Titah tegas Yang di-Pertuan Agong selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) agar ejen dan orang tengah tidak dibenarkan berlegar di Kementerian Pertahanan perlu ditanggapi sebagai amaran serius berkaitan keselamatan negara, bukan sekadar isu tatakelola pentadbiran.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar, berkata Kementerian Pertahanan dan ATM yang mengurus maklumat strategik, aset ketenteraan serta kesiapsiagaan pertahanan negara mesti memastikan sebarang bentuk rasuah, salah guna kuasa dan pembabitan orang tengah ditangani secara tegas.
Menurut Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) itu, amalan sedemikian bukan sahaja mencemarkan integriti institusi pertahanan, malah membuka ruang kepada kebocoran maklumat sensitif yang boleh mengancam keselamatan negara.
“Sejarah mutakhir menunjukkan dakwaan penjualan maklumat dan kartel perolehan pertahanan bukan isu kecil.
“Dalam dunia keselamatan, maklumat adalah senjata. Bila maklumat bocor, nyawa anggota dan kedaulatan negara dipertaruhkan,” tegasnya menurut kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, Mahfuz menegaskan, seperti yang dititahkan Seri Paduka Baginda, kepimpinan berintegriti perlu bermula dari peringkat tertinggi.
“Pembersihan dalam Kementerian Pertahanan dan ATM perlu dilaksanakan secara menyeluruh, berani dan tanpa pilih kasih demi melindungi anggota tentera yang setia serta menjaga maruah institusi pertahanan negara,” ujarnya.
Beliau turut menekankan bahawa usaha pembersihan tersebut bukan bertujuan memalukan mana-mana pihak, sebaliknya untuk menyelamatkan institusi pertahanan daripada terus terdedah kepada ancaman dalaman.
“Keselamatan negara tidak boleh dikompromi demi kepentingan segelintir individu.
“Titah Agong wajar dijadikan titik mula reformasi integriti secara total dalam ekosistem pertahanan negara,” kata bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi.
No comments:
Post a Comment