Pakatan mampu menang 19 kerusi
Menurut pengamatan pelbagai sumber, walaupun bakal hilang banyak kerusi, BN masih mempunyai peluang cerah mengekalkan penguasaan dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) di kena sentuhan terakhirnya.
"Dalam kempen di beberapa hari terakhir ini, semua kemungkinan boleh berlaku. BN masih ada strategi 'carpet bombing' melalui pengumuman projek segera dan pemberian imbuhan pilihan raya terutamanya di kawasan bandar," kata pemerhari politik Dr Jeniri Amir.
Pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sarawak itu juga berkata, walaupun penduduk bandar menunjukkan perubahan yang luar biasa dengan menyokong Pakatan, berdasarkan tred dalam pilihan raya sebelum itu, bola akan kembali bertukar ke kaki BN semula.
"Masyarakat luar bandar masih dilihat mempunyai pemikiran simple minded," katanya kepada Malaysia.
Menurut sumber-sumber yang dekat dengan kerajaan, bacaan semasa menunjukkan, sebanyak 28 kerusi masih memihak kepada BN, 19 mampu dirampas pembangkang dan 24 lagi peluangnya masih '50-50' antara kedua-dua pihak yang bertanding.
Jika dilihat dari aspek kaum pula, undi Cina kini memihak kepada Pakatan, Melayu dan Melanau masih menyokong BN manakala masyarakat Iban pula mula sedikit demi sedikit berpindah daripada BN kepada pembangkang.
Bacaan ini selari dengan pemantauan NGO pengkaji "kepercayaan politik" Zentrum Future Studies yang mendapati sokongan masyarakat luar bandar kepada BN merosot dari 80 kepada 61 peratus.
Menurut presiden Zentrum, Dr Abu Hassan Hasbullah, di kawasan luar bandar, sokongan terhadap parti pemerintah turut menyusut dari 65 kepada 38 peratus sahaja.
Justeru, jika Pakatan mampu mempertahankan menangkis serangan terakhir BN, termasuk kedatangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri, sejarah akan berlaku di Bumi Kenyalang.
Menurut sumber-sumber Umno pula, setelah parti Melayu itu mula menyuntik jenteranya di pelbagai kawasan, terutamanya di luar bandar dalam beberapa hari kebelakangan ini, mereka yakin, paling tinggi, Pakatan hanya dapat merampas 15 kerusi sahaja.
"Bagaimanapun, tujuh atau lapan kerusi di kawasan bandar memang sudah tidak boleh dipertahankan lagi," jelas sumber-sumber itu.
AlKitab: Pengundi Krisitian Terguris, kata Calon PKR 13/04/2011
KUCHING 13 APRIL : Penganut Kristian seluruh negara terutama di Sarawak masih marah dengan Umno-Barisan Nasional dalam isu Alkitab, menjelang pilihanraya negeri Sarawak Sabtu ini.
Calon Parti Keadilan Rakyat bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Betong, Stanny Embat Pharoh ak Laja berkata, penganut Kristian Sarawak merasa terguris dengan tindakan Kementerian Dalam Negeri merampas 35,000 naskah kitab Injil versi Bahasa Malaysia atau Alkitab di Pelabuhan Klang dan Kuching.
Tambah beliau, apa yang lebih menyakitkan hati mereka apabila KDN bertindak meletakkan cop "untuk kegunaan penganut Kristian sahaja" pada muka depan kitab suci agama mereka.
"Orang Kristian memang sampai sekarang sangat marah kepada Najib dan BN. Mereka mungkin tidak mahu berdemonstrasi dalam isu ini tapi mereka pendam rasa marah mereka di dalam hati.
"Saya yakin Sabtu ini mereka akan membuat pendirian tegas terhadap pihak yang dilihat menghina agama Kristian dan penganut Kristian," kata Stanny kepada TV Selangor.
Menurut beliau, tidak ada sebab untuk kerajaan BN mengenakan sekatan ke atas Alkitab termasuk penggunaan kalimah Allah.
Tegas beliau lagi, BN gagal menyelesaikan isu Alkitab dengan baik malah konsep 1Malaysia Najib juga ternyata gagal sama sekali.
Difahamkan Alkitab ini menjadi isu yang begitu meruncing pada pilihanraya negeri sarawak, selain faktor Taib Mahmud yang menjadi ketakutan utama kepada Barisan Nasional.
Untuk meredakan desakan rakyat, Najib mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin gereja di Sarawak hari ini.
Minggu lalu, Putrajaya menawarkan formula 10 perkara untuk menyelesaikan isu Al-Kitab itu namun gabungan gereja-gereja dan pertubuhan Krisitian tidak menerima formula itu tetapi mahu mencari penyelesaian ke atas beberapa isu bersabit kebebasan agama yang telah berlarutan.
SPR Buka Satu Pusat Undi, Pengundi Pos Merungut
KUCHING, 13 APRIL : Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang hanya mewujudkan satu pusat pembuangan undi pos di Parlimen Kuching, bagi pilihan raya negeri (PRN) Sarawak dipertikai banyak pihak.
Parlimen Kuching meliputi dewan undangan negeri (DUN) Satok, Demak, Laut, Tupong dan Samariang.
Seorang anggota kanan polis, Supritenden Inspektor Shamsudi Hassan berkata, hanya sebuah pusat undi pos tidak mampu menampung jumlah pengundi pos yang jumlahnya melebihi 1,000 orang, di tempat beliau bertugas.
"Tak boleh lah satu pusat pengundian (IPD) sahaja...biasanya dulu setiap setiap IPD (daerah) dan saya sendiri sejak jam 8 pagi tadi masih tak mengundi (sekarang 9.40 pagi).
"IPD sahaja lebih 1000 anggota, tak masih (polis) Marin, tentera dan yang lain-lain lagi, " Shamsudin.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dipusat pembuangan undi di Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sarawak, pagi tadi.
Seorang pegawai SPR memberitahu, lebih 10,000 pengundi pos berdaftar layak mengundi di pusat pengundian di pusat pembuangan undi di sini.
Mereka bukan sahaja terdiri oleh anggota polis, malah polis marin, pegawai kerajaan serta kakitangan SPR sendiri.
SPR turut membuka satu pusat membuang undi untuk tentera di Batu 7, berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.
Namun menurut Shamsudi, SPR sepatutnya membuka pusat undi pos di semua ibu pejabat polis daerah (IPD) sebagaimana dalam pilihan raya negeri ke-9, tahun 2006 lalu.
"Kami pun nak menunaikan tanggungjawab, tanggungjawab mengundi dan tugas-tugas harian kami hari ini.
"Polis pun nak perubahan, jangan kata polis tidak suka perubahan untuk Sarawak ini," ujarnya lagi.
Proses pengundian yang bermula sejak 8 pagi tadi dijadualkan berakhir pada 5 petang ini.
Sumber Jabatan Strategik PKR yang diketuai oleh Rafizi Ramli memaklumkan seramai 3,000 pengundi pos didaftar di DUN Nangka dan 1,200 pengundi lain berdaftar di DUN Senadin.
Di DUN Satok pula, lebih 500 pengundi berdaftar di DUN yang ditandingi oleh Ketua AMK Sarawak Ahmad Nazib Johari.
Begitu juga di DUN Benguh, jumlah pengundi pos juga melebihi 500 undi.
Seramai 150 pengundi pos berdaftar layak mengundi di DUN Samariang.
Dalam perkembangan yang sama, Rafizi dalam satu kenyataan media semalam meminta SPR memberi keistimewaan kepada pengundi berdaftar di Semenanjung Malaysia mengundi secara pos.
Ini kerana katanya, lebih 20 ribu dianggarkan berada di sana dan mustahil berpeluang pulang ke Sarawak menggunakan perkhidmatan kapal terbang dalam masa yang terhad ini.
Pengundi berdaftar secara bukan pos dijadualkan membuang undi pada 16 April ini.
Sebanyak 71 kerusi dipertandingkan pada pilihan raya negeri Sarawak ke- 10 ini.
Najib : Dua Pertiga Adalah Bonus
KUCHING 13 APRIL : Perdana Menteri Najib Abdul Razak menyifatkan sebagai “bonus” jika Barisan Nasional memperolehi majoriti dua pertiga pada pilihan raya negeri Sawarak Sabtu ini, dalam pengakuan yang mencerminkan keresahan beliau mengenai peluang parti pimpinannya.
Najib berkata sasaran BN adalah untuk membentuk kerajaan negeri, yang hanya memerlukan kemenangan majoriti mudah.
"Kemenangan dua pertiga adalah satu sasaran yang mampu dicapai. Jika kita capainya dua pertiga itu satu markah bonus untuk wujud kerajaan yang kuat dan stabil," katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Mesra Rakyat di Pejabat Daerah Kecil Sadong Jaya yang mempunyai majoriti pengundi Melayu.
Najib menjawab soalan mengenai kenyataan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud semalam yang optimis untuk mengekalkan majoriti dua pertiga dengan kemenangan di kawasan luar bandar dan pinggir bandar.
Keyakinan itu bagaimanapun dibayangi rekod kehadiran pengundi yang tinggi pada ceramah-ceramah anjuran Pakatan Rakyat di bandar dan luar bandar sejak penamaan calon pada 6 April lalu.
Malah semua stesen telivisyen dilaporkan menerima arahan untuk tidak lagi menyiarkan ceramah pembangkang yang mempunyai kehadiran tinggi.
Datuk Seri Najib akur pilihan raya Sarawak kali ini adalah paling sengit dalam sejarah politik negeri ini.
Ditanya kononnya BN cuma membawa "politik Semenanjung", Najib berkata, tuduhan pembangkang itu hanya untuk mengelirukan pengundi sedangkan mereka sendiri turut berkempen di Sarawak.
"Anda tengoklah sendiri Lim Kit Siang, Anwar Ibrahim, Hadi Awang dan Lim Guan Eng juga ada di sini turun berkempen.
"Saya - mereka kata tak boleh pulak. Saya adalah Perdana Menteri untuk semua, untuk ralyat Sarawak juga," katanya.
Bagaimanapun Najib tidak mengulas hakikat bahawa beliau menongkah tradisi BN meletakkan kepercayaan kepada Timbalan Perdana Menteri untuk mengetuai kempen BN.
Pada pilihanraya kali ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin terpaksa memberi laluan kepada Najib untuk menangani sentimen rakyat Sarawak terhadap Ketua Menteri Abdul Taib Mahmud yang memerintah negeri itu lebih 30 tahun.
Rekod Taib yang dibelit dengan pelbagai tuduhan rasuah dan penyelewengan kuasa memberi harapan untuk Pakatan Rakyat menembusi beberapa kubu kuat BN khususnya di kawawasan bandar.
Walaupun sebelum ini Taib member komitmen untuk berundur selepas pilihanraya negeri, semalam beliau menegaskan akan terus memegang kuasa untuk beberapa tahun, jika BN terus diberi mandat oleh rakyat.
DAP: Suasananya umpama Pulau Pinang sebelum BN tumbang
Suasana Sarawak kini umpama Pulau Pinang sebelum kerajaan Barisan Nasional tumbang pada 8 Mac 2008, kata Liew Chin Tong, ahli parlimen Bukit Bendera merangkap Setiausaha Jawatankuasa Pilihan Raya DAP. Bagaimanapun, beliau berkata DAP memerlukan sokongan Iban yang melebihi paras 30% untuk memenangi kesemua 15 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Hanya peralihan sokongan Iban kepada DAP akan meningkatkan peluangnya untuk memenangi 15 kerusi yang dipertandingkan, kata Liew Chin Tong ketika mengulas kenyataan SUPP bahawa seandainya DAP memenangi 15 kerusi yang dipertandingkan, maka kesemuanya dalah kawasan majoriti Cina.
"Kami memerlukan sekurang-kurangnya 25% atau 30% undi Iban, barulah kami menaruh harapan untuk mengambil 15 kerusi. Malah di Sibu, seandainya kami tidak mempunyai lebih daripada 30% undi Iban, kami gagal menang keempat-empat DUN di bawah Sibu," ulas Liew Chin Tong.
Menurut Pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng yang juga calon DUN Bukit Assek, DAP memperolehi sokongan kira-kira 22% daripada pengundi Iban dalam PRK Sibu 2010, maka mereka masih memerlukan 8% untuk memenangi kesemua 15 kerusi. Ahli parlimen Sibu ini berkata, mereka mendapat sambutan yang agak baik dari kawasan orang asli, jadi tidak menolak kemungkinan bahawa sokongan terhadap DAP akan meningkat.
Sokongan Iban untuk PKR juga meningkat
Seandainya DAP mampu meningkatkan sokongan Iban kepada 30% atau lebih, maka undi kepada PKR berkemungkinan lebih daripada DAP. "Jikalau DAP mampu mendapat 30% undi Iban, maka DAP bukan hanya menang di kawasan Cina. Dan kerusi lain BN juga akan tumbang. Dengan kata lain, penafian dua pertiga atau membentuk kerajaan baru di Sarawak menjadi sesuatu yang mungkin," kata Liew Chin Tong.
Liew (gambar kanan) menambah, tempoh kempen PRN kini memasuki hari keenam, dan suasananya seolah-olah Pulau Pinang sebelum tsunami politik melanda pada 8 Mac 2008. Pada ketika itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Koh Tsu Koon tidak tahu untuk melantik siapa sebagai penggantinya, dan keadaan inilah yang sedang dihadapi Taib Mahmud sekarang.
Beliau berkata, Taib tidak tahu bagaimana untuk berundur, gagal menentukan penggantinya, malah tidak menentukan masanya walaupun digesa Perdana Menteri. Jadi, PR perlu menafikan majoriti dua pertiga atau menumbangkan BN, barulah Taib Mahmud boleh berundur dari jawatannya.
Selain itu, ketika ditanya isu Baru Bian sebagai Ketua Menteri seandainya PR menang dalam PRN Sarawak, Wong Ho Leng berkata, rancangan mereka kekal, iaitu Baru Bian tetap calon utama seandainya PR berjaya membentuk kerajaan negeri. Namun demikian, Baru Bian perlu juga menang di kawasan DUN Ba'kelalan.
"Jikapun kami (DAP) menang 15 kerusi, kita masih memerlukan 21 kerusi lagi. Jika DAP mendapat 15 kerusi, PKR 15, kami masih memerlukan enam kerusi dari PAS. Namun kemungkinan ini rendah." Wong berkata PKR perlu memenangi kerusi yang lebih daripada DAP untuk Baru Bian menjadi Ketua Menteri. Bagaimanapun, beliau enggan menyebut "mustahil", sekadar berkata, "Kami telah bersedia."
SUPP cuba raih undi simpati
Wong Ho Leng seterusnya berkata, SUPP sendiri mengakui bahawa keadaan mereka semakin meruncing, melalui iklan yang dimainkan. Wong berkata SUPP kini cuba meraih undi simpati daripada khalayak umum, termasuk menangis ketika berucap.
Wong (gambar kiri) cuba menenangkan orang Cina bahawa hak mereka tidak tergugat, walaupun calon SUPP kecundang. Beliau mengambil contoh bagaimana negeri Perak yang sebelum ini dimenangi DAP di 18 kawasan Cina. Akhirnya, tujuh EXCO keturunan Cina dilantik dalam kerajaan negeri Pakatan Rakyat. Selepas rampasan kuasa berlaku, MCA-BN yang hanya memenangi satu kerusi dijadikan EXCO keturunan Cina yang tunggal dalam kerajaan negeri BN di Perak. Dasar yang mesra kepada komuniti Cina sebelum ini tidak terjejas, kerana BN sedar bahawa komuniti Cina adalah kingmaker.
*Ong Vic Kee ialah wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Disedut, disunting dan diterjemah dari teks asal.
BN Didakwa Guna Provokasi Agama Di Sarawak
KUCHING 12 APRIL : Barisan Nasional dikatakan mula membakar sentimen perkauman dan keagamaan rakyat Sarawak dalam cubaan terdesak mencari sokongan dengan kempen pilihanraya negeri yang cuma tinggal empat hari lagi.
Kain rentang tertera "Kalau undi PKR bermakna undi negara Islam" dan "Mengundi PKR adalah mewujudkan negara Kristian" dilaporkan kelihatan di beberapa tempat di sekitar Sarawak untuk menghakis sokongan rakyat terhadap Parti Keadilan Rakyat.
Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli hari ini menggesa BN untuk menghentikan kempen provokasi sedemikian kerana ia adalah “taktik murahan yang membahayakan rakyat Sarawak sendiri.”
"Jika BN ikhlas tidak mahu rakyat tunduk kepada sebarang provokasi, maka BN sendiri harus berhenti menggunakan agama dan kaum untuk menakut-nakutkan mereka,’ tegas beliau.
Rafizi berkata PKR akan terus berkempen seperti biasa dengan memberi tumpuan kepada isu-isu tempatan.
Pada masa sama, ceramah penerangan juga terus memberi fokus kepada kepincangan Sarawak akibat 30 tahun pemerintahan Ketua Menteri Abdul Taib Mahmud.
Rafizi berkata Taib yang menegaskan beliau akan terus memerintah Sarawak untuk jangka masa terdekat, jelas tidak mahu melepaskan kerusi Ketua Menteri walaupun menerima isyarat daripada Perdana Menteri untuk berbuat demikian.
Pendirian bercanggah yang dibuat oleh dua pemimpin itu menimbulkan persoalan siapa yang memimpin kempen BN di Sarawak.
"Dia (Taib) kata: dia memerlukan dua sehingga tiga tahun untuk berundur."Kita (PKR) dari awal-awal lagi menganggap Taib tidak akan berundur kecuali rakyat mengubah pemerintah,’ kata Rafizi.
Rafizi berkata jika ikhlas, Taib harus mengumumkan tarikh baru beliau akan berundur setelah gagal melaksanakan janji untuk meletak jawatan pada tahun 2000.
Dalam pada itu, Rafizi menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk berani menyiasat BN bersabit perbelanjaan parti itu pada pilihanraya negeri ini.
"Dah terlalu banyak (perbelanjaan Barisan Nasioanl) sehingga tidak terhitung oleh kami. Rakyat boleh menilai sendiri. Kalau layak untuk masuk ke Malaysia Book's of Record, harap Barisan Nasional boleh usahakan, kata beliau.
Selain itu, Rafizi turut mempersoal peranan pasukan Taib dalam menggodam Free Radio Sarawak dan sesawang Sarawak report yang menjadi sumber bertia alternatif bagi rakyat negeri ini.
Beliau membidas BN kerana mengekang sumber-sumber maklumat yang memerinchi dasar-dasar BN di bawah Taib untuk Sarawak.
"Apakah mereka (pentadbiran Taib) bertanggungjawab atas serangan sehingga melumpuhkan radio Sarawak dan sesawang Sarawak Report," tanya beliau lagi.
"Jangan mengambil tindakan keras dengan halang media-media ini," beliau menambah.
Bridget Welsh:Musim bunga di Sarawak?
| Bridget Welsh |
| Semasa angin perubahan menggoncang Timur Tengah daripada Tunisia ke Yemen, ramai yang berpendapat bahawa perkara tersebut tidak akan berlaku di Malaysia. Kerajaan BN yang mempunyai rekod pentadbiran yang baik, dengan semua ketidakseimbangan dalam lapangan pertarungan, telah mengadakan satu pilihanraya yang kompetitif. |
Anwar : Taib Harus Undur, Sistem Pemerintahan Mesti Ditukar
KUCHING 12 APRIL : Pembaharuan politik yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat adalah untuk menerapkan sistem pemerintahan yang beramanah dan berwibawa di Sarawak , bukan semata-mata untuk menuntut pengunduran Abdul Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertukaran pucuk pimpinan harus seiring dengan perubahan dalam sistem pemerintahan yang mencorak dasar sesebuah negara atau negeri.
"Politik ini bukan soal peralihan kuasa. Perdana Menteri dan Ketua Menteri silih berganti tapi yang kita mahu ubah ialah sistem,” kata Anwar dalam ceramahnya di Satok.
“Yang kita suruh berhenti bukan Taib seorang, tapi seluruh kekuatan Barisan Nasional Sarawak," tegas Anwar, disahut tepukan gemuruh hadirin yang rata-rata masyarakat kaum Melayu.
Anwar yang berada di Sarawak sejak minggu lalu kini giat menjelajah ke seluruh pelusok Sarawak untuk membantu calon-calon Pakatan Rakyat melakukan kejutan pada pilihanraya negeri Sabtu ini.
Di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok, PKR meletakkan calon muda, Ahmad Nazib Johari untuk pertandingan satu lawan satu menentang calon veteran BN, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.
Abang Johari mempertahankan kerusi itu untuk penggal ke lapan.
Dalam ucapannya, Anwar mengupas soal hak kesamarataan yang dinafikan kepada penduduk Sarawak.
Beliau membidas pemimpin-pemimpin BN yang berjuang atas nama Melayu namun membiarkan kaum itu hidup dalam kedaifan di bumi Sarawak.
Justeru Ketua Pembangkang itu, pengundi Sarawak tidak harus membenarkan BN pimpinan Taib terus-menerus memperlekehkan rakyat.
Beliau berkata masa sudah sampai untuk Sarawak membebaskan diri daripada cengkaman Taib yang selama ini memperalatkan rakyat demi memperkayakan diri.
"Jangan orang lain berani bodohkan dan menjadikan rakyat kuli mereka," tegas Anwar.
Anwar turut isu kitab Injil versi Bahasa Malaysia (Alkitab) yang mencetuskan kemarahan rakyat beragama Kristian kerana setiap penyelesaian yang ditawarkan Umno berpandukan kepada mencari kelebihan politik semata-mata.
Katanya, sejak zaman kebangkitan Islam, penganut islam dan Kristian sering bertolak ansur demi menjaga keharmonian dengan mempercayai prinsip agama masing-masing sekaligus menolak perhambaan keatas umat manusia.
Anwar seterusnya berkata, sekiranya rakyat Sarawak memberikan mandat kepada Pakatan Rakyat untuk memerintah negeri itu pada pilihanraya negeri kali ini, maka
perubahan sistem dan dasar kesaksamaan akan dijulang sekaligus mengembalikan hak semua kaum.
"Dia kata kalau Anwar, Tok Guru Nik Aziz kalau perintah beri semua kepada Cina. Itu kempen dia (BN). Saya kata hak dia kita beri, saya tidak bimbang. Saya mahu jawab kalau kami perintah, Insyallah pada ketikanya, kami akan adil kepada Melayu, Cina, Iban dan India," ujarnya lagi.
Pilihanraya negeri Sarawak ke 10 kali ini dijangka sengit berikutan Pakatan Rakyat meletakkan calon pada hampir kesemua kerusi yang dipertandingkan.
Gagasan itu mensasarkan kemenangan sekurang-kurang 24 buah kerusi bagi menafikan majoriti dua pertiga BN.
Mesej Khalid Kepada BN : Berpolitiklah Dengan Cara Lebih Matang
SHAH ALAM 12 APRIL : Populariti negeri Selangor bawah pimpinan Pakatan Rakyat dicemburui Barisan Nasional lalu menjadikan ia sasaran kritikan demi menonjolkan kegagalan pentadbiran di bawah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Itu taktik terbaru yang digunakan Barisan Nasional dalam siri kempen mereka di Sarawak apabila Pakatan Rakyat menjadikan Selangor sebagai negeri contoh kejayaan mereka membangunkan Selangor di bawah konsep 'Merakyatkan Ekonomi Selangor'.
Khalid yang ditemui Tv Selangor hari ini melahirkan kekecewaannya dengan taktik Barisan Nasional itu yang sanggup menyebarkan fitnah dalam memastikan kelangsungan politik mereka.
"Itu adalah satu tindakan terdesak dengan memburuk-burukkan tanpa asas dan fakta yang benar, jadi di Selangor kita lebih matang dengan perkara tersebut, jadi apa yang berlaku ini kita harus mengambil pengajaran dan menjadikan ia sebagai contoh yang tidak harus digunapakai di Selangor dan Malaysia,"katanya.
Terbaru, pada sesi Dialog Bersama Masyarakat Kristian di Kuching semalam, Exco Selangor, Teresa Kok dan ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad mendedahkan pelbagai bentuk fitnah yang direka cipta Barisan Nasional sama ada melalui papan iklan mahupun pada akhbar berbahasa Cina untuk memburukkan pentadbiran Pakatan di Selangor.
Antara gambaran buruk yang diberikan ialah kerajaan Selangor dengan sewenang-wenangnya menaikkan harga lesen penjaja di pasar dan larangan penjualan arak.
Bagaimanapun perkara itu dinafikan oleh Khalid.
Menurut Khalid, beliau akur pelbagai usaha dilakukan oleh parti bertanding pada pilihan raya negeri Sarawak demi meraih perhatian rakyat, namun katanya biarlah ia dilakukan dengan adil, telus dan tidak menyelitkan elemen fitnah demi menjatuhkan lawan.
"Dari segi politik, sudah tentulah kita berpendapat, semua pihak akan bertanding dan pertandingan kita mestilah atas dasar bagaimana ingin membawa pembangunan yang terbaik untuk rakyat, jadi sebab itu bagi saya, apa yang kami mahu tunjukan di Sarawak ialah sejauh mana usaha kita membangunkan Selangor jika dibandingkan dengan pemerintahan di Sarawak yang sudah lebih 40 tahun,"katanya lagi.
Khalid berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat exco di SUK Shah Alam hari ini.
Turut Hadir, Exco Pelaburan, perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan, Halimah Ali.
Teresa Kok juga turut menyeru BN berkempen dengan cara yang lebih matang dan tidak memutarbelitkan fakta untuk mengaburi mata pengundi.
"Saya ingin menyeru pihak BN agar berkempen khususnya di Sarawak kini, dengan cara yang lebih matang, bercakap benar dan bukannya melaporkan perkara yang salah untuk kepentingan politik berkempen kerana ia jelas satu tipu helah,"katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai kebangkitan dan penerimaan rakyat Sarawak terhadap corak pemerintahan Pakatan Rakyat, ia adalah petanda baik kerana rakyat Sarawak kerana tertarik dengan perkembangan di Selangor, kata Khalid.
"Sangat baik, rakyat Sarawak tertarik dengan konsep Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang mana menerusi konsep MES ini kerajaan negeri memberi harapan kepada rakyat bahawa sumber kekayaan negeri akan mengalir terus kepada rakyat dan mereka juga memang menerima baik konsep 'Hasil Negeri Untuk Rakyat' .
"Apabila saya berada di Sarawak dan menerangkan konsep ini mereka berharapkan konsep seumpama ini dapat dijalankan apabila pemerintahan baru berjaya ditubuhkan di Sarawak, dan untuk melaksanakannya, rakyat Sarawak perlu memlilih Pakatan Rakyat,"tambah Khalid lagi.
Selepas 'You help me' kini 'percayalah saya'
| Harakahdaily |
|
Kini Najib berjanji akan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pilihan raya Sarawak apabila mengumumkan akan berada di sini sehingga 16 April. Beliau didakwa telah mengambil alih tunggak kempen BN di Sarawak dari Ketua Menteri, Datuk Patinggi Taib Mahmud. Najib juga mengumumkan, Taib akan melepaskan jawatan Ketua Menteri selepas pilihan raya ini dan dijelaskan oleh Taib, dia akan bersara beberapa tahun lagi. |
Angin Perubahan Politik Sarawak Lebih Hebat Dari Tsunami 2008
KUCHING 12 April : Angin perubahan yang bertiup kencang di Sarawak dilihat lebih hebat daripada apa yang berlaku ketika tsunami politik pada Pilihan Raya Umum 2008.
Malah menurut Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, perubahan landskap politik yang bakal berlaku di Bumi Kenyalang itu adalah 1,000 kali ganda daripada apa yang berlaku semasa PRU12.
"Saya lihat keadaan yang amat menakjubkan di Sarawak. Pendidikan politik kepada rakyat Sarawak yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat benar-benar telah membawa hasil yang di luar jangkaan kita.
"Sama ada perubahan ini akan membawa kepada undi Pakatan Rakyat adalah soalan kedua tetapi apa yang lebih penting kesedaran politik rakyat Sarawak berada pada tahap yang tinggi," kata beliau ketika di temui TV Selangor.
Johari berkata "politik mee segera" dan curahan imbuhan kepada pengundi di negeri ini mungkin tidak lagi dapat membantu Barisan Nasional mengekalkan kuasa mereka apatah lagi kini sentimen anti-Taib amat jelas di seluruh pelusuk Sarawak.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat, Kapten Dr M.R. Summugam pula berkata, pengamatan beliau sejak 1994 mendapati penduduk Sarawwak kini sedar mereka sudah mempunyai parti alternatif yang mempunyai kapasiti, pengalaman serta kredibiliti untuk mentadbir negeri ini.
"Ini berdasarkan kepada pentadbiran negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat di Semenanjung yang menjadi model dan rangsangan kepada kebangkitan dan semangat baru untuk membuat perubahan," kata Dr Summugam.
Kata beliau perubahan pemikiran politik rakyat Sarawak adalah satu hukum alam yang pasti berlaku apabila masyarakat tidak lagi boleh menerima kezaliman dan penindasan yang dilakukan oleh BN terhadap mereka sejak 50 tahun lalu.
Tongkat Langit ...."Saya Tetap Berkuasa Beberapa Tahun Lagi", Kata Taib
SHAH ALAM 12 APRIL : Dua puluh empat jam selepas Perdana Menteri Najib Razak memberi jaminan Tan Sri Abdul Taib Mahmud akan berundur dalam masa terdekat, Ketua Menteri itu tampil memberitahu beliau akan terus menerajui Sarawak untuk “beberapa tahun lagi.”
Kenyataan itu di buat oleh Taib di hadapan Perdana Menteri itu sendiri malam tadi pada majlis ceramah di Kuching, empat hari sebelum rakyat Sarawak keluar mengundi memilih kerajaan negeri yang baru.
Dalam responnya, Najib hanya berkata rakyat harus terus mengundi BN dan tidak terpengaruh dengan desakan pembangkang untuk Taib berundur segera.
Taib yang menerajui kerajaan negeri sejak 30 tahun lalu dibelit dengan tuduhan rasuah dan penyelewengan kuasa yang menyaksikan Sarawak yang kaya dengan balak dan minyak tercorot sebagai negeri keempat paling miskin di Malaysia.
“Apabila saya berhenti nanti dalam beberapa tahun (lagi), saya ingin hendak melihat generasi awaklah yang akan menyokong orang yang akan menyambut kuasa daripada saya memelihara Sarawak terus benar-benar maju dan benar-benar mewah sekali,” kata beliau pada konsert 1 Malaysia di Padang Merdeka Kuching.
Pada sidang media pagi tadi Taib mengesahkan pihaknya tidak akan mengumumkan sebarang pelan peralihan kerana tidak mahu terperangkap dalam jerat pembangkang.
"Kita tidak sebegitu jahil untuk mengumumkan pelan peralihan dan kemudian menetapkan tarikh melepaskan jawatan," kata beliau kepada pemberita.
Selepas mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 21 Mac lalu, Taib berkata, beliau akan melepaskan jawatannya selepas pilihan raya negeri ke-10 ini.
Najib mengulangi jaminan itu ketika kempen pilihan raya dibayangi dakwaan mengenai rasuah dan salah guna kuasa Taib.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang ketika dihubungi Tv Selangor hari ini membidas sikap kedua-dua pimpinan Barisan Nasional itu sambil berkata, tidak ada sebarang kata sepakat pun yang dicapai antara kedua pemimpin BN itu tentang bila Taib akan berundur.
" Ini satu lagi bukti sikap tidak jujur dan ikhlas berhubung isu yang menjadi subjek utama dalam pilihanraya besar Sarawak. Apabila beliau berkata akan berundur dalam beberapa masa namun tidak menyatakan tarikh tertentu sama ada setahun, dua tahun atau lima tahun.
" Sungguhpun Perdana Menteri mengatakan ada persefahaman mengenai perancangan pengunduran Taib, tapi sangat jelas bahawa Najib pun tidak tahu bila Taib akan undur," katanya.
Sementara itu, Ketua Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin dalam satu kenyataan media berkata, Najib sendiri gagal untuk mengawal Taib yang sudah terlalu lama memegang tampuk kuasa di Sarawak.
Najib yang terdesak dan bimbang akan kedudukan BN di Sarawak hanya mampu mencanang berita kononnya Taib akan berundur dalam masa terdekat
" Menyedari hakikat tersebut, Najib selaku Presiden BN sebelum pilihanraya sudah memulakan rundingan untuk proses pengunduran Taib, namun oleh kerana takut
dengan ugutan Taib, jentera BN akan berada di luar kawal jika Taib tidak menerajui BN dalam pilihanraya negeri kali ini, maka Najib bersetuju Taib terajui jentera pilihanraya negeri tetapi akan berundur sebaik sahaja selepas itu.
" Namun setelah memulakan mood kempen disedari sememangnya rakyat menolak Taib sepenuhnya dan tanpa selindung Najib mengumumkan Taib akan berundur dalam masa terdekat. Najib sendiri panik akan kehilangan banyak kerusi di Sarawak maka dia sendiri terpaksa berkampung di Sarawak,"katanya.
PAS : Hanya Bahasa Undi Akan Kejutkan Pemimpin BN
SHAH ALAM 12 APRIL : Rakyat Sarawak bernasib baik kerana masih ada pembangkang yang kuat sehingga pemimpin BN tidak boleh tidur lena.
“Insya Allah rakyat Sarawak akan ajar pemimpin yang angkuh pada 16 April ini, bahasa undi sahaja pemimpin BN boleh faham untuk mereka insaf tentang tanggungjawab mereka kepada rakyat,” kata ketua penerangan PAS, Idris Ahmad dalam satu kenyataan media.
Portal Malaysiakini melaporkan Idris sebagai berkata, hanya setelah ditolak rakyat baru pemimpin BN akan sudi turun meninjau kesempitan rakyat sedangkan sewaktu berkuasa mereka tidak pernah memikir keperluan rakyat.
Justeru, katanya, apa yang berlaku di Sarawak hari ini adalah sesuatu yang belum pernah berlaku dalam sejarah pilihan raya Sarawak. BN kini diberi tentangan hebat sejak pada hari penamaan calon pada 6 April lalu.
Menurutnya, menjadi kelaziman pada hari penamaan, calon BN akan menang beberapa kerusi tanpa bertanding, tetapi pilihan raya kali ini tidak berlaku seperti yang dijangkakan.
“Pemimpin BN daripada atas sampai ke peringkat bawah menabur berbagai janji untuk pengundi di Sarawak.
“Kemiskinan suatu yang dirancang supaya modal pembangunan sentiasa relevan untuk BN kepada pengundi,” katanya.
Justeru, kata Idris, peruntukkan jarang sekali sampai ke sasaran agar ia dapat dijadikan modal kempen sepanjang hayat untuk rakyat yang miskin.
“PAS merasa hairan kenapa Sarawak masih miskin dan ketinggalan dari sudut kemudahan jalan raya, air dan elektrik.
“Pada hal dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) diperuntukkan RM13 bilion untuk Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk tempoh lima tahun.
“Daripada jumlah berkenaan sebanyak RM1.7 bilion adalah untuk pembinaan jalan luar bandar, RM1.7 bilion untuk bekalan elektrik, selain RM900 juta untuk bekalan air dan RM100 juta untuk Program Bantuan Rumah,” katanya.
Menurut Idris dalam pembentangan RMK-10, perdana menteri juga mengumumkan pembinaan 2,800 kilometer jalan berturap, liputan 95 peratus bekalan air dan memperluaskan kemudahan elektrik di kawasan luar bandar ke 76,000 buah rumah di Sarawak.
“Jika melihat kepada peruntukan yang diberikan kepada negeri Sarawak kita tidak akan bertemu di sana jalan raya, rumah, air yang begitu daif.
“Persoalannya kenapa jadi begini?
“Ke mana hasil bumi Sarawak sedangkan pemimpin BN Sarawak hidup mewah sedangkan rakyat merempat dan melarat,” soalnya.
Undur-kekal Taib: BN kini diheret PR
Walaupun belum sampai ke tahap untuk menggulingkan kerajaan Barisan Nasional di Sarawak, namun Pakatan Rakyat sekurang-kurangnya berjaya untuk mengheret Barisan Nasional ke dalam gelanggangnya pada pusingan awal PRN Sarawak 2011. Sentimen "Undur Taib" semakin memuncak di kawasan bandar majoriti Cina, sehingga BN mulai tertekan dalam suasana sedemikian.
Ramai yang akan bersetuju bahawa suasana di bandar-bandar utama Sarawak kini tidak berbeza dengan suasana PRU ke-12 pada tahun 2008, yang akhirnya mencetuskan "tsunami politik" untuk menafikan majoriti dua pertiga BN, selain empat kerajaan negeri beralih tangan kepada pembangkang (tidak termasuk Kelantan yang pada asalnya di bawah PAS). Antara persamaannya yang mungkin paling menakutkan BN adalah wang dermaan yang dikutip dari khalayak ramai yang menghadiri ceramah politik - sehingga mencatat puluhan ribu ringgit Malaysia - dibaca sebagai tanda rakyat komited kepada agenda perubahan.
Najib akhirnya memberi jaminan bahawa Taib Mahmud akan berundur selepas PRN Sarawak, tanpa menyebut tarikh mahupun menamakan penggantinya. Pengumuman sedemikian tidak memberi jaminan yang lebih daripada pengumuman sebelum terbubarnya DUN Sarawak, selain mengulanginya buat kali kedua.
Jaminan yang mengundang malapetaka
Pakatan Rakyat, terutamanya DAP semestinya mengambil kesempatan untuk mengasak agar BN membuat pengumuman terperinci, termasuk jadual waktu Taib Mahmud mengundur, penggantinya dan sebagainya. Malah, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution menunjukkan satu keratan akhbar pada 7 November 1995 yang memetik Taib Mahmud bahawa beliau akan berundur dalam masa lima tahun. Kesemua ini cukup untuk menyanggah jaminan daripada Najib dan Taib Mahmud.
Walau bagaimanapun, langkah Najib untuk mengulangi jaminan yang sama semalam - walaupun berniat untuk meredakan ketidakpuasan rakyat, tetapi mungkin mengundang malapetaka di sebaliknya. Pertama, beliau menafikan bahawa Taib Mahmud adalah liabiliti, atau beban kepada BN. Selagi Najib enggan mengakui masalah yang ada pada Taib, maka pembangkang mempunyai alasan yang cukup untuk mempertikaikan keikhlasan Najib.
Keduanya, pengumuman Najib boleh ditafsir sebagai "campur tangan dari Semenanjung", sentimen yang cuba diwujudkan sepanjang kempen BN Sarawak untuk menangkis serangan PR. Sentimen inilah yang dipermainkan supaya rakyat menolak parti politik dari Semenanjung. Namun, senjata ini sekarang mungkin makan tuannya kerana Najib dari Semenanjung dilihat bersuara untuk menentukan kekal-undur Ketua Menteri Sarawak.
Pergolakan kuasa dalaman
Lebih ketara, pengumuman ini semestinya menempangkan Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri, dan membuka lembaran baru pergolakan kuasa dalam PBB sendiri. Keadaannya mungkin sikit berbeza, namun ada persamaannya jikalau dibandingkan dengan Gerakan di Pulau Pinang pada tahun 2008. Setelah Presiden Gerakan Koh Tsu Koon berundur dari jawatan KM Pulau Pinang untuk bertanding di kawasan parlimen, tanpa menamakan penggantinya, maka berlakulah pergelutan dalaman antara beberapa orang calon yang melihat dirinya layak untuk menyandang jawatan KM.
Kesudahannya seperti yang disaksikan, Gerakan kehilangan kuasa kerajaan negeri di Pulau Pinang. Senario ini mungkin sukar diulangi di bumi kenyalang, namun ia sudah memadai seandainya BN gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Sarawak. Dan seandainya SUPP (yang berperanan seperti MCA di Semenanjung) mengalami kekalahan yang besar, maka ia merupakan tamparan sengit kepada slogan 1Malaysia oleh Najib Razak.
Lanskap politik kemudiannya...
Jikalau keputusan PRN Sarawak 2011 menyaksikan pengundi Cina tetap memihak pembangkang, maka senario ini bakal meletakkan Najib dalam keadaan dilema. Mencurahkan lebih usaha untuk memikat hati pengundi Cina, atau mengambil langkah drastik untuk "menghukum" pengundi Cina yang tidak menyokong BN - semestinya akan menjadi perbalahan pendapat dalam UMNO dan BN sendiri. Silap selangkah Najib dalam membuat keputusan bakal meletakkan tanda noktah pada tempoh jawatan PM-nya.
Justeru itu, apa yang boleh dilakukan oleh Najib dan regimnya sekarang adalah menabur "gula". Peruntukan demi peruntukan ditabur untuk memastikan kemenangan BN dalam PRN Sarawak, pertarungan yang bakal mempengaruhi semangat BN untuk menghadapi PRU ke-13.
Namun demikian, Najib semestinya sedar bahawa pendekatan sedemikian tidak boleh dikekalkan selama-lamanya. Sebelum PRU ke-12, BN menang dalam PRK Machap dan Ijok, setelah menabur "gula pilihan raya" yang bernilai puluhan juta ringgit. Akhirnya kemenangan itu terbukti hanyalah pembohongan yang dibeli dengan wang ringgit.
Demikianlah dilema yang dihadapi Najib Razak, atau lebih tepat sebenarnya, kebuntuan yang dihadapi Barisan Nasional sekarang.
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.
Juruterbang helikopter terhempas meninggal dunia
KUALA LUMPUR: Juruterbang yang membawa helikopter yang terhempas di Sibu pada tenghari hari ini, disahkan meninggal dunia pada jam 8.30 malam tadi, lapor media.
Allahyarham, Sahimi Ghazali sebelum ini menerbangkan helikopter berkenaan bagi membawa rombongan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Sarawak.
Sebelum kejadian, allahyarham menurunkan tiga penumpang termasuk Setiausaha Akhbar kepada menteri pelajaran, di Dataran Sibu pada jam 1.40 tengahari.
Sebaik sahaja kemalangan itu berlaku, beliau telah dibawa ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan lanjut. Sahaimi yang berasal dari Selangor dikatakan mengalami kecederaan serius di bahagian paru-paru kanan dan hati akibat kesan hentakan.
Rakyat Sarawak Sambut Baik Rekod Pemerintahan PR
MIRI 11 APRIL: Masuk hari ke enam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak memperlihatkan penerimaan rakyat terhadap pendekatan dasar Pakatan Rakyat yang berjaya diadaptasi di empat buah negeri di Semenanjung Malaysia iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.
Justeru komitmen luar biasa yang ditunjukkan masyarakat di Bumi Kenyalang itu sepanjang kempen bermula Sabtu lalu menambah keyakinan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menerajui usaha menawan negeri itu pada pilihan raya 16 April nanti.
Berucap di hadapan 10 ribu rakyat di bandaraya Miri, Anwar optimis rakyat peribumi Sarawak akan menolak parti Barisan Nasional (BN) kali ini untuk membuka ruang bagi menghentikan kuasa monopoli parti itu selama 30 tahun di bawah Ketua Menteri Taib Mahmud justeru menyerahkan kembali hak rakyat yang telah dirampas.
Anwar berkata berdasarkan pengamatan beliau, rakyat Sarawak telah sekian lama menantikan perubahan namun kini masa yang sesuai telah tiba.
"Orang tanya Anwar apa yang membuatkan anda begitu yakin? Sebab saya lihat mata semua orang saya tahu dan kita akan tahu kalau dia itu betul-betul komited," ujar beliau.
Menurut Anwar tidak mustahil untuk berlaku tsunami politik di negeri itu seperti Pilihan Raya Umum ke 12 pada 2008 yang menyaksikan Pakatan Rakyat menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional.
Malah beliau beranggapan bahawa sejarah akan tercipta memandangkan Pakatan Rakyat meletakkan calon hampir setiap kerusi yang dipertandingkan.
"Saya kata kali ini di Sarawak kalau kita kerja kuat secukupnya, ada berlaku satu kejutan politik tsunami besar yang akan merubah sejarah Sarawak dan sejarah Malaysia," kata beliau lagi.
Anwar sebelum itu membidas kepimpinan Umno-BN yang cuba untuk mengalih perhatian masyarakat berhubung dakwaan penglibatan beliau dalam rakaman video seks lucah.
Namun perkara itu kurang mendapat sambutan di kalangan rakyat Sarawak sehingga memaksa media arus perdana cuba untuk membangkitkan perkara itu dalam sidang media Anwar semalam.
Justeru hari ini polis mengesahkan ia belum meminta Anwar untuk menyerahkan jam tangan Omega itu.
Anwar kemudiannya menasihatkan agar pengundi memandang kehadapan demi masa depan generasi muda akan datang di negeri Sarawak.
"Kita bercakap tentang masa depan kita dan anak-anak. Sokong kita punya calon, DAP kebanyakkannya di bandar Sibu dengan agenda ini dengan niat untuk melindungi negeri dan anak-anak kita untuk jamin masa depan," jelasnya.
Turut memberi ucapan sebelum itu Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang mendapat sambutan baik hadirin yang berkumpul.
Muhyiddin "Minta"Guru Sarawak Pangkah BN
SIBU 11 APRIL : Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta 'jasa baik' guru di Sarawak supaya menyokong BN dalam pilihan raya negeri itu pada 16 April depan.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran menggesa mereka membantu BN menang besar, dengan memangkah calon-calonnya dalam pilihan raya negeri Sabtu depan.
“Saya menggesa semua pihak membantu memastikan BN menang besar di Sarawak. Sila pangkah X bersebelahan petak BN (diatas kertas undi), Muhyiddin dipetik berkata oleh Malaysiakini.
"Pembangkang akan berkata kita berkempen menerusi guru tetapi ini hanya peringatan secara lembut namun peringatan yang penting,” tambah Muhyiddin.
Muhyiddn yang juga Timbalan Pengerusi BN berucap kepada kira-kira 400 guru yang mengikuti satu program untuk pendidik di Sibu petang tadi.
Sambil mengkritik kempen Pakatan Rakyat untuk membawa perubahan, Muhyiddin berkata, rancangan pembangunan BN mungkin terjejas jika berlaku perubahan tersebut.
Menurutnya, rancangan pembangunan akan terjejas jika berlaku gangguan atau perubahan mengikut cara pembangkang.
Bagaimanapun Muhyiddin tidak menjelaskan kenapa segala rancangan BN itu gagal mengatasi masalah kemiskinan tegar di Sarawak. Negeri yang kaya dengan hasil minyak dan balak itu adalah keempat paling miskin di Malaysia.
Antara Jam Omega, Taib Mahmud Dan Najib Razak
SHAH ALAM 11 APRIL : Apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah membuat perakuan bahawa jam Omega milik Ketua Pembangkang itu ada dalam simpanan mereka, media arus perdana mencabar mereka untuk menunjukkan jam itu.
Perdana Menteri Najib Razak pula tidak menghadapi tekanan seperti itu apabila berjanji bahawa Ketua Menteri Abdul Taib Mahmud akan berundur pada masa yang sesuai - tidak pula ada desakan untuk menamakan pengganti atau jangka masa Taib akan berundur.
Dwi standard media arus perdana untuk BN dan Pembangkang sudah lama wujud di Malaysia, dan tidak ada tanda-tanda keadaan akan berubah di bawah kerajaan pimpinan Najib.
Berbalik kepada cerita jam tadi, Anwar akhirnya terpaksa mendedahkan bahawa polis setakat ini belum pun meminta jam itu daripadanya, jadi tidak timbul soalan beliau cuba berdolak dalih dalam isu itu.
Harus diingati Anwarlah orang yang membuat laporan polis mengenai fitnah video lucah - bukannya gandingan Datuk T - bagi membolehkan polis membuat siasatan terhadap video dan jam Omega yang cuba dikaitkan kepadanya.
Dan sungguhpun ada tanda-tanda siasatan akan cenderung ke suatu sudut tertentu, seperti mana yang berlaku pada siasatan polis bersabit buku “50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM” pada tahun 1998, namun buat masa ini biarlah polis menyelesaikan siasatan, dengan atau tanpa jam yang ada pada simpanan Anwar.
Perkara yang lebih penting adalah Taib Mahmud- kerana rakyat Sarawak akan keluar mengundi untuk memilih sebuah kerajaan negeri yang baru Sabtu ini.
Jika Najib bingkas memberi perakuan bahawa Taib akan berundur, maka rakyat mempunyai hak untuk mengetahui siapa penggantinya.
Ini penting untuk menilai corak kepimpinan yang bakal dibawa oleh Ketua Menteri baru itu. Lebih penting, adakah orang baru itu amanah dan berwibawa dan bukan sekadar meneruskan warisan pemerintahan korup Taib dan BN.
Jika Pakatan Rakyat boleh mengumumkan bahawa Ketua PKR Sarawak Baru Bian akan menjadi Ketua Menteri baru jika gagasan itu menubuhkan kerajaan negeri, maka BN juga harus bertanggungjawab mendedahkan siapa bakal mencorak masa depan Sarawak, jika benar Taib akan berundur.
Kenyataan Najib bahawa Taib akan berundur “apabila sampai masanya” tidak lebih daripada kenyataan retorik yang tidak memberi apa-apa makna kepada pengundi Sarawak.
Bukankah Taib pernah berjanji untuk berundur pada tahun 2000 namun tidak berbuat demikian?
Apakah Najib mahu mendakwa bahawa beliau mempunyai lebih pengaruh ke atas Taib berbanding dengan Tun Mahathir Mohamad pada tahun 2000.
Keratan akhbar 1995 yang memetik Taib berjanii untuk hanya memerintah lima tahun lagi masih ada dalam arkib semua suratkhabar di Sarawak dan di Kuala Lumpur.
Jelas kata-kata Taib tidak dikotakan ketika itu dan tidak ada sebarang petanda keadaan itu akan berubah kali ini.
Dalam keghairahan untuk mencanang dirinya sebagai berjiwa rakyat, Taib minggu lalu secara nekad menyifatkan penyelesaian Putrajaya terhadap isu al-Kitab sebagai “bodoh” sekali gus meremehkan Kementerian Dalam Negeri yang dipimpin oleh sepupu Najib, Hishamuddin.
Komen itu memberikan jendela untuk rakyat menilai hubungan antara Putrajaya pimpinan Najib dan Taib Mahmud.
Kesimpulannya jika Anwar perlu menunjukkan jam Omega kepada media arus perdana dan bukan polis, Perdana Menteri Najib Razak juga perlu menunjukkan bukti Taib Mahmud akan berundur pada kadar segera dan penggantinya sudah dikenalpasti.
ADAKAH WANITA CINA/SIAM AKAN DIJADIKAN SAKSI KERAJAAN????
KUALA LUMPUR- Kini maklumat terbaru menyatakan bahawa terdapat sekurang-kurangnya beberapa egen perisik luar negara yang sedang di ajak agar bersekongkol bagi menjelaskan bukti bahawa wanita cina/SIAM dalam kes video seks DSAI ..dan akan memaksa beliau mengaku bahawa orang yang melanggan beliau adalah DSAI.
Maklumat ini sama ada sahih atau tidak di hantar ke email WRLR dan menjelaskan bahawa taktik-taktik seperti ini akan digunakan bagi memaksa wanita cina/siam tersebut untuk mengaku bagi menyatakan kebenaran bahawa DSAI yang melanggan beliau.Kemungkinan sebagaimana pengakuan Saiful , ianya tidak semestinya tidak dapat di jadikan bahan bukti atau kes bagi menahan DSAI
Berhati-hati dengan dakyah seperti ini sebagaimana maklumat tersebut ke karung email WRLR....
Pilihanraya Malaysia Masih Tidak Bebas Dan Telus
Anwar berkata, tindakan panik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membawa keseluruhan Kabinet serta jentera kerajaan untuk membantu kempen pilihan raya negeri merupakan sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara dan ia jelas merupakan usaha berterusan Najib mengekang Pakatan Rakyat membawa angin perubahan kepada rakyat di negeri itu.
"Ternyata pilihanraya di Malaysia masih belum lagi bebas dan adil terutamanya di Sarawak. Ini kerana, media masih dikawal kerajaan BN dalam menyampaikan maklumat yang telus kepada rakyat dan kempen-kempen Pakatan Rakyat selepas penamaan calon acap kali diganggu pihak berkuasa,".
"Walaupun tidak dikasar tetapi masih diganggu oleh polis"katanya.
Bercakap dalam satu sidang media di Kuching, Anwar turut mengingatkan pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) supaya mematuhi peraturan pilihanraya yang adil dan bebas serta berharap tiada lagi cubaan untuk menghalangnya dari terus berkempen di negeri itu.
"Saya ingin mengingatkan PDRM supaya memberi kerjasama, menghormati peraturan berkempen serta tidak menghalang mana-mana parti untuk kempen khususnya Pakatan Rakyat kerana tindakan itu hanya akan menakutkan orang ramai. Ini adalah hak yang termaktub dalam perlembagaan negara"
Tambah Anwar, selain terpaksa berdepan dengan barisan jentera kerajaan Pakatan Rakyat juga turut menerima serangan yang tidak putus-putus daripada media kawalan Umno-BN.
Petanda PRU-13, Sekolah Terima Notis Awalkan Peperiksaan
KUALA LUMPUR 11 April : Di sebalik desas-desus kemungkinan pilihan raya umum ke-13 akan diadakan pada tahun ini, laporan media menyebut sudah ada notis meminta peperiksaan sekolah-sekolah kerajaan pada pertengahan tahun ini akan dipercepatkan dipercayai sebahagian daripada persiapan menghadapi hari pengundian kelak.
Laporan Sin Chew Daily hari ini menyebut, kerajaan persekutuan telah mengedarkan satu notis yang meminta pihak sekolah supaya mempercepatkan peperiksaan kerana pilihan raya umum ke-13 akan diadakan pada Jun atau Julai ini, bergantung pada keputusan pilihan raya negeri Sarawak yang sedang berlangsung sekarang.
Akhbar itu berkata beberapa sekolah di Negeri Sembilan juga telah menerima notis tersebut dan peperiksaan mesti diadakan pada bulan depan serta dewan sekolah pula tidak boleh disewakan kepada awam mulai Jun dan bulan seterusnya.
Penganalisis dan pemerhati politik berkata pilihan raya paling cepat akan diadakan pada Jun atau Julai dan mungkin pada Oktober memandangkan Ogos dan September merupakan bulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri manakala November umat Islam akan menunaikan haji.
Dalam pada itu, pengetua sebuah sekolah rendah kebangsaan Cina di Selangor berkata notis pemberitahuan seumpama itu biasa dihantar oleh Kementerian Pelajaran sebulan atau dua bulan sebelum pilihan raya umum diadakan walaupun tiada sebab yang dinyatakan.
“Tapi notis seperti ini boleh menjadi petunjuk pilihan raya dan biasanya ia tepat,” kata pengetua yang enggan namanya didedahkan.
Menurut Sin Chew Daily lagi, setakat ini sekolah yang menerima notis pemberitahuan itu tidak banyak dan pilihan raya umum akan diadakan berpandukan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri Sarawak.
Proses pembuangan undi bagi pilihan raya negeri Sarawak akan diadakan 16 April ini.
Dalam temu bual dengan Reuters awal bulan ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata keputusan pilihan raya negeri Sarawak pertengahan bulan ini akan digunakan sebagai “ukuran” untuk menentukan tarikh pilihan raya umum ke-13 sama ada dipercepatkan ataupun sebaliknya.
Pengerusi BN itu berkata kerajaan akan memutuskan masa yang sesuai bagi pilihan raya umum selepas pilihan raya negeri Sarawak.
Helikopter Terhempas Selepas Turunkan Rombongan TPM
SARAWAK 11 APRIL : Sebuah helikopter terhempas dari ketinggian 10 kaki ketika hendak berlepas dari Sibu Townsquare. Kejadian itu berlaku selepas helikopter tersebut menurunkan anggota rombongan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sebelum kejadian tersebut, tiga helikopter membawa rombongan timbalan perdana menteri balik dari Bintangor ke Sibu Bagaimanapun, Tan Sri Muhyiddn tidak menaiki helikopter yang terhempas itu. Menurut OCPD Sibu, ASP Shafie Ismail, kejadian itu berlaku pada jam 1.50 tengahari selepas helikopter itu menurunkan semua penumpangnya di Sibu Townsquare. "Helikopter tersebut hendak berlepas balik ke lapangan terbang untuk disimpan, (tetapi) kemudian jatuh ketika cuba terbang. Ia berada pada ketinggian kira-kira 10 kaki," katanya. Berikutan itu, juruterbangnya mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital. Dua daripadanya adalahmilik Hornbill Skyways, dan helikopter yang terhempas itu adalah dari Sabah Air. -M'siakini
Laungan 'Tukar Perintah' Dapat Sambutan Luar Biasa
KUCHING 11 APRIL : Siri kempen Pakatan Rakyat dalam pilihanraya negeri ke-10 mendapat sambutan luar biasa daripada rakyat Bumi Kenyalang walaupun tempoh kempen masih berbaki lima hari.
Sama ada di Kampung Samariang atau di Kampung Sorabaya, Pantai Damai mahupun Batu Kawah rakyat daripada pelbagai suku kaum Melayu, Cina, Melanau dan Iban berpusu-pusu menuju ke lokasi ceramah Pakatan Rakyat hingga bersesak untuk mendapat tempat berdiri.
Di Batu Kawah lebih 20,000 berhimpun mendengar kempen pemimpin- pemimpin Pakatan terutama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sehingga menyebabkan kesesakan trafik sepanjang lebih 15 kilometer.
Di Kampung Sorabaya lebih 3,000 pengundi Melayu berkumpul dengan penuh semangat menghayati amanatnya.
Isu yang diketengahkan beliau adalah ringkas dan senada sepanjang jelajah beliau ke seluruh negeri Sarawak sejak 29 Mac lalu - tanah dan balak.
Berputar sekitar dua isu asas yang bersangkutan dengan hidup mati dua juta rakyat Sarawak, Anwar mendedahkan kepincangan, salah guna kuasa serta kerakusan pemimpin Barisan Nasional yang diketuai oleh Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud atau lebih dikenali sebagai Pak Uban atau Pek Moh dalam istilah bahasa Cina.
Di bandar dan di kampung bermula di Kuching, Sibu, Miri, Bintulu, Lawas, Sri Aman Anwar membuat perbandingan di antara kehidupan mewah dan kekayaan melimpah ruah yang dinikmati oleh segelintir kecil pimpinan BN dan kesengsaraan dan kemiskinan yang membelit kehidupan rakyat marhaen tanpa mengira kaum.
Anwar mahu rakyat Sarawak menghilangkan rasa takut dan bangun menuntut sekaligus mempertahankan hak dan harta mereka dari terus dieksploitasi oleh BN sejak hampir 50 tahun lalu.
Beliau juga mahu rakyat memikirkan bagaimana sebuah negeri yang paling kaya ketika menyertai Persekutuan Malaysia pada 1963 kini menjadi negeri keempat termiskin di Negara ini.
Logiknya keadaan ini sepatutnya mustahil berlaku kerana Sarawak mempunyai kekayaan semulajadi yang luarbiasa dalam bentuk minyak, gas, balak, keluasan tanah yang menakjubkan.
Bagaimanaoun hakikatnya 48 tahun berada dalam Persekutuan, BN gagal bukan sahaja menjaga amanah hasil bumi Sarawak malah melapahnya untuk kepentingan sendiri.
Kini, kata beliau, BN terpaksa menghadapi rakyat bagi kali yang ke-10 untuk mendapat mandat baru memerintah negeri ini pada 16 April depan dan hanya rakyat yang berkuasa menjadikan laungan “tukar perintah” menjadi kenyataan.