KETUA PEMBANGKANG DIRUJUK KE JAWATANKUASA HAK DAN KEBEBASAN KERANA MEMFI...


IPOH – Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak meluluskan usul membawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, Razman Zakaria kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri selepas beliau didakwa membuat kenyataan tidak benar pada Isnin. Keputusan itu dibuat Speaker DUN, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid selepas usul dibawa ADUN Astaka, Jason Ng Thien Yeong dipersetujui. “Bersandarkan kepada Perintah Tetap Peraturan 40 (3) (a) dan (b), pengerusi merasakan ada merit kepada usul tersebut dan bersetuju. Dengan ini Yang Berhormat Gunung Semanggol dirujuk Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri Perak,” kata Mohammad Zahir. Keputusan itu dibuat pada pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Kedua Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Rabu.
Sebelum itu, Jason bangkit dan memaklumkan Ketua Pembangkang DUN itu telah mengeluarkan kenyataan tidak benar berhubung insiden bendera Negara China dikibarkan di Teluk Intan pada persidangan DUN Perak Isnin lalu.
Kata beliau, Razman didakwa membuat sangkaan buruk terhadap ADUN Kepayang Nga Kor Ming dan ADUN Pasir Bedamar Woo Kah Leong kerana mengaitkan dua wakil rakyat itu dalam insiden berkenaan. “Kedua-dua ADUN Kepayang dan Pasir Bedamar langsung tidak pernah hadir ke program pada 24 Oktober tersebut. “Justeru itu, ADUN Gunung Semanggol telah pun menyalahi Peraturan 40 (7) Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri di mana seseorang ahli tidak boleh mengeluarkan sangkaan buruk kepada mana-mana ahli lain,” katanya. Razman dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN dewan persidangan ketua pembangkang ADUN Perak Jason Gunung Semanggol Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Astaka, Jason Ng Thien Yeong pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Kedua Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 04 DISEMBER 2024. Tambah Jason, Razman juga didakwa mengeluarkan kenyataan dengan membuat sangkaan buruk serta kenyataan berbaur perkauman masing-masing pada persidangan DUN Isnin dan Rabu. “Pada 4 Disember, ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria telah mengeluarkan kenyataan yang berbunyi seperti berikut, “Siapa yang bawa masuk abu Chin Peng?”. “Kenyataan tersebut telah diulangi dalam dewan dan ia telah menyalahi Peraturan 40(11)(b) iaitu perkataan-perkataan yang membawa maksud hasutan,” jelas beliau. Usul tersebut kemudian disokong Wong May Ing (PH-Pantai Remis). Pada Persidangan DUN Perak Isnin, berlaku sedikit ketegangan apabila insiden kibaran bendera negara China yang tular berlaku di Dataran Menara Condong Teluk Intan pada Oktober lalu dibangkitkan. Isu itu pada awalnya dibangkitkan Razman yang mahu ia disiasat dengan lebih mendalam kerana mendakwa individu mengibarkan bendera China itu adalah warga tempatan. Ketua Pembangkang itu juga berkata, beliau sedia diambil tindakan sekiranya perkara berkenaan dibawa ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak. – MG Perak