Bekas pegawai Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah AS$300,000 daripada syarikat pembekal baja Singapura.
Tertuduh, Nordin Ibrohim, 77, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan.
Mengikut kertas pertuduhan, Nordin didakwa menerima suapan iaitu wang berjumlah – AS$200,000 dan AS$100,000 – daripada Kim Jong Kwa, Pengarah Syarikat Sung Chang Asia Pte. Ltd.
Mengikut fakta kes, Kim Jong Kwa didakwa memindah wang daripada akaun bank milik syarikatnya ke akaun bank milik tertuduh sebagai upah membantu syarikat itu dilantik sebagai pembekal baja kepada pesawah oleh NAFAS.
Nordin didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Plaza Mont Kiara di sini antara 16 November dan 21 Disember 2022, mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Disebabkan kesalahan membabitkan dana kerajaan, pegawai Pendakwa SPRM Abdul Muntaqim Abdul Aziz mencadangkan jaminan antara RM200,000 hingga RM300,000 bagi dua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Ia beserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah hingga kes selesai, melapor diri di pejabat SPRM berhampiran sebulan sekali dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Hakim Rosli Ahmad yang menetapkan sebutan kes pada 26 Februari ini membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.
No comments:
Post a Comment