Razeef Umum Tanding Ahli MPP, Sokong Anwar Kekal Presiden KEADILAN

Razeef bersama Hajiji yang kedua-duanya merupakan anak jati Tuaran pada pertemuan di Kota Kinabalu baru-baru ini. Foto Facebook Razeef Rakimin
KOTA KINABALU, 2 Mar – Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Razeef Rakimin menawarkan diri untuk bertanding dalam pemilihan parti itu bagi jawatan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) untuk sesi 2025-2028.
Razeef yang juga Ketua Penerangan KEADILAN Sabah berkata, keputusan itu diambil selepas mengambil maklum pandangan daripada akar umbi parti dan rakan-rakan bukan saja dari negeri ini, tetapi juga Sarawak dan Semenanjung.
“Saya berharap pemilihan kali ini diadakan dalam suasana kekeluargaan bagi mengelakkan perpecahan, apatah lagi Sabah bakal berdepan dengan Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang dijangka berlangsung seawal Julai tahun ini.
“Saya juga memohon sokongan dan dokongan rakan-rakan anggota parti yang bersama-sama saya terus memperjuangkan agenda reformasi,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Tambah Ketua Cabang KEADILAN Tuaran itu, bagi merealisasikan agenda reformasi yang sedang diusahakan Kerajaan Madani, perlu untuk memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim terus kekal sebagai Perdana Menteri untuk penggal kedua dengan KEADILAN yang lebih kuat.
Sebelum itu, beliau memaklumkan KEADILAN akan mengadakan pemilihan parti bermula 14 Mac ini di peringkat cabang dan 3 Mei di peringkat MPP.

No comments:
Post a Comment