat PKR lain supaya keluar dari parti itu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata trio 'Datuk T' kemungkinan akan didakwa mengikut Sekyen 292 Akta Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengedar bahan lucah apabila mengaku menjadi dalang penayangan video seks terbabit.

Namun keputusan muktamad akan dibuat oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail. Semalam PKR memberi kenyataan menzahirkan kebimbangan Gani akan mencari helah untuk mengikut telunjuk Umno dan mendakwa Anwar bersabit video itu.

Johari berkata, tindakan polis seharusnya berlandaskan undang-undang dengan pengakuan ketiga-tiga individu terbabit dijadikan asas penangkapan bersandarkan laporan yang dibuat oleh Anwar sebagai mangsa fitnah.

Beliau turut menyarankan agar ketiga-tiga individu terbabit disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Keselamatan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 bersabit Qazaf.

Akta tersebut memperuntukkan mana-mana orang yang menuduh orang lain melakukan zina tanpa mengemukakan, mengikut Hukum Syarak, empat orang saksi lelaki atau iqrar orang yang dituduh itu adalah melakukan suatu kesalahan.

Jika disabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Jelasnya lagi, kabinet pimpinan Perdana Menteri Najib Razak dilihat teragak-agak dan terikat kepada pertimbangan politik sama ada untuk mengambil tindakan terhadap ketiga-tiga individu terbabit.

"Ini adalah isu berprofil tinggi. Saya rasa kerajaan di bawah pimpinan Datuk Najib harus menghadapi hakikat bahawa jika anda tidak ambil apa-apa tindakan, rakyat tetap akan buat keputusan. Lebih baik anda ambil tindakan. Apa yang kita minta adalah tindakan yang berlandaskan undang-undang," katanya.

Video Lucah : Siapakah "Whistle Blower" Sebenar?


SHAH ALAM 19 APRIL : Sejak 21 Mac, gandingan Datuk T diangkat oleh pemimpin Umno dan juak-juaknya termasuk Perkasa dan Utusan Malaysia sebagai ‘whistle blowers’ yang harus dilindungi.

Pada tarikh itu, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, Shazryl Eskay dan Shuib Lazim menayangkan video kepada media dan ahli politik terpilih untuk “membuktikan’ Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan hubungan seks dengan seorang pelacur.

Suara-suara Umno mengenai keperluan melindungi Datuk T sebagai “whistle blower” semakin lantang dengan pengumuman terbaru polis bahawa tiga individu berkenaan mungkin dihadapkan ke mahkamah kerana menayangkan video lucah.

Persoalan timbul sama ada Datuk T layak dipanggil “whistle blower” kerana kononnya mendedahkan perbuatan sumbang Anwar.

“Whistle blower” adalah pihak yang mendedahkan sesuatu skandal , khususnya yang mempunyai implikasi kepentingan nasional.

Umumnya orang yang membuat pendedahan itu terbabit secara langsung dalam skandal berkenaan, justeru keperluan untuk memastikan keselamatan beliau.

"Whistle blower" berkenaan juga dikecualikan daripada pendakwaan demi memastikan agenda lebih besar ialah membongkar skandal itu dan menghukum "ikan jerung” yang bertanggungjawab, mencapai matlamatnya.

Merujuk kepada kes Datuk T, seseorang yang memegang bukti dan mahu menegakkan kebenaran tidak akan membuat tempahan bilik hotel dan menjemput media serta ahli politik tertentu (Zaid Ibrahim) untuk menonton video lucah.

Tindakan itu bukan amalan rasional bagi pihak yang menuntut keadilan tetapi lebih mirip kepada ahli politik yang mahu memastikan rakaman itu dipancarkan ke seluruh media tempatan dan antarabangsa.

Pihak yang berjiwa Islam dan tidak mahu mengaibkan sesiapa (seperti mana yang didakwa Datuk T) tidak akan menggunakan media untuk membuat ugutan terbuka terhadap Anwar dan isterinya untuk berundur dari politik.

Sejak 21 Mac, motif Eskay, Rahim Thamby Chik dan Shuib bersabit video itu terbongkar sedikit demi sedikit.

Kecacatan-kecacatan dalam video berkenaan turut diperinci dan didedahkan oleh pihak-pihak tertentu, untuk membuktikan rakaman itu adalah fitnah licik semata-mata.

Dukacita dimaklumkan gandingan Datuk T tidak boleh memakai topi “whistle blower” supaya kebal dari pendakwaan di mahkamah undang-undang mahupun menghadapi penilaian di mahkamah rakyat.

Segala tindakan yang diambil mereka mempunyai agenda tertentu dan ianya amat berkait dengan agenda besar Umno untuk Datuk Seri Anwar.

Benar, “whistle blower” harus dllindungi, tetapi siapakah “whistle blower” dalam kes ini, mahupun dalam politik Negara?

Jawapannya Anwar Ibrahim.

Susulan tindakannya mendedahkan pelbagai skandal di Dewan Rakyat dan di ceramah-ceramah, Anwar digantung enam bulan dari Parlimen Disember lalu.

Ceramah-ceramah beliau di Kuala Lumpur, Johor dan negeri-negeri lain menjadi sasaran serbuan polis.

Di Sarawak, ceramah-ceramah Anwar dihadiri ribuan orang, di bandar dan kawasan pedalaman, dengan pengundi Melayu-Melanau, Cina, Iban dan Dayak hadir mendengar kepincangan-kepincangan BN.

Sehingga hari ini, Perdana Menteri dan menteri-menteri Umno khususnya tidak menjawab beberapa skandal yang dibongkarkan oleh Anwar.

Ini termasuklah pemberian kontrak lebih RM2 bilion Kementerian Pertahanan kepada seorang pemimpin Umno dari Perak sejak tahun 2008 yang mencerminkan budaya kronisme masih menebal dalam Umno.

Najib juga tidak mengulas dakwan Anwar bahawa 1Malaysia Development Corporation (MDB) dan syarikat milik keluarga Ketua Menteri Abdul Taib Mahmud menjalankan urusniaga mencurigakan dengan Petro Saudi.

Urusniaga itu melibatkan hampir RM6 bilion ringgit.

Contoh-contoh ini hanya secebis daripada pendedahan yang dibuat oleh Anwar di Parlimen dan di luar dewan sejak beliau menjadi Ketua Pembangkang Ogos 2008.

Kebanyakan daripada dakwaan itu tidak dijawab oleh menteri berkenaan, sebaliknya Ketua Pembangkang diaib dan dicaci dengan kata-kata kurang sopan di dalam Parlimen serta juga di luar oleh juak-juak Umno.

Sejak 2008, Umno mencari helah bagaimana untuk mengekang “whistle blower” bernama Anwar Ibrahim.

Perbicaraan fitnah liwat sekali lagi menjadi senjata politik Umno untuk menyerang Anwar dengan keyakinan pengundi Melayu mudah dipengaruhi atas isu-isu agama dan moral.

Juak-juak Umno seperti Umni Hafilda dikitar semula manakala “pejuang-pejuang bangsa” seperti Senator Ezam Mohamad Nor dan S.Nallakarupan diberikan liputan luar biasa dalam media arus perdana.

Apabila “tsunami fitnah” Umno tidak dapat menghakis sokongan untuk Anwar KERANA orang Melayu menolak budaya sedemikian, parti itu tidak berundur malah memperhebatkan serangan.

Maka sampailah giliran gandingan Datuk T pula memegang “obor kebenaran” Umno dengan video seks demi membela agama bangsa dan negara.

Dan jika video seks babak pertama gagal mencapai maksud yang dihajatkan oleh Umno, usah bimbang kerana kilang fitnah parti itu sentiasa rancak dengan senjata-senjata lain.

Perlu ditanya, jika Anwar tidak lantang dan hujahnya tidak meyakinkan, adakah Umno akan mengambil peduli terhadapnya?.

Apakah rakyat di Semenanjung dan di Sarawak akan menerima secara membuta tuli segala pendedahan Anwar, jika ia tidak disokong dengan bukti dan fakta?

Jelas, Umno mempunyai kepentingan untuk membisukan “whistle blower” terbesar di negara ketika ini dengan apa cara sekali pun sama ada menerusi mahkamah atau pun menggunakan video untuk menabur fitnah.

E-Mail 1 Malaysia Lanjutan Sarkas Najib, Kata Kit Siang



SHAH ALAM 19 APRIL : Kerajaan Barisan Nasional membelanjankan RM50 juta untuk memberikan e-mel percuma 1 Malaysia kepada setiap rakyat negara walaupun hampir seluruh masyarakat yang celit teknoloji maklumat di negara ini mempunyai e-mel sebegitu, kata Penasihat DAP Lim Kit siang.

Adalah dipercayai projek e-mail 1 Malaysia yang dibiayai dengan wang rakyat akan digunakan oleh Barisan Nasional untuk menyebarkan propaganda pemerintah, khususnya semasa pilihanraya umum.

"Saya fikir emel 1 Malaysia ialah penipuan terbaru dalam 'sarkas 1 Malaysia ini. Rakyat Malaysia tidaklah terlalu 'ketinggalan dalam IT sehingga memerlukan RM 50 juta untuk 'diberikan emel baru. Seperti yang kita tahu, kanak-kanak 12 tahun pun sudah pandai membuat akaun e-mel sendiri dan kebanyakan rakyat sudah pun mempunyai kemudahan itu, kata beliau kepada TV Selangor hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan Kesemua rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas akan diberikan akaun e-mel 1 Malaysia yang terjamin bagi tujuan-tujuan rasmi.

Portal web bernilai RM 50 juta itu akan dibangunkan oleh Tricubes Berhad, antara lain menyediakan perkhidmatan seperti rangkaian sosial dan pembayaran bil atas talian.

Kit Siang berkata alasan Najib kononnya e-mail 1Malaysia itu diwujudkan demi memastikan keselamatan transaksi menerusi alam siber tidak masuk akal kerana pilihanraya Sarawak membuktikan Malaysia masih jauh ketinggalan dalam aspek menangkis serangan siber.

"Dari pengalaman pilihan raya Sarawak yang lalu, kita lihat pelbagai serangan siber terhadap Malaysiakini, Sarawak report, dan Harakah online. Idea emel satu Malaysia kepada setiap rakyat Malaysia hanya membuka satu lagi cabang untuk membolos kehidupan peribadi rakyat tanpa menitikberatkan soal keselamatan," kata Kit Siang.

Kit Siang mempertikaikan pembaziran tersebut dan menyatakan Kerajaan boleh menggunakan wang rakyat tersebut dengan tujuan yang lebih baik.

"RM 50 juta ringgit yang diperuntukkan untuk emel 1 Malaysia ini lebih baik disalurkan untuk pembangunan dan pembinaan keperluan asas luar bandar seperti kemudahan air dan elektrik," tegas beliau.

Justeru Kit Siang menyatakan e-mail 1 Malaysia tidak lebih daripada satu lagi projek BN untuk memperkayakan kroni tertentu dengan membazirkan wang rakyat.

"Keseluruhan idea t-shirt 1 Malaysia, tupperware 1 Malaysia, air mineral dan burger 1 Malaysia, menjadikan tujuan 1 Malaysia sebuah sarkas. Ia langsung tidak menyumbang kepada tujuannya yang sebenar untuk menyatukan rakyat. Tapi hanya menguntungkan sebahagian orang yang saya gelarkan 'pemburu kekayaan 1 Malaysia," katanya lagi.

Penganalisis: Hadi Awang dilihat liabiliti, PAS perlu perubahan

April 19, 2011

KUALA LUMPUR, 19 April — Penganalisis politik Prof Abdul Aziz Bari yang lazimnya memberi pandangan terbuka mengenai PAS menegaskan, kepimpinan parti Islam itu perlu berubah terutama Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kini dilihat sebagai liabiliti kepada komponen Pakatan Rakyat itu.

Pendirian lantang beliau ini dikeluarkan ketika parti Islam berusia lebih enam dekad ini sedang bersiap sedia untuk mengadakan pemilihan pusat Jun ini.

Lebih-lebih lagi pandangan ini dilontarkan selepas PAS sekali lagi gagal memperoleh sebarang kerusi di Sarawak apabila tewas di kesemua lima kerusi yang ditandinginya.

Sehubungan itu kata Aziz, Hadi, 64, yang juga Ahli Parlimen Marang dilihat telah gagal mempertahankan parti dalam beberapa isu berbangkit.

“Ini dapat dilihat apabila Terengganu jatuh (semula) kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Beliau juga dikatakan antara punca rancangan 16 September Pakatan Rakyat musnah,” kata beliau dipetik Sinar Harian hari ini.

Hadi menjadi Presiden PAS pada 2002 dan mempertahankan kedudukannya pada 2009 tanpa saingan.

Kata Aziz, keadaan itu menyebabkan ahli-ahlinya kurang kepercayaan kepada kepimpinan Hadi yang menyulitkan perkembangan PAS dan kegagalan menyerlah sebagai 'kapten' kepada parti itu.

Malah, Aziz juga berkata, tindakan Exco Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Husam Musa tidak relevan.

“Husam membuat keputusan tanpa pertimbangan yang cekap kerana sepatutnya menunggu respons dari kawasan lain yang masih belum membuat mesyuarat kawasan,” kata ahli akademik Universiti Islam Antarabangsa (UIA) ini.

Pada 13 April lalu, Husam yang juga ahli jawatankuasa kerja PAS pusat secara rasmi mengumumkan tidak akan bertanding bagi jawatan presiden parti pada pemilihan Jun ini.

Jelas Husam, beliau memberikan sokongan penuh kepada Hadi untuk terus menerajui parti Islam itu.

Justeru beliau menolak sebarang pencalonan dari mana-mana kawasan PAS yang mencalonkannya bertanding jawatan nombor satu parti sambil menegaskan hanya akan bertanding bagi ahli jawatankuasa PAS pusat.

“Saya menyokong 100 peratus kepada kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi kerana bagi saya beliau adalah seorang yang berwibawa dan boleh menyatukan PAS.

“Jadi saya harap kawasan-kawasan lain tidak mencalonkan saya bagi jawatan presiden, saya tidak pernah berhasrat untuk bertanding jawatan setinggi itu apa lagi dipertembungkan dengan Datuk Seri Abdul Hadi,” katanya.

Pada pemilihan 2009, Husam yang ketika itu merupakan naib presiden parti bertanding jawatan timbalan presiden dan tewas.

Kemudian Hadi melantik beliau sebagai ahli jawatankuasa kerja PAS pusat.

Bagaimanapun Husam mengucapkan terima kasih kepada PAS kawasan Bukit Bintang kerana telah mencalonkan beliau bagi jawatan itu.

“Mungkin PAS (kawasan) Bukit Bintang mempunyai sebab-sebab yang tertentu sehingga mencalonkan saya,” katanya.

Husam berkata jawatan ahli jawatankuasa PAS pusat adalah pilihan yang terbaik memandangkan beliau juga perlu memikul tanggungjawab untuk memastikan PAS terus memerintah Kelantan.

Akhbar yang sama memetik Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata, jawatan presiden partinya boleh dipertandingkan kerana termaktub dalam perlembagaan.

Khalid yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam berkata, ia memerlukan sekurang-kurangnya dua pencalonan bagi melayakan calon bertanding untuk jawatan berkenaan.

“Kita tidak pernah menghalang sesiapa untuk bertanding jawatan itu kerana dalam perlembagaan PAS, tiada sebarang syarat bahawa jawatan itu tidak boleh dipertandingkan.

“Jawatan presiden dan timbalan presiden bukannya jawatan mutlak bagi seseorang pemimpin kerana sesiapa sahaja boleh jadi calon untuk jawatan itu,” kata beliau yang juga ahli biro politik PAS.

Pakar: Lynas jauh lebih teruk dari Bukit Merah


Joseph Sipalan
Projek memproses nadir bumi yang sedang dibina di Gebeng oleh firma Australia, Lynas akan menghasilkan 20,000 tan sisa radioaktif setahun apabila beroperasi kelak.

NONEIni adalah 10 kali lebih kontroversial daripada kilang nadir bumi Asia di Bukit Merah yang ditutup 20 tahun lalu, kata pakar kesihatan awam Dr T Jayabalan.

Katanya, sisa radioaktif yang terhasil itu akan membawa nahas alam sekitar dan kesihatan kerana tahap radioaktif yang terhasil akan memberi kesan buruk.

Jelasnya, pendedahan langsung terhadap jumlah thorium yang besar, meskipun dibuktikan oleh Lynas dan Badan Perlesenanan Tenaga Atom (AELB) mempunyai tahap radiasi yang rendah, adalah bahaya apabila jumlah yang banyak mula terkumpul.

Kedua-dua Lynas dan AELB berkata pusat berkenaan akan menghasilkan thorium - elemen radioaktif yang bakal terhasil dan mendakwa bahan itu mempunyai tahap radiasi yang rendah serta tidak mendatangkan bahaya kepada manusia dan persekitarannya.

NONEJayabalan sebaliknya berkata sebarang pendedahan berterusan tidak kira sekecil mana sekalipun adalah bahaya kepada kesihatan.

"Mungkin AELB dan Lynas adalah betul, bahawa nadir bumi bukan radioaktif kerana ia telah disingkirkan. Apa yang mereka akan berikan kepada kita di Gebeng adalah sisa radioaktif yang dinamakan thorium," katanya kepada kira-kira 500 orang di ceramahnya di Kuantan pada malam Ahad lalu.

"Dan mungkin juga pihak berkuasa adalah betul kerana thorium adalah sisa tahap rendah (radioactive) dan mereka dakwa ini adalah selamat.

"Ini adalah istilah yang digunakan oleh industri untuk menggelirukan anda... ingat tidak ada tahap selamat bagi radioaktif,” katanya.

PRN Sarawak: PR Menang Bermaruah, BN Menang Dengan Rasuah





KUALA LUMPUR 19 APRIL : Senator Dr Syed Husin Ali menyatakan, tiada salahnya mengucapkan tahniah di atas kemenangan Barisan Nasional (BN) di Sarawak namun jangan sesekali memperkecilkan prestasi Pakatan Rakyat (PR).

Dr Syed Husin berkata demikian semasa membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Dewan Negara, semalam.

Dr Syed Husin berkata, beliau amat berbesar hati kerana dapat menyertai perbahasan itu dan berpeluang membuat sedikit ulasan berhubung kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri Ke 10 Sarawak, Sabtu lalu.

“Sepanjang pagi tadi beberapa orang mengucap tahniah kerana kemenangan BN di Sarawak.

“Tiada salah mengucapkan tahniah, akan tetapi agak kurang enak didengar kerana pada masa sama diperkecilkan pula prestasi Pakatan,” ujarnya selaku Ahli Dewan Negara yang mewakili PKR.

Menurutnya, seorang teman daripada Umno bertanya kepadanya mengapa beliau tidak mahu mengucapkan tahniah di atas kemenangan perikatan itu, bagaimanapun Dr Syed Husin berkata beliau tiada masalah mengucap syabas.

Akan tetapi, beliau ingin mengingatkan bahawa PR berjaya meningkatkan bilangan kerusi yang dimenangi sekali ganda sekali gus meraih undi popular BN

“Lebih penting lagi kami berjaya menurunkan 8 peratus undi yang diperolahi BN dari 63 ke 55 peratus.

“Benar BN mendapat lebih dua pertiga kerusi, akan tetapi ia gagal memperolehi dua pertiga undi,” ujarnya.

Dr Syed menambah, ini berlaku walaupun Umno-BN menggunakan keseluruhan jentera kerajaan dengan memperalat media arus perdana serta mengugut melalui SB juga menaburkan wang dan seterusnya tidak henti-henti menggunakan isu fitnah sodomi dan video seks.

“Saya teringat kepada sebuah tweet yang saya terima, berbunyi: Pakatan menang dengan maruah, BN menang dengan rasuah. Ingatlah, Sarawak bukan lagi fixed deposit BN,” ujarnya.

Anwar: Perjuangan bukan mudah, tapi juga bukan mustahil

Pilihanraya Negeri Sarawak 2011 membuktikan perjuangan menuntut Keadilan untuk semua tanpa mengira batas kaum mahupun kepercayaan bukanlah tugas mudah, namun ianya juga bukan mustahil. Walaupun tidak mengecapi keputusan yang diingini, kita berjaya menanam benih politik murni agar rakyat Sarawak meninggalkan politik perkauman sempit, berani melawan kezaliman yang sekian lama membelenggu dan berusaha memperkukuh amalan Demokratik.

Hakikat yang tidak dapat dinafikan sepanjang tempoh berkempen, berbekalkan sumber yang terhad serta berilitizam dengan kempen yang bersih, Pakatan Rakyat tetap berjaya menembusi kawasan pendalaman, yang sentiasa dianggap kubu kuat Barisan Nasional.

Sungguhpun demikian, sekali lagi kredibiliti dan integriti Suruhanjaya Pilihanraya tercalar kerana wujudnya laporan bahawa Suruhanjaya itu bertindak berat sebelah ataupun sengaja menutup mata terhadap sebarang penipuan ketika hari pengundian. Saya difahamkan petugas Parti Keadilan Rakyat dinafikan borang 14 di beberapa kawasan sedangkan borang ini penting untuk memastikan keputusan pilihanraya bersih dari penipuan. Selain itu terdapat juga laporan wujudnya usaha membeli undi di beberapa kawasan seperti Dudong, Bawang Assan dan Meradong.

Selain itu keengganan SPR untuk mengira semula undi di kawasan Senadin ternyata mengukuhkan lagi dakwaan ramai bahawa Suruhanjaya Pilihanraya bertindak demi kepentingan Barisan Nasional. Calon Parti Keadilan Rakyat, Dr.Michael tewas dengan majoriti yang tipis iaitu 58 undi sahaja. Mengapa enggan mengira semula tanpa memberi alasan yang munasabah?

Keputusan ini bukanlah satu pengakhiran, bahkan yakinlah ianya satu permulaan kepada satu tuntutan perubahan yang jitu dan menyeluruh. Pastinya ini tidak dapat dicapai sekiranya rakyat Sarawak tidak bersama sama memastikan ianya terlaksana. Saya menyeru kepada rakyat Sarawak yang mahukan Perubahan dan cintakan Keadilan, tingkatkan usaha, jangan sesekali berputus asa, terus mara dan pastikan regim yang korup ini tumbang pada pilihanraya yang akan datang. Kepada seluruh rakyat Sarawak dan jentera Pakatan Rakyat, saya ucapkan terima kasih dan syabas kerana keberanian serta pengorbanan yg dicurahkan. Dengan izin Allah, kemenangan pasti tiba.

*Kenyataan Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang Parlimen merangkap Ketua Umum PKR.

WikiLeaks: Media bohong kerajaan minta bantuan AS tentang F5


KUALA LUMPUR, 18 April: WikiLeaks melaporkan bahawa media tradisional negara telah membuat laporan palsu mengenai kehilangan jet engin F5, yang didakwa lesap secara tetiba pada 2008.

Berdasarkan kabel diplomasi Amerika Syarikat (AS) yang diledakkan WikiLekas, seorang anggota Kementerian Luar Negeri telah memberitahu Kedutaan AS di Kuala Lumpur bahawa media tradisional negara telah mengeluarkan ‘banyak kenyataan menyeleweng dan silap’ mengenai kehilangan dua engin jet buatan AS pada Disember 2009.

Kedutaan AS turut melaporkan kepada kerajaan AS bahawa mereka susah untuk mempercayai penjelasan kerajaan Malaysia mengenai skandal tersebut.

“Kami berkongsi ketidakpercayaan yang dicetuskan di dunia blogger mengenai kes dan penjelasan kerajaan mengenai orang di belakang skandal ini,” kata kabel itu lagi.

Mengikut kabel itu lagi, Kementerian Pertahanan yang di bawah jagaan Perdana Menteri, Najib Razak ketika itu turut didakwa cuba mengelak daripada memberikan penjelasan bagaimana kes ini dikendalikan..

Kedutaan AS juga berpendapat Kementerian Luar Negara cuba menjauhkan diri daripada skandal tersebut.

Kabel yang bertarikh 10 Januari 2010 ditulis oleh kaunselor politik, Brian McFeeters dan ditandatangani Duta AS James Keith turut menamakan pegawai Malaysia yang dimaksudkan iaitu Mohamed Radzi Jamaluddin, pembantu setiausaha jabatan Amerika dari Kementerian Luar Negeri.

Radzi dilaporkan berkata media tradisional telah berbohong melaporkan bahawa kerajaan Malaysia telah meminta bantuan daripada AS dalam skandal enjin jet F5, kerana sekiranya benar, permintaan tersebut akan melalui Kementerian Luar Negeri.

Dalam tulisannya, McFeeters turut melaporkan bahawa beliau tidak pernah menerima sebarang permohonan sedemikian daripada Malaysia.

Sebanyak 3 kabel didedahkan oleh WikiLeaks minggu lepas, menyentuh mengenai skandal kehilangan enjin jet F5. Enjin J85-21 yang dibuat oleh General Electric digunakan dalan Northrop F-5 jet ringan sejak 1970 masih digunakan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (RMAF).

Berita kehilangan engin jet mula-mula diledakkan oleh Menteri Pertahanan, Ahmad Zahid Hamidi pda 19 Disember 2009, hari yang bertembung dengan konvesyen Pakatan Rakyat yang pertama, di mana Kedutaan AS berpendapat satu peristiwa yang mungkin menenggelamkan pengumuman kementerian tersebut.

RMAF turut didakwa tiga kali gagal untuk memaklumkan peristiwa tersebut kepada AS, dimana kabel itu melaporkan AS hanya dimaklumkan pada awal Januari 2010.

Difahamkan enjin jet termaktub dalam perlembagaan pertahanan AS (United States Munitions List), di mana pemindahan secara tidak sah adalah bercanggah dengan perkara 3 dalam Arms Export Control Act, di mana kehilangan jet engin J-85 di Malaysia tertakluk kepada undang-undang ini.

Sementara itu, kabel turut melaporkan bahawa Kedutaaan AS turut menyoal pegawai daripada Malaysia mengenai lokasi spesifik enjin yang didakwa kecurian ekoran laporan media tradisional yang mengatakan bahawa engin tersebut sudah dijual kepada satu syarikat antarabangsa yang berpusat di Amerika Selatan.

“Mereka mungkin tak tahu lokasi atau disuruh merahsiakan info ini sehingga polis menghabiskan siasatan. Malaysia juga tidak memberikan penjelasan yang cukup, kenapa, selepas dua tahun, perkara ini tiba-tiba menjadi pengetahuan umum,” kata kabel itu lagi.

Kabel itu turut menyatakan bahawa terdapat laporan portal berita berkecuali yang melaporkan bahawa enjin tersebut mungkin telah tiba di Timur Tengah, terutamanya Iran, sebagaimana yang dinyatakan pihak polis di awal laporan media tradisional ketika kes ini diledakkan.

Di satu sidang akhbar, kabel itu berkata Peguam Negara, Abdul Ghani Patail telah dilaporkan berada dalam keadaan defensif ketika ditanya mengenai hubungan denga Iran, dan semua laporan mengenai kemungkinan enjin yang hilang tersebut kini berada di Timur Tengah atau Iran hilang daripada paparan media tradisional.

PSM Anjur Protes, Bantah Pembinaan Loji Proses Tanah

|



SHAH ALAM 18 APRIL : Parti sosialis Malaysia (PSM) akan mengadakan bantahan secara aman terhadap keputusan kerajaan persekutuan yang membenarkan pembinaan loji pemprosesan tanah jarang bernilai RM700 juta di Kuantan.
PSM bersama 14 badan bukan kerajaan lain akan berarak menuju ke bangunan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar di Putrajaya bagi menggambarkan kekesalan selain mendesak keputusan pembinaan loji itu oleh syarikat Lynas Corp dari Australia itu dihentikan demi kepentingan masyarakat di negara ini.


Bantahan itu akan diadakan pada 22 April depan bersempena Hari Bumi.
Presiden PSM, Dr Mohd Nasir Hashim yang dihubungi Tv Selangor berkata, kebimbangan masyarakat di negara ini lebih menjurus kepada isu pengawalan yang belum meyakinkan.


"Ini adalah kumpulan NGO yang mahu bertemu untuk memberitahu bahawa 'jangan pergi kearah pendekatan nuklear' sebab kita tidak dapat menampung apabila berlakunya malapetaka," jelas beliau.
Dr Nasir membayangkan kegagalan penyeliaan bahan radioaktif akan memberi kesan kepada keselamatan penduduk setempat.


"Memang kita mahukan tenaga tapi kalau dari segi pengawalan sehingga Jepun tidak boleh. Kita dengan hanya teknologi biasa dan akan menggunakan wang yang banyak selain jika jadi sesuatu yang tidak dapat dikawal, kita seolah-olah pergi ke 'lautan bahaya'," jelasnya lagi.
Tv Selangor sebelum ini melaporkan, Ahli politik Australia mengutuk cadangan syarikat Lynas Advanced Materials Plant mahu membuang bahan radioaktif ke kawasan komuniti perikanan di Gebeng, Pahang.
Robin Chapple menegaskan kepimpinan Ketua Menteri Australia Barat, Barnett tidak harus bersubahat dalam membuang sisa radioaktif di negara lain, termasuk Malaysia.


Chapple yang juga ahli Majlis Perundangan Australia Barat berkata, pengendalian yang tidak betul akan menyebabkan penduduk sekitar akan mengalami radiasi yang diakibatkan oleh mineral thorium.
Beliau juga mengambil kira faktor geografi Gebeng yang terletak bersebelahan laut yang bersambung terus dengan sungai Balok, yang datangnya dari kawasan perindutrian menempatkan loji itu.
Gebeng juga terletak berhampiran dengan Cherating, sebuah kawasan perikanan.


Sebelum ini, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh mendesak Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakub untuk menubuhkan badan bebas mengkaji impak radioaktif kepada persekitaran Gebeng.
Kebimbangan terhadap isu pembuangan sisa bahan radioaktif ini semakin menekan apabila kerajaan persekutuan pimpinan Perana Menteri Najib Razak meluluskan pembinaan loji tersebut.
Operasi memproses thorium dari lombong Mount Weld itu dijadualkan bermula September depan.

Video Lucah : Peguam Negara Cari "Helah" Untuk Dakwa Anwar, Kata PKR


SHAH ALAM 18 APRIL : Kenyataan polis bahawa siasatan video lucah Datuk T bertumpu kepada dalang yang menayangkan rakaman itu mengesahkan tidak ada asas undang-undang untuk mengaitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada video berkenaan.

Namun, Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat Saifuddin Nasution “yakin’ Peguam Negara Tan Sri Gani Patail akan mengikut telunjuk Barisan Nasional dan mencari helah untuk mendakwa Anwar.

“Kita yakin bahawa Peguam Negara di bawah arahan rejim Barisan Nasional akan tetap mencari jalan untuk mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim di mahkamah,” kata Saifuddin.

“Ini kerana seluruh episod konspirasi ini direka bertujuan menghancurkan kerjaya politik Dato' Seri Anwar Ibrahim,” tambah beliau.

Semalam Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani bahawa siasatan videos seks lengkap dari setiap sudut dan ia menjurus kepada Seksyen 292 Akta Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengedar bahan lucah.

Acryl berkata hasil siasatan itu akan diserah segara kepada Peguam Negara.

Saifuddin berkata pendirian terbaru polis itu menunjukkan tidak ada sebarang asas undang-undang untuk mengaitkan Anwar di dalam video kerana jelas beliau tidak ada kena mengena dalam isu berkenaan.

“Ini selari dengan penafian Datuk Seri Anwar Ibrahim yang konsisten mengenainya,” tambah beliau.

Bagaimanapun Saifuddin berkata PKR bagaimanapun percaya Tan Sri Gani akan “tetap mencari jalan untuk mendakwa Dato' Seri Anwar Ibrahim ke mahkamah.”

“Ini tidaklah mustahil kerana sebelum ini situasi sama berlaku di mana Dato' Seri Anwar dihadapkan ke mahkamah atas dan difitnah atas dua tuduhan liwat, walau pun beliau tidak melakukannya,’ tegas beliau.

“PKR kesal kerana Barisan Nasional terus menggunakan politik kotor, jijik malah menginjak batas agama dan peradaban kemanusian demi mengekalkan kuasa politik,” kata beliau.

Bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Chik, yang juga Pengerusi Risda, ahli perniagaan Datuk Sharzyl Eskay dan bekas Bendahari Perkasa Shuib Lazim mengaku mereka sebagai gandingan Datuk T yang menayangkan video itu kepada media tertentu di Hotel Carcosa 21 Mac lalu.

Mereka mendakwa rakaman itu menunjukkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan hubungan seks dengan seorang pelacur Cina di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 21 Februari lalu.

Eskay juga menyerahkan sebuah jam Omega milik Anwar yang didakwa beliau dicuri oleh pelacur berkenaan.

Polis semalam berkata isu siapa pemilik jam itu bukan perkara utama dalam siasatannya.

Anwar menafikan dakwaan gandingan Datuk T sebagai fitnah dan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Ketua Pembangkang itu berkata, beliau berada di rumah pada malam rakaman itu dibuat dan beriinteraksi menerusi Twitter dengan jaringannya. Anwar juga mengesahkan bahawa beliau mempunyai sebuah jam Omega yang masih dalam simpanannya.

Polis Siasat Dakwaan Raja Petra


KUALA LUMPUR 18 April : Polis memanggil beberapa individu untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan dakwaan Raja Petra Kamarudin mengenai pihak- pihak didakwa menyalur maklumat kepadanya supaya membuat akuan bersumpah (SD), mengaitkan Perdana Menteri dan isteri beliau dalam kes pembunuhan Altantuya Sharibbu.

Beberapa individu itu dipanggil selepas polis percaya mereka dapat membantu siasatan berhubung dakwaan pengendali portal Malaysia Today itu susulan kertas siasatan mengenainya dibuka sebaik laporan polis diterima minggu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada mereka yang dipanggil termasuk Kolonel Azmi Zainal Abidin; penulis blog Din Merican serta dua lagi yang dinamakan Raja Petra iaitu Nik Azmi Nik Daud dan John Pang, masing-masing staf pejabat veteran politik Tengku Razaleigh Hamzah.

“Kita sudah memanggil individu yang dipercayai boleh membantu siasatan berhubung dakwaan berkenaan,” kata beliau dipetik Berita Harian hari ini.

Kelmarin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengesahkan polis sudah membuka kertas siasatan berhubung pendedahan Raja Petra mengenai beberapa individu yang mendesaknya membuat akuan bersumpah itu pada 18 Jun 2008 kerana tidak mahu Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Individu yang dimaksudkan Raja Petra baru-baru ini termasuk Azmi yang juga pegawai risik tentera selain tiga individu terbabit.

Dalam SD itu, Raja Petra mendakwa kononnya isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berada di tempat kejadian ketika wanita Mongolia, Altantuya dibunuh.

Jumaat lalu, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Azizan Ariffin berkata, Angkatan Tentera Malaysia telah menggantung tugas rasmi Azmi yang juga pegawai kanan Markas Tentera Darat sehingga siasatan ke atasnya berhubung dakwaan Raja Petra itu selesai. -malaysianinsider

Tumpu Laporan Anwar, Bukan Tuduhan Shazryl


KUALA LUMPUR 18 APRIL: Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusof menegaskan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) memberi penumpuan sepenuhnya terhadap siasatan laporan Ketua Pembangakang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penayangan rakaman video seks yang didalangi trio 'Datuk T', 21 Mac lalu.

Yusmadi berkata, sebagai pengamal undang-undang polis diberikan kuasa sepenuhnya untuk mengambil atau mengenakan sebarang tindakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan di sisi undang-undang tanpa perlu mengambil kira fahaman politik pemerintah yang mentadbir negara.

Yusmadi berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan, Jenayah Datuk Acryl Sani Abdullah Sani bahawa identiti pemilik jam Omega bersabit kes itu tidak menjadi faktor penting dalam siasatan polis kerana perkara utama adalah “siapa penayang video itu,”.

"Saya menggesa pihak polis mengambil pendekatan terbaik dalam menyelesaikan kes ini. Polis juga harus mengenepikan kepentingan politik mana-mana parti. Siasatan segera menjurus kearah perkara yang diadukan dan bukan perkara yang menguntungkan mana-mana pihak politik," kata beliau ketika ditemui media petang tadi.

Sebelum ini, Yusmadi turut menggesa polis supaya tidak memberi perlindungan kepada bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, ahli perniagaan Shazryl Eskay Abdullah dan bekas Bendahari Perkasa, Shuaib Lazim yang cuba menjadi Anwar sebagai mangsa rekasaya jenayah mereka.

Justeru, beliau menegaskan bahawa saksi yang telah melakukan pendedahan kepada media, tidak layak mendapat perlindungan di bawah Akta Perlindungan Saksi.

Beliau yang ditemui media di perkarangan pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berkata kepimpinan Pakatan Rakyat sejak awal lagi begitu konsisten menolak pembohongan itu.

Malah katanya, jika pihak berkuasa gagal menyelesaikan permasalah itu melalui pendekatan perundangan ia jelas menggambarkan bahawa polis hanya bertindak berkisarkan politik semata-mata.

"Kalau itu tidak diterjemahkan oleh pihak polis, bagi saya ini masih lagi berkisar dalam tindakan politik. Bukan tindakan perundangan yang mahu diambil," jelas beliau lagi.

Susulan perkara itu, Shazryl hari ini bertindak mengaku sebagai individu tunggal yang bertanggungjawab merancang pendedahan rakaman video seks itu kepada media terpilih di Carcosa Seri Negara bulan lalu.

Dalam kenyataannya itu juga, Shazryl mengenepikan Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari agung Perkasa Datuk Shuiab Lazim dalam tindakan intimidasi jenayah berkenaan.

Justeru beliau dilihat cuba untuk menarik perhatian umum terhadap jam Omega yang didakwa kepunyaan Anwar walaupun Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani telah mengumumkan bahawa maklumat tersebut tidak lagi relevan.

Shazryl dan Abdul Rahim sebelum ini mengaku kepada media bahawa mereka terlibat dalam pendedahan rakaman video lucah tersebut selain mendesak Anwar melepaskan jawatan sebagai Ketua Umum Pakatan Rakyat.

Rakaman video 21 minit yang ditayangkan kepada media terpilih di Carcosa Seri Negara 21 Mac lalu dikaitkan dengan cubaan berterusan membunuh karier politik Ketua Pembangkang itu selain dendam peribadi individu-individu terbabit.


Tiga 'Datuk T' Mungkin Dicaj Tayang Video Seks


KUALA LUMPUR, 18 APRIL : Ketiga- tiga “Datuk T” dijangka didakwa dalam waktu terdekat kerana kesalahan mengedar dan menayang video seks kepada sekumpulan wartawan 21 Mac lalu, kata Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata kemungkinan itu kerana siasatan mengikut Sekyen 292 Akta Kanun Keseksaan bersabit kesalahan mengedar bahan lucah menjurus kepada tiga individu berkenaan.

Gadingan 'Datuk T' merangkumi bekas Ketua Menteri Melaka, Rahim Tahmby Chik, ahli perniagaan Syazryl Eskay Abdullah dan bekas bendahari PERKASA, Shuib Lazim.

Acryl berkata kertas siasatan kes itu dijangka dihantar ke Pejabat Peguam Negara, Khamis ini.

“Ada kemungkinan mereka akan didakwa mengikut Sekyen 292 itu kerana ia menjurus kepada mereka, pihak penayang,”

“Namun bukan polis yang menentukan keputusan itu sebaliknya pejabat Peguam Negara. Kami akan adakan sidang akhbar nanti bila segalanya selesai,” katanya dipetik laporan Bernama Online hari ini.

Ketika ditanya mengenai perkembangan kertas siasatan, beliau berkata masih terdapat dua lagi perkara yang perlu dikemas kini dan dilengkapkan dalam siasatan itu, sebelum dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan susulan.

“Kalau boleh bagi pihak kita seawalnya hantar (kertas) itu pada Khamis ini... sementara itu kami tunggu respon daripada pihak yang menyediakan dua perkara itu.

“Dua perkara ini tidak boleh didedahkan dahulu ketika ini kerana ia lebih kepada pendakwaan dan menganggu tugas pejabat Peguam Negara,” katanya.

Ditanya mengenai sama ada polis mempunyai kuasa untuk menahan pelaku dalam video seks itu, Acryl berkata: “Kami (polis) tiada peruntukan undang-undang untuk menahan mereka dan mengambil keterangan.

“Kita kena rujuk kepada pejabat Peguam Negara untuk sebarang penelitian dan semakan. Mungkin mereka ada peruntukan undang- undang terhadap si pelaku,” katanya.

Hasrat Najib Bubar Parlimen Terencat, Kata Dr Xavier



SHAH ALAM 18 APRIL : ADUN Seri Andalas, Dr Xavier Jeyakumar menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai tidak berani untuk mengadakan Pilihan Raya Umum(PRU) ke 13 nanti dalam jangka masa terdekat ini berikutan kehilangan 16 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak semalam.

Dr Xavier berkata, walaupun pembangkang gagal menafikan kebolehan BN Sarawak mendapat majoriti dua pertiga dalam pilihan raya negeri semalam, tetapi Pakatan Rakyat tetap berpuashati kerana undi popular BN telah merosot lapan peratus.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga menyatakan BN hanya berjaya merekodkan 372,379 undi atau 54.5 peratus daripada jumlah yang keluar mengundi semalam.

"Kejayaan Pakatan Rakyat memenangi 15 kerusi pada Pilihan Raya Sarawak ke 10 semalam sedikit sebanyak telah merencatkan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke 13 sekaligus membubarkan parlimen pada tahun ini," katanya.

"Berkemungkinan besar Najib juga akan meneliti semula beberapa faktor sebelum mahu mengadakan PRU Ke 13 dalam waktu terdekat," ujarnya.

Dr Xavier berkata demikian ketika mengulas tindakan Najib yang menjadikan keputusan pilihan raya negeri Sarawak sebagai kayu pengukur untuk beliau memutuskan sekarang adalah masa terbaik untuk mengadakan PRU di Majlis Perasmian Meletak Batu Asas di SJKT Ladang Midlands, Seksyen 7, Shah Alam.

Berdasarkan keputusan rasmi yang diumumkan SPR semalam, Pakatan Rakyat berjaya menambah bilangan kerusi berbanding pada pilihan raya negeri 2006 yang mana ketika itu BN memperoleh 63 kerusi.

Menurut SPR lagi, pihaknya juga turut mencatatkan jumlah perolehan undi parti itu untuk lima tahun lalu dimana perikatan itu menerima 62.91 peratus atau 341,587 undi dan 71.16 peratus dengan 382,137 undi pada 2001.

Manakala pada pilihan raya negeri Sarawak yang kesembilan dan kelapan pada tahun 2006 dan 2001 lalu, hanya 69 dan 43 kerusi disaingi selepas bakinya dimenangi BN tanpa saingan.

Pilihan Raya Negeri Sarawak ke 10 semalam menyaksikan kejayaan Pakatan Rakyat menambah lapan kerusi DUN walaupun BN berjaya mengekalkan dua pertiga majoriti dalam pilihan raya negeri itu selepas mememangi 55 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan.

Awal bulan ini, Najib, yang juga Pengerusi BN, dilaporkan berkata bahawa beliau akan melihat dahulu keputusan pilihan raya negeri Sarawak sebelum membuat keputusan tentang waktu terbaik untuk mengadakan pilihan raya umum.

Terdapat juga spekulasi bahawa Najib mungkin membubarkan Parlimen tahun ini walaupun tempohnya hanya akan berakhir 2013.

Pilihan raya umum ke-12 telah diadakan pada Mac 2008.

PRN Sarawak : Walaupun Gagal Capai Sasaran Kerusi PR Tetap 'Berjaya'


KUALA LUMPUR 18 APRIL : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan meskipun Pakatan Rakyat gagal mencapai keputusan yang disasarkan namun parti itu berjaya “menanam benih politik murni” supaya penduduk Sarawak meninggalkan politik perkauman sempit.

“Pilihan raya negeri Sarawak ke 10 Sabtu lalu membuktikan perjuangan menuntut keadilan untuk semua tanpa mengira batas kaum mahupun kepercayaan bukanlah tugas mudah, namun ia juga bukan sesuatu yang mustahil.

“Walaupun tidak berjaya mendapatkan keputusan yang diingini, namun kita berjaya menanam benih politik murni agar rakyat Sarawak meninggalkan politik perkauman sempit, berani melawan kezaliman yang sekian lama membelenggu mereka sekali gus berusaha memperkukuh amalan demokratik,” katanya.

Pada pilihan raya negeri ke-10 kelmarin, Barisan Nasional (BN) mengekalkan kuasa kerajaan negeri dengan memperoleh 55 kerusi manakala PR 15 dan Bebas satu.

PR menggandakan kerusi dan undi popular yang diperoleh mereka kali ini berbanding lima tahun lalu.

Menurut Anwar, walaupun menerima banyak rintangan sepanjang tempoh berkempen dengan berbekalkan sumber yang terhad serta berilitizam untuk membawa kempen yang bersih, PR tetap berjaya menembusi kawasan pedalaman, yang sentiasa dianggap kubu kuat oleh BN.

Anwar berkata, menenangkan pengikut dan penyokongnya bahawa keputusan kali ini bukanlah satu pengakhiran, bahkan yakinlah ia satu permulaan kepada satu tuntutan perubahan yang jitu dan menyeluruh.

“Pastinya ini tidak dapat dicapai sekiranya rakyat Sarawak tidak bersama sama untuk memastikan ia terlaksana.

“Saya menyeru kepada rakyat Sarawak yang mahukan perubahan dan cintakan keadilan, tingkatkan usaha, jangan sesekali berputus asa, terus mara dan pastikan rejim yang korup ini tumbang pada pilihan raya akan datang,” tegasnya.

PR bertanding dengan 47 calon PKR, DAP 15 dan PAS lima dalam pilihan raya paling sengit dalam sejarah Sarawak ini.

Seramai 213 calon yang bertanding pada pilihanraya negeri kali ini.

Jelas Anwar, pada pilihanraya negeri kelmarin kredibiliti dan integriti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekali lagi tercalar berikutan wujudnya laporan bahawa agensi itu bertindak berat sebelah ataupun sengaja menutup mata terhadap sebarang penipuan ketika hari pengundian.

“Saya difahamkan petugas PKR dinafikan Borang 14 di beberapa kawasan sedangkan borang ini penting untuk memastikan keputusan pilihan raya bersih dari penipuan,” katanya.

Katanya, selain tindakan berat sebelah SPR terdapat juga laporan wujudnya usaha membeli undi di beberapa kawasan seperti Dudong, Bawang Assan dan Meradong.

Tegas Anwar, keengganan SPR untuk mengira semula undi bagi kerusi Senadin ternyata mengukuhkan lagi dakwaan banyak pihak bahawa SPR bertindak demi kepentingan BN.

“Calon PKR Dr Michael tewas dengan majoriti yang tipis iaitu 58 undi sahaja. Mengapa enggan mengira semula tanpa memberi alasan yang munasabah?’ katanya lagi.

Semalam Naib Presiden PKR Tian Chua bercadang memfailkan petisyen pilihan raya untuk mencabar keputusan bagi kerusi N65 Senadin setelah calonnya Dr Michael Teo Yu Keng (bawah) kalah dengan majoriti tipis 58 undi kepada Datuk Lee Kim Shin daripada Barisan Nasional (BN).

Tian Chua turut menyuarakan rasa tidak puas hati beliau berikutan keengganan pegawai pengurus pilihan raya Chai Ko Het supaya undi dikira semula di pusat penjumlahan undi itu Sabtu lalu.

Lee memperoleh sejumlah 7,334 undi manakala Teo pula meraih 7,276 undi.

PKR Cabar Keputusan Tebudu

KUCHING 18 APRIL : Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekali lagi bercadang memfail saman petisyen pilihan raya untuk mencabar keputusan Dewan Undengan Negeri (DUN) N18 Tebedu yang dimenangi calon Barisan Nasional (BN) Michael Manyin Anak Jawong berikutan wujud unsur penipuan termasuk pemalsuan tandatangan yang disyaki dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ia berikutan calon PKR bagi kerusi itu, Cristopher Anak Kiyui percaya penipuan berlaku pada proses kiraan undi dan tandatangan wakil ejen undi (PACA) pada Borang 14 yang dikeluarkan SPR.

Justeru, beliau membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Maung yang terletak dalam daerah Batu Lintang di sini.

“Dari 45 agen kira undi (PACA), hanya lima orang diberi Borang 14 yang asli. Seramai 35 agen PKR lain tidak dapat, (kecuali) semuanya borang adalah salinan (fotostat).

“Apabila diperiksa, satu borang itu wujud pemalsuan dua tandatangan (pada Borang 14) disyaki (oleh) SPR.

“Bilangan undi pada Borang 14 turut diubah pihak tertentu,” katanya.

N18 Tebedu dimenangi calon BN, Michael Manyin Anak Jawong dengan memperoleh 6,196 undi berbanding Christopher 2,130 undi. Undi majoriti ialah 4,066 undi.

Turut bertanding ialah Anthony Anak Nais dari SNAP yang hanya mendapat 468 undi sahaja. Calon Bebas, Kikpli bin Ale pula mendapat 260 undi.

Sebelum ini, PKR memutuskan untuk mencabar keputusan di N.65 Senadin berikuyan keengganan SPR membuat kiraan semula walaupun undi majoriti yang diterima calon BN cuma 58 sahaja.

SAMM Tuntut Najib Perjelas Beri Kontrak Ubahsuai Masjid Kepada Adik

SAMM Tuntut Najib Perjelas Beri Kontrak Ubahsuai Masjid Kepada Adik
17/04/2011
Share |



SHAH ALAM 17 APRIL: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menuntut agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tampil dan menjelaskan isu pemberian kontrak pengubahsuaian Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur kepada firma arkitek adiknya yang juga Timbalan Pengerusi masjid berkenaan, Datuk Nazim Razak.

Pengerusi SAMM, Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard dalam satu surat terbuka kepada Najib yang dikeluarkan pada 10 April lalu menjelaskan SAMM mendapat maklumat bahawa kerja pengubahsuaian telah diberikan kepada firma arkitek Nazim, NRY Architect Sdn Bhd.

"Jikabenar, memandangkan adik Najib juga adalah Timbalan Pengerusi Masjid, maka wajar diperjelas sama ada terdapat percanggahan kepentingan sebagai pemilik firma NRY Architect Sdn Bhd.

"Najib sendiri harus memperjelaskan perlantikan Nazim sama ada atas kapasitinya sebagai Timbalan Pengerusi Masjid ataupun sebagai adik Perdana Menteri sendiri yang jelas kedua–duanya ada pertembungan kepentingan," kata beliau.

Sebelum ini, Najib telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi membiayai pengubahsuaian Masjid Kampung Baru di Kuala Lumpur yang akan disalurkan melalui syarikat pembangunan strategik milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad pada 5 Februari lalu.

Badrul berkata, isu ini hanya akan menimbulkan persepsi negatif di kalangan rakyat negara ini sekiranya Najib memilih untuk berdiam diri.

Ini kerana, jelas beliau, sebelum ini Najib turut memilih untuk berdiam diri semasa Najib serta Nazim dikaitkan dengan pembunuhan kejam seorang wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu oleh seorang penyiasat persendirian, P Balasubramanian melalui akuan bersumpahnya pada 3 Julai 2008.

Tambah beliau, tindakan Bala yang kemudiannya menarik balik dan menghilangkan diri ke luar negara menyebabkan timbulnya satu tanggapan negatif bahawa Najib mungkin terlibat dalam isu tersebut kerana sikap berdiam dirinya.

Katanya lagi, perkara terbaik dalam mengelak persepsi buruk adalah dengan Najib sendiri menjelaskan pertanyaan yang timbul di kalangan rakyat.

Badrul seterusnya berkata, adalah diharapkan agar Najib dapat memberikan penjelasannya melalui media massa sekiranya Najib menganggap SAMM hanya satu kumpulan kecil yang tiada kepentingan untuk dijawab dengan surat rasmi kerajaan.

Video Lucah : Siasatan Selesai, Tuan Punya Omega Tidak Penting, Kata Polis



KUALA LUMPUR 17 APRIL : Polis Bukit Aman sudah menyiapkan siasatan berhubung video lucah Datuk T mengikut Seksyen 292 Akta Kanun Keseksaan bersabit kesalahan mengedar bahan lucah, kata Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan, Jenayah Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata, identiti pemilik jam Omega bersabit kes itu tidak menjadi faktor penting dalam siasatan polis kerana perkara utama adalah “siapa penayang video itu,”.

Bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Chik, yang juga Pengerusi Risda, ahli perniagaan Datuk Sharzyl Eskay dan bekas Bendahari Perkasa Shuib Lazim mengaku mereka sebagai gandingan Datuk T yang menayangkan video itu kepada media tertentu di Hotel Carcosa 21 Mac lalu.

Mereka mendakwa rakaman itu menunjukkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan hubungan seks dengan seorang pelacur Cina di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 21 Februari lalu. Eskay juga menyerahkan sebuah jam Omega milik Anwar yang didakwa beliau dicuri oleh pelacur berkenaan.

Anwar menafikan dakwaan itu sebagai fitnah dan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Ketua Pembangkang itu berkata, beliau berada di rumah pada malam rakaman itu dibuat dan beriinteraksi menerusi Twitter dengan jaringannya. Anwar juga mengesahkan bahawa beliau masih mempunyai sebuah jam Omega dalam simpanannya.

Acryl berkata, laporan lengkap siasatan itu akan diserah kepada Pejabat Peguam Negara pada bila-bila masa dari sekarang untuk tindakan selanjutnya.

"Bagi pihak kami (polis), siasatan telah lengkap dari setiap sudut menjurus kepada Seksyen 292 Akta Kanun Keseksaan (kerana kesalahan mengedar bahan lucah).

"Terpulang kepada Peguam Negara untuk mengambil sebarang tindakan susulan terhadap kes ini dan sekiranya ada mana-mana perkara yang perlu disiasat semula (atas arahan Peguam Negara), kita akan siasatlah," katanya.

Ditanya mengenai maklum balas syarikat pengedar jam Omega mengenai identiti pemilik jam tangan itu, Acryl berkata polis tidak mempunyai kuasa untuk memaksa pengedar jam berkenaan memberi maklumat berhubung identiti pemilik jam terbabit.

"Kita tunggu sahajalah...kami tidak boleh paksa mereka untuk beri maklumat siapa pemilik jam tangan itu," katanya.

"Identiti pemilik jam itu bukan merupakan satu isu (dalam melengkapkan siasatan), apa yang penting dalam siasatan kita (Seksyen 292) adalah siapa penayang video itu," kata Acryl.

BN "Kawal" Tuai Rumah, Penghulu, Punca PKR Kurang Undi Pedalaman




SHAH ALAM 17 APRIL: Kekalahan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kerusi DUN kawasan-kawasan pedalaman Sarawak dalam pilihan raya negeri yang tamat semalam secara keseluruhan berpunca dari politik wang yang dimainkan oleh BN.

Pengarah Operasi Pilihanraya PKR Sarawak, Nicholas Bawin berkata selain itu, jentera pilihan raya BN mempunyai kelebihan kerana mempunyai akses media dan dana yang besar serta mempunyai kawalan terhadap ketua-ketua masyarakat di kawasan pedalaman.

"Bagi saya, BN punya jentera ada kelebihannya, itu satu, jenteranya memang ada kelebihan. Kedua dia ada kawalan terhadap tuai rumah, ahli majlis, penghulu semua untuk berpihak kepada BN kerana pengaruh tuai rumah, ahli majlis, penghulu di rumah panjang amat kuat, bukan kuat tetapi ini sudah menjadi budaya BN," jelas beliau.

Tambah beliau yang juga calon PKR DUN Batang Ai, para tuai rumah, ahli majlis serta penghulu terpaksa akur dengan kehendak BN yang mengawal kerajaan pusat dan negeri kerana antara syarat perlantikan mereka adalah akur kepada arahan pihak atasan.

Selain itu, beliau menjelaskan para ketua masyarakat kawasan pedalaman pula menggunakan kuasa mereka untuk mempengaruhi penduduk di kawasan itu kerana
kebanyakan mereka terutamanya kontraktor kecil dan sederhana bergantung dengan mendapatkan kontrak-kontrak kecil dari kerajaan.

"Duit itu, wang memang menjadi pengaruh yang terbesar, bagi saya. Mereka (BN) mempunyai kawalan terhadap wang, projek, janji-janji mereka. Walaupun di Batang Ai dahulu janji-janji mereka masih belum ditunai tetapi rakyat masih juga memilih BN kerana mereka yang miskin seperti kebanyakan Iban seperti saya memerlukan projek-projek untuk pembangunan," kata beliau lagi.

Beliau seterusnya berkata, walaupun kesannya tidak begitu besar jika dibandingkan jumlah undi yang diperolehi oleh Pakatan Rakyat tetapi bagi penduduk kawasan pedalaman Sarawak, inilah satu-satunya masa bagi mereka meraih sedikit keuntungan.

Nicholas berkata, walaupun kalah pilihan raya negeri Sarawak tetapi jika melihat kepada jumlah dan serakan undi PKR dan Pakatan umumnya, beliau yakin gagasan itu mampu menawan majoriti kerusi Parlimen Sarawak di PRU-13 akan datang.

"Bagi saya, perjuangan kita perlu diteruskan kerana kalau kita lihat kita sudah dapat 44 peratus sokongan daripada rakyat dan ini menunjukkan sokongan sudah meningkat. Walaupun di pedalaman, di rumah panjang tidak begitu baik tetapi secara keseluruhannya, sistem dua parti akan ditentukan oleh rakyat mulai daripada sekarang," jelas beliau.

"Sebenarnya kita tahu apakah kelemahan-kelemahan kita tadi tetapi ini bukan sesuatu yang menghampa atau melemahkan semangat, tidak. Sebenarnya rakyat lebih-lebih lagi orang muda, profesional, dia memang mahukan sistem dua parti, demokrasi sebenar untuk beroperasi di Sarawak," kata beliau lagi.

PKR menang di tiga kerusi iaitu DUN Krian, Batu Lintang dan DUN Ba'kelalan.

Ketiga-tiganya adalah di kawasan bandar iaitu Kuching, Miri dan Sibu.

Nik Aziz Akur Pakatan Pembangkang Tewas, Gembira Undi Meningkat




KOTA BAHARU 17 APRIL : Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akur pembangkang gagal menawan Sarawak pada pilihan raya negeri ke-10 semalam.

Katanya, walaupun gagal menumbangkan Barisan Nasional namun beliau gembira dengan peningkatan peratusan undi yang dicatatkan pakatan pembangkang.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan itu berkata, peningkatan jumlah peratusan undi itu juag membuktikan bahawa rakyat Sarawak semakin menerima kehadiran pembangkang di negeri itu terutama undi yang diterima DAP.

"Penduduk bandar jelas menolak Barisan Nasional (BN) dan memihak kepada DAP tetapi bagi PAS kita gembira sokongan semakin meningkat walaupun tewas kesemua kerusi," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di

sini, hari ini.

Pada pilihan raya negeri Sarawak semalam, BN memenangi 55 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan dengan DAP memenangi 12 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) tiga manakala satu lagi kerusi dimenangi calon Bebas.

Budaya Sistem Dua Parti Mula Menular Di Sarawak




SHAH ALAM 17 APRIL : Pilihanraya negeri Sarawak yang berakhir semalam memberi petanda paling jelas bahawa sistem politik dua parti di Semenanjung sudah sampai ke Sarawak secara dinamis, sekali gus mengubah lanskap negeri itu, mungkin buat selama-lamanya.

Walaupun mengekalkan majoriti dua pertiga, Barisan Nasional (BN) pimpinan Taib Mahmud bukan sahaja hilang 16 kerusi, tetapi juga sokongan pengundi Cina di kawasan bandar manakala semakin ramai pengundi Iban dan Dayak condong kepada Parti Keadilan Rakyat.

Dalam erti kata lain, kemenangan paling nyata untuk PR dalam PRN Sarawak adalah gagasan itu kini bertapak kukuh di Bumi Kenyalang ketika negeri itu melalui proses peralihan kepimpinan.

Persoalan yang tinggal adalah bukan sama ada tetapi bila Abdul Taib Mahmud akan berundur setelah 30 tahun menerajui negeri ini dan siapa yang akan menggantinya.

Kekalahan 40 daripada 41 calon bebas dan fakta semua 26 calon SNAP tewas teruk manakala gandingan DAP, PKR dan PAS membuahkan 15 kerusi menunjukkan rakyat Sarawak bersedia menerima parti politik kebangsaan untuk membela mereka.

Modal lama kononnya parti Semenanjung hanya datang untuk menjajah orang Sarawak ditolak, bukan sahaja di bandar, tetapi juga di kawasan-kawasan terpencil seperti Krian dan Ba'kelalan.

Justeru itu kali ini, DAP dan PKR Berjaya menambah dua kali ganda jumlah kerusi yang diperolehi.

Enam kerusi DAP pada tahun 2006 bertambah kepada 12 manakala PKR dari satu menokok kepada tiga.

Sebenarnya jika diperinci, PKR telah memulakan PRN Sarawak kali ini tanpa sebarang kerusi, kerana telah menyerahkan kerusi Padungan yang dimenangi pada tahun 2006 kepada DAP.

Justeru itu, kesemua tiga kerusi di Batu Lintang, Krian dan Bakelalan adalah kerusi baru yang dimenangi oleh PKR.

Taktik SNAP untuk memaksa pertandingan tiga penjuru, seperti yang dijangka memberi kelebihan kepada BN di kerusi-kerusi yang ditandingi oleh PKR di kawasan pedalaman.

Begitu juga kehadiran calon-calon persendirian yang menjadi kebiasaan dalam PRN Sarawak, bertujuan untuk memastikan BN tidak berdepan dengan PKR dalam satu lawan satu.

Keputusan PRN menunjukkkan bahawa di banyak kerusi, jika pertandingan satu lawan satu di antara PKR dan BN menjadi kenyataan, pemerintah, meskipun dengan kelebihan wang dan kemudahan pengangkutan, belum tentu menang selesa di kawalan pedalaman.

Hakikat bahawa calon-calon Snap dan bebas hanya memperolehi ratusan undi menunjukkan sebilangan besar daripada mereka dibiayai oleh dalang-dalang tertentu.

Tujuannya bukan untuk menumbangkan BN tetapi untuk memastikan kemenangan pemerintah dalam apa cara sekali pun.

Hanya seorang calon bebas, George Ak Lagong menang kerusi Pelagus, manakala 36 calon bebas dan 23 calon Snap hilang deposit mereka menunjukkan rakyat Sarawak semakin menerima PKR dan gandingan Pakatan Rakyat dalam mencorakkan masa depan mereka.

Secara keseluruhan trend pengundi menunjukkan mereka tidak lagi percaya kepada Snap dan semakin menerima perjuangan Pakatan Rakyat.

Sudah tentu, DAP, PKR dan PAS akan menggunakan kemenangan Pakatan Rakyat semalam untuk membina asas yang lebih kukuh bagi meningkatkan kepercayaan rakyat Sarawak.

Undi popular BN keseluruhannya dalam PRN kali ini adalah 372,379 undi atau 55.36 peratus, menyusut daripada 62.91 peratus lima tahun lalu dan 71.16 peratus pada tahun 2001.

Pakatan Rakyat mendapat undi popular 300,288 undi atau 44.64 peratus, isyarat jelas bahawa simpanan tetap BN sudah tidak lagi pertaruhan mutlak untuk terus memerintah Bumi Kenyalang dan menyumbangkan bilangan kerusi yang lumayan di Dewan Rakyat.

Baru Bian : Keputusan PRN Bukti Rakyat Sarawak Yakini Sistem Dua Parti





KUCHING 17 APRIL : Pengerusi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat Sarawak, Baru Bian berkata, keputusan Pilihan Raya Negeri kali ke-10 ini pastinya memberi implikasi kepada Sabah dan tentunya Semenanjung Malaysia pada Pilihan Raya Umum kelak.

Ini katanya terbukti melalui trend pengundian rakyat Sarawak yang mula membuka ruang kepada pembangkang seterusnya mula mendokong sistem dua parti yang selama ini cuba dinafikan oleh Umno-BN.

Malah ujarnya kejayaan Pakatan Rakyat merampas lapan kerusi daripada BN adalah satu petanda baik, perubahan sedang menular di Bumi Kenyalang.

Justeru mesej yang disampaikan Pakatan Rakyat dalam siri kempennya berjaya membuka minda rakyat Sarawak.

" Kemunculan sistem dua parti, petanda baik, bukti rakyat terima konsep sistem dua parti dan ini digambarkan dalam keputusan PRN Sarawak," kata Baru kepada pemberita malam tadi.

" Keputusan juga akan punyai implikasi penting kepada Sabah dan juga beri keyakinan kepada pengundi Semenanjung terhadap Pakatan Rakyat,"tambahnya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malam tadi mengumumkan BN memperoleh 55 kerusi, hilang lapan kerusi berbanding 2006 dengan 63 kerusi.

DAP pula berjaya memenangi 12 kerusi daripada 15 kawasan yang ditandinginya.

DAP memperoleh 134,847 undi, manakala Parti Keadilan Rakyat pula berjaya merampas tiga kerusi dengan undi 117,100 undi.

Sementara Bebas memenangi satu kerusi, manakala lainnya, SNAP, PAS, PCM tidak memenangi mana-mana kerusi.

Pilihan raya kali ini juga menyaksikan 71 calon hilang wang deposit apabila gagal memperoleh 8 peratus pengundi di kawasan yang ditandingi.

Kajian segera yang dibuat penganalisis mendapati reputasi BN semakin menjunam dan cengkaman mereka ke atas Sarawak semakin longgar.

Sementara Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dalam Twitternya malam tadi menulis, undi popular BN Sarawak telah merosot teruk dari 62.93 peratus kepada 55.24 peratus.

Menurut Baru, BN perlu sedar hakikat, bahawa Sarawak bukan lagi simpanan tetap buat mereka.

" Nampaknya simpanan tetap BN telah mula dikeluarkan melihat kepada keputusan PRN ini.

" Fokus kita sekarang ialah terhadap isu tanah, (saya) akan bawa isu dalam sidang DUN dari segi aspek perundangan dan dasar sedia ada. Ini akan jadi keutamaaan kita,"katanya yang akan mengangkat sumpah bila-bila masa sahaja sebagai ADUN Ba'kelalan.

Baru semalam memperoleh 2,505 undi berbanding calon BN dari SPDP yang memperoleh 2,032 undi.

Meskipun menang tipis dengan hanya 475 undi, laluan Baru untuk calon PKR itu berhadapan rintangan besar apabila dikatakan berlakunya proses pembelian undi yang begitu hebat di kawasan berkenaan.

DUN Ba'kelalan mempunyai 6,958 pemilih berdaftar.

Pengundi di DUN ini terdiri daripada Melayu/Melanau 2.72 peratus, Cina 3.29 peratus, Iban 4.05 peratus, Bidayuh 0.26 peratus, Orang Ulu 89.67 peratus dan lain-lain 0.01 peratus.