KEJUTAN DALAM PEMILIHAN PKR

 

KS


KUALA LUMPUR, 20 April – Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi 2025 menyaksikan beberapa kejutan apabila beberapa pemimpin utama dan penyandang tewas. 





Di Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar kembali menerajui cabang tersebut selepas menang tanpa bertanding, sekali gus menandakan kemunculan semula beliau dalam politik arus perdana. 


Di Nibong Tebal, Menteri Pendidikan yang juga Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek, turut mencatat kemenangan selesa dalam saingan tiga penjuru apabila memperoleh 677 undi. 


Beberapa penyandang berjaya mengekalkan jawatan masing-masing, termasuk Johari Kassim di Jelutong, Mohamad Abdul Hamid di Tasek Gelugor serta Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, yang mematahkan cabaran lawannya, Cheah Peng Guan.


Namun begitu, beberapa kerusi penting di Lembah Klang menyaksikan penyandang tewas kepada pencabar. 


Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan, gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang selepas tewas kepada Lai Chen Heng. 


Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran pula ditewaskan oleh peguam Asheeq Ali Sethi Alivi.


Timbalan Menteri Perpaduan, K. Saraswathy, tidak berjaya menewaskan Anwar Pawan Chik di Bukit Bintang, manakala Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, tewas kepada penyandang, Hee Loy Sian. 


Di Selayang, ADUN Rawang, Chua Wei Kiat pula gagal mengambil alih jawatan daripada penyandang, William Leong.


Manakala, di Lembah Pantai, Datuk Fahmi Fadzil, yang juga Menteri Komunikasi dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, mengekalkan jawatan itu untuk penggal kedua berturut-turut bagi tempoh 2025 hingga 2028.


Sumber: Awani


#BeritaKS



No comments: