E-Mail 1 Malaysia Lanjutan Sarkas Najib, Kata Kit Siang



SHAH ALAM 19 APRIL : Kerajaan Barisan Nasional membelanjankan RM50 juta untuk memberikan e-mel percuma 1 Malaysia kepada setiap rakyat negara walaupun hampir seluruh masyarakat yang celit teknoloji maklumat di negara ini mempunyai e-mel sebegitu, kata Penasihat DAP Lim Kit siang.

Adalah dipercayai projek e-mail 1 Malaysia yang dibiayai dengan wang rakyat akan digunakan oleh Barisan Nasional untuk menyebarkan propaganda pemerintah, khususnya semasa pilihanraya umum.

"Saya fikir emel 1 Malaysia ialah penipuan terbaru dalam 'sarkas 1 Malaysia ini. Rakyat Malaysia tidaklah terlalu 'ketinggalan dalam IT sehingga memerlukan RM 50 juta untuk 'diberikan emel baru. Seperti yang kita tahu, kanak-kanak 12 tahun pun sudah pandai membuat akaun e-mel sendiri dan kebanyakan rakyat sudah pun mempunyai kemudahan itu, kata beliau kepada TV Selangor hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan Kesemua rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas akan diberikan akaun e-mel 1 Malaysia yang terjamin bagi tujuan-tujuan rasmi.

Portal web bernilai RM 50 juta itu akan dibangunkan oleh Tricubes Berhad, antara lain menyediakan perkhidmatan seperti rangkaian sosial dan pembayaran bil atas talian.

Kit Siang berkata alasan Najib kononnya e-mail 1Malaysia itu diwujudkan demi memastikan keselamatan transaksi menerusi alam siber tidak masuk akal kerana pilihanraya Sarawak membuktikan Malaysia masih jauh ketinggalan dalam aspek menangkis serangan siber.

"Dari pengalaman pilihan raya Sarawak yang lalu, kita lihat pelbagai serangan siber terhadap Malaysiakini, Sarawak report, dan Harakah online. Idea emel satu Malaysia kepada setiap rakyat Malaysia hanya membuka satu lagi cabang untuk membolos kehidupan peribadi rakyat tanpa menitikberatkan soal keselamatan," kata Kit Siang.

Kit Siang mempertikaikan pembaziran tersebut dan menyatakan Kerajaan boleh menggunakan wang rakyat tersebut dengan tujuan yang lebih baik.

"RM 50 juta ringgit yang diperuntukkan untuk emel 1 Malaysia ini lebih baik disalurkan untuk pembangunan dan pembinaan keperluan asas luar bandar seperti kemudahan air dan elektrik," tegas beliau.

Justeru Kit Siang menyatakan e-mail 1 Malaysia tidak lebih daripada satu lagi projek BN untuk memperkayakan kroni tertentu dengan membazirkan wang rakyat.

"Keseluruhan idea t-shirt 1 Malaysia, tupperware 1 Malaysia, air mineral dan burger 1 Malaysia, menjadikan tujuan 1 Malaysia sebuah sarkas. Ia langsung tidak menyumbang kepada tujuannya yang sebenar untuk menyatukan rakyat. Tapi hanya menguntungkan sebahagian orang yang saya gelarkan 'pemburu kekayaan 1 Malaysia," katanya lagi.

No comments: