Pendapatan Terjejas, PM Anwar Salur Sumbangan Kepada Nelayan

 

Ahmad Farhan mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan sumbangan kepada Supian Saman yang memerlukan bantuan meringankan beban ketika sesi Ziarah Madani di Cherating, Kuantan pada 26 Februari 2025. Foto Facebook Ahmad Farhan Fauzi

KUANTAN, 27 Feb – Seorang nelayan di Pahang yang diuji dengan pendapatan terjejas akibat keadaan cuaca tidak menentu, mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tampil membantu bagi meringankan bebannya seisi keluarga.

Sumbangan berupa wang tunai itu disampaikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi kepada Supian Saman, 39, di Kampung Darat Sungai Ular, Cherating dekat sini ketika mengunjungi rumahnya bersempena dengan Ziarah Madani.

Ahmad Farhan mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meninjau keadaan kediaman Supian Saman yang memerlukan pembaikan segera di Cherating, Kuantan pada 26 Februari 2025. Foto Facebook Ahmad Farhan Fauzi

“Hidup sebagai nelayan bukan mudah, apatah lagi apabila laut bergelora. Saya turut dimaklumkan sudah empat hingga lima bulan mereka tidak dapat turun ke laut kerana ombak kuat menyebabkan pendapatan seharian terjejas teruk,” kata Ahmad Farhan menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Beliau berkata, keadaan rumah Sufian juga serba daif dengan dinding semakin rapuh, malah bumbung juga seolah-olah tidak mampu menahan hujan lebat turut memerlukan pembaikan struktur.

Ahmad Farhan mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meninjau keadaan kediaman Supian Saman yang memerlukan pembaikan segera di Cherating, Kuantan pada 26 Februari 2025. Foto Facebook Ahmad Farhan Fauzi

Menurut Ahmad Farhan, pihaknya akan bekerjsama dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Pahang akan membantu membaik pulih rumah Supian supaya lebih selesa dan selamat untuk didiami.

Sementara itu, Ahmad Farhan berkata, program Ziarah Madani bukan sekadar menziarahi, tetapi ia juga membawa harapan kepada mereka yang memerlukan bantuan.

“Diharapkan Encik Supian sekeluarga dimurahkan rezeki dan dipermudah segala urusan,” katanya.



No comments: