Selepas Wan Fayhsal, giliran MP Pendang pula digantung dari Parlimen
Selepas Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung enam bulan daripada sidang Parlimen, kini giliran Ahli Parlimen Pendang pula digantung daripada menghadiri sidang berkenaan.
Datuk Awang Hashim diarah keluar Dewan Rakyat selepas beliau enggan menarik balik atau membuat permohonan maaf atas ucapan yang dianggap menghina Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Awang sebelum itu diminta secara baik untuk menarik balik kenyataan menghina di aplikasi TikTok pada 18 Julai lalu.
Johari memaklumkan, beliau sudah mengemukakan surat kepada Awang pada 22 Julai lalu supaya menarik balik ucapan berkenaan dan membuat permohonan maaf, tetapi sehingga hari ini belum ada tindakan.
“Tindakan Pendang adalah menghina Yang Dipertua Dewan Rakyat yang dipilih dan diamanahkan menjalankan tanggungjawab berdasarkan peraturan Dewan Rakyat.
“Memandangkan YB tidak menarik balik dan memohon maaf kepada saya sebagai speaker, maka saya perintahkan YB keluar dari dewan ini untuk tempoh 10 hari berdasarkan peraturan 44 (2),” katanya.
Bagaimanapun, keputusan itu cuba dibantah oleh Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, mendakwa peraturan disebut Johari tidak boleh digunakan bagi kesalahan di luar dewan.
Bagaimanapun, Johari menjawab hujah Kiandee dengan mengingat semula keputusan Kiandee ketika menjadi Timbalan Speaker yang menggantung seorang Ahli Parlimen pembangkang pada 2013 dan 2014 kerana menghina Yang Dipertua Dewan Rakyat sewaktu sidang media.
Dewan juga menjadi kecoh apabila Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) menambah perasa dengan berkata tempoh gantung selama 10 hari adalah tidak adil dan sepatutnya Ahli Parlimen Pendang digantung selama 60 hari.