Pengundian PKR: Kekalahan Rafizi tanda berakhirnya Reformasi? SIRI 3

 



Kita mesti melipat gandakan usaha parti untuk memulihkan idealisme Politik Baru bagi meningkatkan penglibatan demokratik, kerjasama pelbagai etnik, serta pembaharuan sistem pendidikan dan kesihatan kita



Politik P Besar dan politik p kecil


“Politik P Besar” merujuk kepada ruang pilihan raya, Perlembagaan dan penggubalan undang-undang, cukai pendapatan dan belanjawan, alam Kekuasaan dan parti politik, termasuk pemilihan parti dalaman seperti PKR, yang diadakan baru-baru ini.

Politik P Besar ini dikuasai oleh Umno-BN selama lebih 60 tahun. Pemenang dalam Politik P Besar berakhir dengan banyak Kuasa dan berpeluang untuk mengumpul banyak kekayaan dengan cepat.

Tetapi hati-hati! Politik P Besar juga disertai dengan adegan tikam belakang, lompat parti serta membuat perjanjian tanpa mengambil kira prinsip. Semua ini untuk berkuasa, seperti perampasan kuasa lewat pintu belakang Sheraton.

Peristiwa yang lebih baru melibatkan ahli politik ialah antara PM dan pemimpin Umno sekarang, Zahid Hamidi. Percaturan ini membolehkan beliau dilantik sebagai timbalan PM, walaupun berhadapan 27 tuduhan rasuahnya. (Beliau kemudiannya telah diberikan DNAA (pelepasan tanpa pembebasan).

Kerajaan perpaduan “Madani” yang diketuai oleh Anwar, dengan Zahid sebagai timbalannya, dan PKR sebagai teras, kini terletak di tengah-tengah Politik P Besar.

Sebaliknya, “politik penyertaan dengan p kecil” merujuk kepada politik yang dijalankan dan berkembang di luar parti politik serta di luar pilihan raya umum yang diadakan setiap empat hingga lima tahun. Ia menelesuri kemunculan bentuk politik ‘setiap hari’ yang berbentuk tidak formal atau ‘budaya’ yang berlaku di antara pilihan raya.

Di Malaysia, sekelompok warga awam mula membentuk NGO – ada yang berdaftar, ramai yang tidak – sejak 1970-an dan seterusnya, selepas rusuhan kaum 13 Mei pada 1969.

Salah satunya ialah pertubuhan kami sendiri, Aliran. Kami tidak menunggu pilihan raya untuk datang. Kami terlibat dengan isu dan masalah apabila ia timbul, di antara sela pilihan raya. Tumpuan diberikan kepada punca khusus seperti pencabulan hak asasi manusia, termasuk penahanan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).



Five years into Mahathir’s 22-year hold on power, the rot was already evident – ALIRAN.


Dalam artikel diterbitkan, kami menentang keganasan terhadap wanita dan mempertahankan kesaksamaan jantina. Kami membantah penubuhan taman tema di atas Penang Hill. Kami mencabar skandal kewangan yang melibatkan pemimpin politik. Kami mempertahankan hak Orang Asli, hak pengguna, dan hak peneroka bandar dan petani yang menghadapi pengusiran paksa.

READ MORE:  Rafizi Ramli - political marvel or tragedy in the making?

 

Malangnya, pertumbuhan politik p kecil telah dibungkam semasa Operasi Lalang, melalui undang-undang kejam ISA pada 27 Oktober 1987. Sebahagian daripada mereka yang ditahan ketika itu adalah pemimpin terkenal DAP seperti Lim Kit Siang, Karpal Singh, P Patto dan Lim Guan Eng. Tahanan lain termasuklah pemimpin Pas seperti Mohamad Sabu dan Mahfuz Omar.






Never again! It is time for closure

Walau bagaimanapun, majoriti tahanan Operasi Lalang telah aktif dalam politik p kecil. Sebagai contoh, Nasir Hashim yang memperjuangkan hak ‘setinggan’ atau peneroka bandar. Brother Anthony Rogers dan Lim Chin Chin adalah pekerja gereja Katolik yang rapat dengan gerak kerja keadilan sosialnya, National Office of Human Development. Yang lain seperti Cecilia Ng dan Chee Heng Leng aktif dalam perjuangan untuk kesaksamaan gender. Tahanan lain termasuk pendidik beraliran Cina seperti Kua Kia Soong, pencinta alam sekitar serta kesatuan sekerja.

Politik p kecil telah menerima rangsangan apabila Reformasi tercetus sejurus pemecatan Anwar daripada Umno pada tahun 1998. Dalam tempoh dua tahun, ramai daripada mereka yang terlibat dalam politik kecil dan dalam Reformasi, terutamanya penyokong setia Anwar yang telah muncul dari rahim Umno, membantu membentuk Parti Keadilan Nasional. Parti ini kemudiannya bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia, parti sosialis lama, untuk membentuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan Syed Husin Ali, seorang sarjana aktivis terkenal, sebagai timbalan kepada presiden parti Wan Azizah.


Dengan kata lain, aktivis politik p kecil juga beralih ke alam Politik P Besar. Atau, untuk meminjam istilah aktivis veteran Hishamuddin Rais, kita melihat “politik jalanraya” yang membentuk kumpulan politik p kecil turut diinstitusikan untuk memerangi Politik P Besar berbentuk “Politik Pilihanraya”.

Seterusnya, PKR juga membentuk gabungan dengan DAP, juga kemudian dengan Pas (sehingga pilihan raya umum 2013) dan akhirnya dengan autokrat, Mahathir, yang pernah menjadi musuh dan penindas mereka. Kerjasama dan kesepakatan mereka membawa kepada kemenangan yang menakjubkan dalam pilihan raya umum 2018. Bersama-sama, mereka menewaskan daulah Umno-Barisan Nasional buat kali pertama sejak merdeka.

Namun, ramai di Malaysia, termasuk kami di Aliran, terus menumpukan kepada politik p kecil. Kami mengambil bahagian dalam pembentukan jaringan NGO seperti Bersih, yang pada dasarnya menuntut pilihan raya yang bebas dan adil. Mungkin jaringan ini mencapai kemuncaknya apabila ia diketuai oleh bekas presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan dan Pak Samad Said, sasterawan negara. Bersih juga tidaklah mahu menjadi parti politik untuk bertanding dalam pilihan raya. Namun, ia bekerjasama dengan PKR dan parti pembangkang lainnya.


The Bersih 5 crowd outside KLCC on 19 November 2016



Turut muncul sekitar waktu ini ialah Hindraf, yang memperjuangkan hak orang Hindu, dan gerakan alam sekitar di Malaysia, yang menganjurkan Himpunan Hijau.

Dengan kata lain, alam politik p kecil ini memuncak pada tahun-tahun berikutnya. Melalui Bersih, tuntutannya untuk pilihan raya yang bebas dan adil menjadi popular serta berkembang di kalangan rakyat. Seruannya yang berkaitan bagi memulihkan pilihan raya kerajaan tempatan dan membina semula Malaysia yang lebih baik juga disambut masyarakat.

Ramai masih ingat waktunya di mana kami turut membantu untuk menganjurkan demonstrasi atau mengambil bahagian dalam mesyuarat bagi membincangkannya. Ia adalah tempoh di mana orang ramai cukup bersedia turun ke jalanan bagi membantah penyalahgunaan kuasa dan rasuah Umno-BN.

NGO ketika itu turut menuntut tadbir urus yang baik, akauntabiliti dan ketelusan. Mereka menentang rasuah dan kronisme. Mereka menyokong kesaksamaan jantina dan perlindungan wanita. Mereka menggesa keadilan sosial untuk Orang Asli dan peneroka bandar, untuk pembangunan mampan, untuk perundangan gaji minimum, untuk penambahbaikan dan perlindungan sistem kesihatan awam. Mereka menuntut pembaharuan di sekolah kita dan juga untuk memelihara warisan budaya, seni dan muzik kita. Saya juga masih ingat inisiatif untuk mendekati orang dari latar belakang agama lain dan mempromosikan dialog antara agama.

Media sosial turut digunakan secara meluas untuk menguatkan politik p kecil kita. Ia merupakan satu pembugaran bentuk masyarakat sivil yang belum pernah berlaku sebelum ini di Malaysia. Momentumnya telah bermula sejak Reformasi.

Politik p kecil sebegini adalah perkara biasa di Filipina pasca-Marcos, di Indonesia pasca-Reformasi, dan di Thailand, di mana rampasan kuasa tentera berlaku dari semasa ke semasa. Dihadapkan dengan pemerintahan tentera dan autoritarian, Politik P Besar berbentuk pilihan raya sering berdepan masalah di negeri jiran. Akibatnya, NGO dan pertubuhan masyarakat sivil di sana telah bergerak menentang pemerintahan tentera dan autokratik BUKAN melalui Politik Kuasa P Besar tetapi melalui politik penyertaan p kecil. Beribu-ribu pertubuhan masyarakat sivil atau NGO wujud di negara jiran ini dan telah aktif sejak 1970-an.

Di Malaysia, secara perbandingannya, proses pilihan raya formal telah berjalan tanpa gangguan. Namun, proses itu telah dikuasai oleh parti politik berasaskan etnik Umno-BN selama enam dekad. Keseluruhan sistem itu bergelumang politik wang.

Tidak banyak bukti bahawa kerajaan perpaduan Madani yang dipimpin oleh Anwar dengan PKR sebagai parti teras kerajaan telah beralih daripada proses yang ditentukan oleh etnik dan politik naungan yang dikaitkan dengan gabungan Umno-BN.

Kita mesti melipatgandakan usaha PKR dan Anwar untuk memulihkan idealisme Politik Baru yang berteraskan untuk meningkatkan penyertaan demokratik, kerjasama pelbagai etnik, dan pembaharuan sistem pendidikan serta kesihatan kita.

Dari sudut pandang sebegini, keputusan pemilihan PKR baru-baru ini hanya memberi sedikit perbezaan kepada kita yang menuntut pembaharuan. Ya, kita pastinya cenderung untuk mengutamakan kerajaan perpaduan pimpinan PKR ini daripada kemungkinan alternatif sedia ada yang wujud. Namun, adakah sudah tiba masa untuk berfikir dengan jelas tentang alternatif lainnya?

Untuk itu, kita perlu melancarkan semula usaha politik p kecil kita. Kita hanya boleh berjaya dalam arena Politik P Besar, jika politik p kecil kita melibatkan tuntutan seputar soal reformasi sosial, keterangkuman dan demokrasi partisipatif kekal aktif, cergas dan kukuh.

Politik p kecil perlu menyuntik semula dirinya masuk ke dalam politik P Besar seperti mana pada kemuncak gerakan Reformasi.

Francis Loh
Editor bersama, surat berita Aliran
4 Jun 2025

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama

1.      Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat

2.    Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar

3.    Raikan kerencaman dan keterangkuman

4.    Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang

5.     Lawan rasuah dan kronisme

 


No comments: