KUCHING, 12 April: "Percayalah saya, percayalah saya," yang menjadi ungkapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pilihan raya negeri Sarawak kini menjadi mainan pelbagai pihak.
Kata-kata itu menjadi popular dalam pilihan raya negeri kali ini. Semasa pilihan raya kecil Sibu, perkataan popular dari Najib adalah, "You help me, I help you." (Awak tolong saya, saya tolong awak).
Ia merujuk kepada permintaan dari beliau agar pengundi menolong parti beliau iaitu BN dengan mengundi calon BN. Jika mereka berbuat demikian, Najib berjanji akan menolong mereka pula.
Namun, kata-kata Najib ini ditolak oleh pengundi pilihan raya kecil Sibu apabila kerusi BN itu jatuh ke tangan calon Pakatan Rakyat dari DAP, Wong Ho Leng dengan majoriti 398 undi.
Wong Ho Leng mendapat 18,845 undi, calon BN dari SUPP Robert Lau Hui Yew 18,447 undi, manakala calon bebas Narawi Haron hanya mendapat 232 undi.
"Najib masih percaya rakyat Sarawak tidak tahu apa-apa dan mudah pergunakan. Saya meminta saudara-saudari semua di Sarawak bangun sekarang dan tuntut apa yang sepatutnya milik kita.
"Cukuplah setakat ini, sementara kita mengucapkan terima kasih kepada apa yang telah dibuat BN untuk kita, tetapi kita tidak patut lacurkan diri kita lagi. Sarawak milik rakyatnya," tulis seorang aktivis Ronnie Charles Klassen dalam Facebooknya. Kini Najib berjanji akan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pilihan raya Sarawak apabila mengumumkan akan berada di sini sehingga 16 April. Beliau didakwa telah mengambil alih tunggak kempen BN di Sarawak dari Ketua Menteri, Datuk Patinggi Taib Mahmud. Najib juga mengumumkan, Taib akan melepaskan jawatan Ketua Menteri selepas pilihan raya ini dan dijelaskan oleh Taib, dia akan bersara beberapa tahun lagi. |