BERI SAJA HAJI HADI TERAJUI PN!!
7 February 2026
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dipetik sebagai berkata, parti itu telah mendapat restu daripada Muhyiddin Yassin untuk menerajui PN.
Beliau berkata, perkara itu sudah dipersetujui dalam siri perbincangan kepimpinan tertinggi PAS bersama Muhyiddin tidak lama sebelum ini.
Katanya lagi, PAS mengekalkan pendirian tidak pernah membincangkan cadangan untuk memansuhkan jawatan Pengerusi PN kerana berpandangan struktur kepimpinan gabungan berkenaan perlu dikekalkan seperti sedia ada bagi memastikan kestabilan organisasi dipertahankan.
“Cuma mengapa PAS tidak mengumumkan perkara itu lebih awal?
“Kita juga tidak nyatakan siapa calon Pengerusi PN daripada PAS?
“Ini kerana selagi mesyuarat Majlis Tertinggi PN tidak memuktamadkan kedudukan perletakan jawatan Muhyiddin, selagi itu PAS merasakan tidak wajar untuk kita mengumumkan pengambilalihan jawatan itu lebih awal,” tambahnya.
Menurut Tuan Ibrahim lagi, siapa Pengerusi PN yang baru hanya akan diketahui dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dijangka berlangsung hujung bulan ini.
Dengan penjelasan Tuan Ibrahim ini, kemelut kekosongan dan pertikaian jawatan tertinggi blok pembangkang berkenaan dijangka akan berakhir dalam sedikit masa lagi.
Cuma yang ditunggu, siapakah calon yang akan dinamakan PAS untuk menerajui PN itu?
Dalam pada itu, Bersatu masih mengekalkan pendirian bahawa jawatan Pengerusi PN mestilah disandang daripada kalangan ketua parti komponen gabungan itu.
Bersatu dilaporkan tiada masalah menerima siapa saja sebagai Pengerusi PN bagi menggantikan Muhyiddin yang telah meletakkan jawatan, asalkan pemimpin berkenaan adalah ketua parti.
Jika begitu dan Bersatu pula kekal dengan pendirian sebegitu, bermakna hanya Haji Hadi Awang saja yang tidak dipertikaikan untuk memegang jawatan Pengerusi PN.
Tetapi, Haji Hadi sebelum ini dilaporkan menolak memikul tanggungjawab tersebut atas alasan keuzuran dirinya.
Habis bagaimana?
Takkan nak Presiden Gerakan atau Presiden MIPP sebagai Pengerusi PN?
Sebagai jalan penyelesaian dan agar PN tidak terus bergolak, malah Bersatu juga tiada lagi sebab untuk bising-bising, adalah disarankan agar Haji Hadi saja diletakkan memegang jawatan Pengerusi PN itu.
Meskipun beliau sebelum ini menolak atas alasan uzur, sebenarnya tiada masalah untuk Haji Hadi memegang jawatan tersebut kerana jawatan Pengerusi PN bukanlah kerja sepenuh masa.
Selaku Pengerusi PN, beliau hanya perlu mempengerusikan mesyuarat dan memberi arahan-arahan tertentu, namun dari segi perlaksanaan, ia boleh digerakkan secara bersama oleh parti komponen PN iaitu PAS, Bersatu, Gerakan serta MIPP.
Pemimpin keempat-empat parti berkenaan juga boleh bergerak aktif, asalkan berpegang kepada arahan Haji Haji selaku Pengerusi PN.
Dalam pada itu, mesyuarat PN juga bukanlah selalu diadakan, boleh jadi hanya dua atau tiga bulan sekali saja dan ia tidak begitu membebankan Haji Hadi.
Kalau mahu dikira, memikul jawatan Presiden PAS lebih berat berbanding Pengerusi PN.
Dengan itu, tiada masalah sebenarnya dalam keadaan Haji Hadi sekarang jika beliau memikul tugas Pengerusi PN.
Selain itu, jika selepas ini PN menamakan calon Perdana Menteri, sebahagian tugas memastikan kemenangan dalam PRU akan datang dan turun berkempen sudah boleh diserahkan kepada pemimpin berkenaan menunjukkan keligatannya di lapangan.
Semua pihak tiada masalah untuk memahami Haji Hadi sekarang bukanlah Haji Hadi di waktu 30 atau 40 tahun lepas, namun keberadaan beliau mengetuai PN adalah diperlukan sebagai simbol untuk gabungan pembangkang mampu terus berlawan tanpa sebarang kompromi berdepan parti-parti kerajaan untuk memenangi PRU akan datang. - ShahbudinHusin 07Februari2026.
https://shahbudindotcom.net/2026/02/beri-saja-haji-hadi-terajui-pn/
No comments:
Post a Comment