Cuba tinggal dekat ladang babi, titah Sultan Selangor buat wakil rakyat



Sultan Selangor mengusulkan kepada wakil-wakil rakyat untuk tinggal dan menetap bersebelahan kawasan penternakan babi seperti di Kuala Langat serta menempuh sendiri pengalaman sebenar seperti yang dialami oleh penduduk sekitar.

Menerusi titah kenyataan, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa amat dukacita dan membantah perancangan kerajaan negeri memindahkan operasi penternakan babi ke Bukit Tagar di Hulu Selangor pada 2030.

Baginda tidak bersetuju khususnya apabila terdapat kemungkinan ia membabitkan penternakan babi berskala besar dan berorientasikan eksport ke luar negara.

Secara prinsipnya, Sultan Selangor akur dengan kewujudan penternakan babi dalam skala kecil dan terkawal untuk memenuhi keperluan sumber makanan rakyat berbangsa Cina dan bukan Islam di Selangor.

“Namun, perancangan berskala besar adalah tidak wajar, tidak sensitif dan tidak seimbang dengan realiti demografi serta keharmonian masyarakat Selangor yang majoritinya adalah populasi orang Melayu Islam.

“Baginda juga menzahirkan kebimbangan memandangkan kawasan Kuala Langat didiami ramai penduduk Melayu dan sehingga ke hari ini, masalah berkaitan penternakan babi di kawasan itu masih gagal diselesaikan sepenuhnya sejak 2010.

“Penduduk sekitar sudah lama menanggung pelbagai kesan negatif termasuk bau busuk yang berlarutan, pencemaran air sungai, serta masalah lalat yang tidak berkesudahan, yang menjejaskan kualiti hidup dan kesihatan awam,” menurut titah kenyataan baginda, hari ini.

Istana Pantai Bahagia

Menerusi titah sama, Sultan Selangor turut menegaskan kediaman Baginda, Istana Pantai Bahagia yang juga terletak di Kuala Langat dan Baginda menyaksikan secara langsung kesan pencemaran bau yang berpunca daripada aktiviti penternakan babi di kawasan berkenaan.


“Justeru, adalah tidak munasabah untuk isu yang berlarutan lebih sedekad ini dibiarkan berulang dalam skala yang lebih besar,” menurut titah kenyataan itu.


Baginda membantah cadangan menjadikan kawasan Kuala Langat sebagai lokasi sementara penternakan babi sebelum berpindah ke Bukit Tagar kerana bimbang masalah pencemaran yang sudah berlarutan di kawasan itu sejak 16 tahun lalu akan menjadi lebih buruk.


Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut mempersoalkan sama ada perancangan projek penternakan babi berskala besar itu, membabitkan kepentingan kelompok ahli politik dan ahli perniagaan tertentu.


Bagindda turut menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan wujudnya unsur rasuah, konflik kepentingan atau ketirisan tadbir urus dalam proses perancangan serta kelulusan projek berkenaan.

Sultan Sharafuddin turut berkenan mengimbas kembali inisiatif kerajaan negeri yang pernah menghantar wakil ke luar negara untuk mendapatkan informasi mengenai penternakan babi secara moden.

Namun, titah baginda, dikhabarkan bahawa kos pemodenan itu menelan belanja yang sangat tinggi dan tidak sanggup untuk ditanggung oleh pengusaha ternakan.


“Jadi, Baginda mempersoalkan cadangan terbaharu ini sama ada ia akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri, sedangkan peruntukan itu lebih bermanfaat disalurkan untuk pembangunan kemudahan asas rakyat seperti sekolah dan hospital.

“Baginda menegaskan bahawa tidak membantah sepenuhnya cadangan projek berkenaan, namun kajian pasaran harus dibuat dengan teliti dan rasional sebelum ketetapan muktamad dibuat.

“Ini kerana pembangunan ekonomi tidak boleh mengorbankan kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Selangor,” titah baginda.

Terdahulu, dilaporkan, penternakan babi di Selangor hanya dibenarkan beroperasi di Ladang Tumbuk, Tanjong Sepat, Kuala Langat mulai tahun ini.


Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Datuk Ir Izham Hashim berkata, ia bagi memudahkan penyelarasan dan titik kawalan penyakit antaranya demam babi Afrika (ASF).

Menurutnya, keputusan hasil perbincangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) semalam dibuat, bagi tempoh tiga tahun sebelum semua ladang babi akan berpindah ke Bukit Tagar.








 

No comments: