PN politik buruk siku, suka ungkit mengungkit


 

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar melabel Perikatan Nasional (PN) sebagai gabungan politik yang buruk siku, suka ungkit mengungkit dan merebutkan jawatan.

Beliau membayangkan Malaysia akan hancur dalam perebutan kuasa berikutan pertelingkahan Bersatu dan Pas mengenai siapa yang menanggung lebih banyak kos pilihan raya.

“Jika parti-parti yang asyik bertekak soal siapa bayar lebih dan siapa patut jadi ketua ini diberi kuasa memimpin negara, rakyat hanya akan menjadi mangsa. 

“Kalau kos pilihan raya pun PN tak sehaluan, bayangkan bila pegang negara. Malaysia bukan selamat, tapi Malaysia hancur dalam perebutan kuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mahfuz menambah, rakyat wajar sedar bahawa PN bukanlah pilihan yang boleh diharapkan. 

“Mereka gagal menguruskan kejujuran sesama sendiri, bagaimana mungkin mereka boleh menguruskan sebuah negara?,” soalnya.


Bersatu dan Pas saling menyalahkan selepas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa parti dalam gabungan PN banyak bergantung kepada jentera Pas dan kewangan parti itu untuk bertanding dalam pilihan raya.

Ia kemudian mendapat respon bekas pegawai kepada Tan Sri Mahiaddin Md Yassin yang mendakwa sebenarnya Bersatu yang banyak mengeluarkan perbelanjaan pilihan raya termasuk memberi sumbangan kewangan kepada Pas.




No comments: