𝗗𝗨𝗔 π—”π—‘π—šπ—šπ—’π—§π—” 𝗠𝗔π—₯π—œπ—§π—œπ—  π— π—”π—Ÿπ—”π—¬π—¦π—œπ—” π—–π—˜π——π—˜π—₯𝗔 π——π—œπ—₯π—˜π— π—£π—¨π—› , π—šπ—”π—šπ—”π—Ÿπ—žπ—”π—‘ 𝗖𝗨𝗕𝗔𝗔𝗑 π— π—˜π—‘π——π—”π—₯π—”π—§π—žπ—”π—‘ π—£π—”π—§π—œ









π—¦π—˜π—£π—”π—‘π—š, 𝟭𝟳 π—¦π—²π—½π˜π—²π—Ίπ—―π—²π—Ώ – Dua anggota Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan cedera dirempuh dalam satu aksi kejar mengejar bot pancung yang disyaki membawa sekumpulan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) berhampiran sempadan perairan Negeri Sembilan malam tadi.

 

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Salehuddin bin Zakaria berkata, Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Lumut telah mengesan sebuah bot mencurigakan pada pukul 8.00 malam semalam di kawasan Skim Pemisahan Trafik (TSS) disyaki menuju masuk ke perairan Tanjung Rhu, Sepang.

 

Susulan itu, aset Bot Ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan Op Patkor Optima telah diatur gerak bagi memintas bot berkenaan.

 

Jelas beliau, menyedari kehadiran aset penguat kuasa, bot pancung yang dilengkapi tiga enjin berkuasa tinggi itu bertindak agresif apabila dikejar, malah merempuh sisi kiri bot operasi sehingga mengalami kerosakan teruk sebelum berjaya meloloskan diri.

 

Dalam kejadian tersebut, seorang anggota cedera di bahagian atas hidung, manakala seorang lagi mengalami kecederaan di kaki dan tangan akibat hentakan. Kedua-dua anggota telah dihantar ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut dan kini dilaporkan stabil.

 

Bot yang membawa PATI itu dipercayai berpatah keluar dari perairan Malaysia selepas gagal melakukan pendaratan. Operasi pengesanan serta tindakan khas kini sedang giat dilaksanakan bagi menjejaki suspek dan rangkaian penyeludupan yang terlibat.

 

Maritim Malaysia memandang serius cubaan penyeludupan manusia melalui laluan laut kerana ia bukan sahaja mengancam keselamatan negara, malah turut membahayakan nyawa PATI serta anggota penguat kuasa.

 

Insiden ini sekali lagi membuktikan bahawa tugas sebagai anggota penguat kuasa maritim berisiko tinggi, kerana sentiasa berhadapan ancaman secara langsung di laut termasuk dirempuh, malah berdepan kemungkinan kehilangan nyawa ketika menjalankan amanah negara.


.

#MaritimeNation #MalaysiaCoastGuard #MaritimMalaysia #PerisaiSamuderaNegara #MalaysiaMADANI #KDNMadani #MDNCoastGuard #MADANIBekerja #ReformKDN #KDNYakinMADANI Kementerian Dalam Negeri (KDN)Saifuddin Nasution Ismail




No comments: