Pengundian PKR: Kekalahan Rafizi tanda berakhirnya Reformasi? SIRI 2



Kita mesti melipat gandakan usaha parti untuk memulihkan idealisme Politik Baru bagi meningkatkan penglibatan demokratik, kerjasama pelbagai etnik, serta pembaharuan sistem pendidikan dan kesihatan kita

 





Namun jelas, perselisihan faham telah pun timbul di antara Rafizi dan Anwar. Sama ada Nurul Izzah menyebelahi bapanya atau bersetuju dengan Rafizi tidaklah dapat ditentukan kerana beliau tidak menjadi tumpuan umum sejak pilihan raya umum lalu. Ketika itu, beliau gagal memenangi kerusi parlimen Permatang Pauh, yang pernah ditandingi dan dimenangi oleh kedua ibu bapanya dalam pilihan raya sebelum ini. Jadi, beliau tidak dilantik untuk duduk dalam kabinet. Hansard juga tidak merekodkan sebarang kenyataan beliau kerana beliau tidak berada di Parlimen beberapa tahun kebelakangan ini.

Jadi, tidak ada laporan Nurul Izzah mengulas secara terbuka mengenai pelantikan dilakukan bapanya melibatkan presiden Umno Zahid Hamidi sebagai timbalan PM mendahului timbalan partinya sendiri. Juga tidak ada penafian tentang Zahid, Musa Aman dan bekas pemimpin Umno yang lain diberikan “DNAA” (pelepasan tanpa pembebasan). Apa lagi sebarang komen dari Izzah apabila hukuman penjara bekas Perdana Menteri Najib Razak turut dikurangkan separuh.

Kalau diingat semula, Rafizilah yang mengetuai bahtera perang bagi menentang beberapa siri kes rasuah yang melibatkan pemimpin Umno-Barisan Nasional. Bersama Tony Pua dan akhbar The Edge, Rafizi mendedahkan skandal rasuah 1MDB berbilion ringgit, yang pada mulanya diselubungi Akta Rahsia Rasmi. Beliau jugalah yang memecahkan skandal “Cowgate”, di mana dana negeri yang diperuntukkan untuk Pusat Fidlot Nasional yang didakwa disalah guna untuk kegunaan peribadi.





Atas usahanya, Rafizi terpaksa menanggung 16 kes mahkamah, termasuk satu kerana melanggar Akta Rahsia Rasmi. Ini mengakibatkan beliau berdepan hukuman penjara tiga tahun ke atasnya, yang mujurlah digantung.

Dalam kempennya bagi mempertahankan jawatan timbalan presiden, Rafizi melawat sembilan lokasi termasuk Sabah dan Sarawak. Bersesuaian dengan nama jelajahnya untuk berbuat bising, ia dinamakan “Jelajah Hiruk” (Hiruk adalah singkatan Hidupkan Idealisme Reformasi dalam Ujian Berkuasa).

Semasa kempennya, beliau bercakap tentang kerjanya di Kementerian Ekonomi, termasuk menyiapkan Rancangan Malaysia ke-13 (lima tahun). Beliau membincangkan cadangannya untuk memperkenalkan pembaharuan dalam sistem pendidikan. Beliau menjelaskan bagaimana beliau akan terus memberikan subsidi kepada golongan yang memerlukan di samping meningkatkan hasil untuk kerajaan.

Tidak, beliau tidak bercakap tentang percubaannya untuk melancarkan program Padu, yang ternyata sedikit melampaui batas, atau rancangannya untuk menghapuskan subsidi petrol, yang diramalkan para pengkritik akan menjadi kacau bilau.

Rafizi juga menggesa pindaan kepada perlembagaan parti. Ia akan menghalang pemilihan parti diadakan jika penggalnya bertembung dengan pilihan raya umum serta tidak membenarkan anggota baru yang tidak menjadi ahli selama sekurang-kurangnya lima tahun daripada bertanding parti dan pilihan raya umum. Sehubungan itu, beliau mencadangkan presiden perlu dilucutkan hak dalam memberikan pengecualian kepada anggota baru untuk bertanding.

Ia merupakan kritikan kepada anggota baru seperti R Ramanan, bekas bendahari MIC yang baru menyertai PKR dan ‘menyendeng’ dirinya kepada Anwar, lalu diberi kawasan pilihan untuk bertanding pada pilihan raya umum lepas. Lebih daripada itu, Ramanan kemudiannya turut dilantik sebagai timbalan menteri pembangunan usahawan dan koperasi. Beliau juga bertanding untuk salah satu jawatan naib-presiden PKR dan menang. Ramanan juga secara terbuka menyokong Nurul Izzah menentang Rafizi.

Seorang lagi pendatang baharu yang naik pangkat dengan pantas ialah Adam Adli, yang turut diberi kerusi untuk bertanding pada pilihan raya umum lalu. Beliau kemudiannya bertanding dan muncul sebagai ketua Angkatan Muda Keadilan, sayap pemuda parti itu.

Begitu juga, seorang lagi ahli bernama Amir Hussein dari Sabah, yang diberi kerusi untuk bertanding walaupun mempunyai reputasi sebagai ‘katak’. Beliau pernah di dalam Umno, kemudian Amanah sebelum menyertai PKR. Beliau juga merupakan antara pengkritik paling lantang Rafizi menjelang pemilihan parti ini.

Dalam ketiga-tiga kes ini, Anwar telah memberikan pengecualian yang diperlukan. Dalam membela dirinya, beliau menyatakan bahawa dirinya hanya menandatangani kelulusan dan tidak mempertimbangkan perkara itu dengan teliti. Jadi, jelas sekali, beliau tidak menentang cadangan pindaan Rafizi.

Nurul pula tidak pernah berada dalam kabinet dan tidak terlibat dalam penggubalan dasar. Tetapi beliau telah menghabiskan masa bagi menyelaras sekretariat untuk menasihati menteri kewangan, iaitu bapanya sendiri.

Dalam pemilihan parti terkini, pasukan Izzah yang digelar “Team Damai” (Dari Akar Membina Aspirasi Inklusif), mengadakan perhimpunan di tujuh lokasi, termasuk di Malaysia Timur. Nampaknya, kempen mereka agak sederhana, bersesuaian dengan nama ‘damai’ yang dipakai, tidak ‘bising’ seperti Jelajah Hiruk.

Walaupun presiden menyatakan beliau tidak menyebelahi mana mana pihak, pengundi biasa PKR faham bahawa Nurul Izzah adalah proksi Anwar. Undi untuk Nurul adalah undi untuk Anwar.

Mungkin inilah sebabnya ketika Rafizi mengumumkan beliau akan bertanding, kira-kira seminggu sebelum pengundian, Rafizi menyatakan bahawa beliau tidak boleh memenangi pertandingan itu. Dan Rafizi juga memaklumkan yang beliau akan mengosongkan kerusi menterinya jika itu berlaku.

Turut ada dakwaan oleh Pasukan Jelajah Hiruk bahawa pesaing mereka telah menggunakan ‘politik wang’ – apa lagi cara mereka untuk memastikan para ahli untuk mengundi Pasukan Damai! Dakwaan ini semakin kuat apabila Pasukan Damai mula memenangi kerusi bahagian, satu demi satu, kira-kira sebulan lebih awal daripada pemilihan majlis pusat yang dijadualkan pada 24 Mei di Johor Bahru.

Inilah sebab mengapa pasukan Jelajah Hiruk mempersoalkan mengapa tiada rakaman skrin proses pilihan raya di peringkat bahagian dibenarkan.

Sebagai pandangan alternatif, boleh jadi bukan politik wang yang menunjukkan sisi hodohnya. Boleh jadi ia manifestasi sokongan kepada Orang Besar dalam parti dan anak perempuannya, seperti yang sering berlaku dalam politik Malaysia dan serantau.


Pilihanraya jawatankuasa pusat

Dalam pemilihan itu, Nurul Izzah menewaskan Rafizi dan dilantik sebagai timbalan presiden. Beliau memenangi 9,803 (lebih 70%) undian manakala Rafizi hanya memenangi 3,866 undi.

Bagi peringkat jawatankuasa pusat, 22,081 perwakilan layak mengundi, di mana 13,752 sebenarnya mengundi. Ini bermakna hanya kira-kira 44% daripada 22,081 perwakilan yang layak benar-benar mengundi Nurul Izzah.

READ MORE:  PKR polls: Rafizi's defeat and the end of Reformasi?

 

Ia juga bermakna 8,329 (38%) daripada semua perwakilan yang layak tidak memilih untuk mengundi – walaupun mereka dibenarkan mengundi sama ada secara peribadi atau dalam talian. Cukup besar peratusan yang memilih untuk tidak mengundi! Mengapa mereka tidak muncul? Adakah ini kerana mereka tidak mahu menyokong mana-mana calon? Adakah itu tanda protes?

Pemilihan bahagian yang diadakan sebelum ini memberi kita petunjuk jelas. Dalam pilihan raya ini, ramai penyokong Rafizi tidak berjaya dalam usaha mereka untuk dipilih semula menjadi kepimpinan bahagian mereka sendiri. Mereka termasuklah Nik Nazmi Nik Ahmad (Ahli Parlimen Setiawangsa), Akmal Nasrullah Nasir (Johor Bahru), Rodziah Ismail (Ampang), Lee Chian Chung (Petaling Jaya) and Fahmi Zainol (Ahli Dewan Negeri Pulau Pinang untuk Pantai Jerejak). Hanya naib-presiden PKR Chang Lih Kang (Ahli Parlimen Tanjung Malim) dan Aminuddin Harun (Menteri Besar Negeri Sembilan) dapat memenangi kerusi mereka, selain Rafizi sendiri, yang menang di Pandan tanpa bertanding.

Dalam pertandingan bagi naib-presiden, hanya Chang dan Aminuddin yang berjaya. Nik Nazmi dan G Manivanan tidak berjaya. Dua lagi naib-presiden yang dipilih ialah Amiruddin Shari dan Ramanan, kedua-duanya bersekutu dengan Nurul Izzah (atau Anwar).

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dikembalikan sebagai ketua sayap wanita, manakala Kamil Munim dipilih sebagai ketua pemuda tanpa bertanding. Kedua-duanya adalah penyokong setia Anwar.

Sehubungan itu, 17 daripada 20 (85%) daripada semua kerusi dalam majlis pimpinan pusat menjadi milik Pasukan Anwar.

Kritikan juga muncul bahawa Dr Zaliha Mustafa, yang bertanggungjawab dalam pemilihan parti, setiausaha agung PKR Fuziah Salleh dan mungkin Nurul sendiri tidak menyedari apa yang berlaku di akar umbi.

Dalang yang didakwa di sebalik tabir semua yang berlaku ini ialah Amirudin Shaari, Menteri Besar Selangor. Penyokong setia Azmin ini dulu, kini menjadi penyokong sepenuh masa Nurul Izzah. Rupa-rupanya, inilah cara Amirudin ‘menyendeng’ kepada bapanya.

Juga nampaknya, ia adalah sebahagian daripada rancangan Amirudin untuk menggulingkan Rafizi dan meletakkan dirinya sedekat mungkin dengan gabungan bapa-dan-anak perempuan itu, serta menggantikan mereka apabila tiba masanya. Dijangka Amirudin akan mewarisi salah satu daripada dua jawatan menteri persekutuan yang telah dikosongkan oleh Rafizi dan Nik Nazmi selepas mereka gagal memenangi jawatan tertinggi parti.

Tidak dapat disangkal, kekalahan Rafizi dan peletakan jawatannya daripada kabinet (serta Nik Nazmi, penyokong setianya) pastinya mengakibatkan PKR menjadi lemah.

Azlan Adnan MA, yang tampaknya mengagumi Rafizi, telah menyiarkan tulisan yang agak berbentuk hagiografi tentang Rafizi, yang beliau anggap sebagai “reformis sejati” melebihi mentornya, Anwar. Beliau menulis:

Kekalahan Rafizi menandakan titik perubahan yang menyedihkan bagi PKR. Dengan memilih Nurul Izzah – simbol kesinambungan dan legasi keluarga – parti itu telah memberi isyarat bahawa ia tidak lagi membawa gagasan reformasi yang berbentuk mengganggu tetapi diperlukan, seperti yang diperjuangkan oleh Rafizi. Keputusan ini menimbulkan persoalan yang tidak selesa tentang kematangan demokrasi parti Malaysia… Akar umbi seakan mengundi untuk keselesaan. Untuk membiasakan diri, untuk dinasti politik keturunan, dan dengan berbuat demikian, mereka mengenepikan seorang tokoh dalam parti mereka yang mempunyai kedua-dua dimensi; otak dan keberanian bagi meneroka jalan yang berbeza… Kekalahan Rafizi adalah jalan yang bersimpang siur, bukan jalan buntu. Ideanya kan kekal hidup, integritinya utuh, dan kawasan pilihan rayanya – bukan sahaja pengundinya, tetapi juga rakyat Malaysia yang berfikiran reformasi – masih di belakangnya. Reformasi terluka, ya – tetapi tidak mati….

– Azlan Adnan MA melalui artikelnya berjudul Rafizi Ramli’s defeat; A parallel to Khairy Jamaluddin’s political journey. What the fall of Malaysia’s brightest reformist says about party politics

Jadi, seperti apa perkembangan politik semasa yang ada sekarang? Izinkan saya membedah pemilihan PKR dan perkembangan politik terkini yang lain dengan membezakan antara dua jenis politik yang wujud..



No comments: