
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Pangkalan TUDM Subang setelah menamatkan lawatan rasmi ke Turkiye dan terus mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri pada 9 Januari 2026. Foto PMO
KUALA LUMPUR, 9 Jan – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di tanah air selepas mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Republik Türkiye.
Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri memaklumkan beliau kemudian terus ke pejabatnya bagi mempengerusikan mesyuarat mingguan Jemaah Menteri.

“Alhamdulillah, selamat tiba ke tanah air usai lawatan rasmi di Republik Türkiye. Saya kemudiannya ke pejabat untuk mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri. Untuk Malaysia!,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, lawatan rasmi itu diadakan dari 6 hingga 8 Januari ini sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Turkiye yang telah lama terjalin.

Sepanjang lawatan rasmi itu, Anwar telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan dan bersama-sama mempengerusikan Majlis Kerjasama Strategik Tahap Tinggi (High-Level Strategic Council) antara kedua-dua negara.
Beliau turut ditemani isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta delegasi dari Malaysia.

Sebanyak tujuh dokumen penting ditandatangani antara Malaysia dan Turkiye dengan menumpukan kerjasama dalam pelbagai bidang bagi manfaat bersama.
No comments:
Post a Comment