Lelaki berjubah tampar pemuda ‘tak puasa’ didakwa hari ini
Individu berjubah yang tular kerana menampar seorang pemuda bukan Islam yang makan secara terbuka di waktu siang pada bulan Ramadan, akan didakwa hari ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh, suspek, 65, akan dituduh di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
Jelasnya, kertas siasatan telah dirujuk semalam kepada Timbalan Pendakwa Raya dan hasil penelitian diputuskan untuk menuduh suspek.
Menerusi kenyataan media, beliau memaklumkan warga emas berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Sebelum ini, tular rakaman video memaparkan seorang warga emas menegur pemuda kerana makan secara terbuka pada bulan Ramadan di sebuah pusat beli-belah.
Warga emas itu turut meminta pemuda berkenaan menunjukkan kad pengenalan bagi membuktikan dia bukan beragama Islam.
Pemuda Cina tersebut yang enggan menunjukkan kad pengenalan kemudian mendakwa warga emas itu memarahi dan menamparnya beberapa kali.
No comments:
Post a Comment