Presiden Pas kena jadi pembangkang konstruktif bukan menunggang, kata AMANAH



AMANAH menggesa Pas supaya bersikap pembangkang yang konstruktif dan bukan hanya membangkang dengan menunggang semua isu dikaitkan dengan agama dan kaum.

Setiausahanya, Faiz Fadzil berkata, Malaysia tidak akan aman dan maju jika rakyat diperangkap dengan permainan agama dan kaum yang merupakan ‘gendang’ penjajah.

Beliau membidas tiga perkara penting yang disentuh oleh Presiden Pas yang perlu dijelaskan oleh Tan Sri Abdul Hadi Awang kepada umum supaya tidak berlaku penipuan dan kekeliruan.


“Pertama, katanya, isu berkaitan cadangan menghadkan tempoh Perdana Menteri kepada 10 tahun.

“Cadangan ini asalnya adalah manifesto PH yang dipersetujui bersama semua parti komponen termasuk Perdana Menterihh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Anwar Ibrahim bersikap jujur dengan menerima cadangan tersebut di saat beliau berada di puncak kuasa.

“Jika cadangan ini dipersetujui Anwar Ibrahim ketika beliau pembangkang, ia tidak membawa nilai tinggi.

“Sikap terpuji PM ke-10 ini sangat berbeza dengan PM sebelum ini yang berjanji untuk menyerahkan kuasa ketika menjadi pembangkang, tetapi menangguhkannya ketika di puncak kuasa,” jelasnya.

Menerusi Minda Presiden Pas bertajuk “Mengutamakan Cadangan DAP Membelakangi Ketetapan Allah”, Hadi menuduh DAP menentang dasar Islam.




Abdul Hadi Awang

Mengulas dakwaan itu, Faiz berkata, Presiden Pas lupa bahawa ketika parti itu bersama DAP dalam Pakatan Rakyat sebelum ini, Presiden Pas sendiri menyatakan hukum hudud ditangguhkan sehingga isu gaji minimum dilaksanakan.


“Ketika itu, tidak pula Pas menuduh cadangan itu datang daripada Dap. Berkaitan isu hukum hudud pula, Pas sendiri gagal melaksanakan ketika menjadi kerajaan persekutuan bersama Perikatan Nasional (PN).

“Malah RUU 355 gagal dibawa ke Parlimen untuk dipinda sepertimana didendangkan ketika menjadi pembangkang.

“Adakah Pas boleh lupa semua perkara ini yang menjadi sebahagian sejarah besar politik negara?” soalnya.





Ketiga, jelas Faiz, adalah isu kumpulan yang keluar dari Pas tidak lagi berjuang untuk Islam.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir di Pulau Pinang itu berkata, Presiden Pas mungkin lupa bahawa cadangan menghadkan tempoh Perdana Menteri ini datang daripada PH yang turut dianggotai AMANAH.


Tegas Faiz, AMANAH adalah parti Islam yabg berbeza pendekatan dalam erti kata sederhana dan tidak ekstrem seperti Pas.

“Hanya kerana pendekatan sederhana ini AMANAH dilabel liberal atau kuda DAP sedangkan sederhana atau wasatiah adalah prinsip Islam dan ditekankan di dalam Al-Quran (al-Baqarah:143),” katanya.

Beliau menambah cadangan had tempoh Perdana Menteri juga adalah langkah integriti dan sifat tatakelola yang cukup tinggi yang ditunjukkan kerajaan Madani yang dianggotai AMANAH dan ini bertepatan dengan prinsip Islam yang mengangkat prinsip amanah.





No comments: