JOM KITA IKUT APA HARAKAHDAILY CAKAP.

 



Mari kita ikut pencerahan yang bertarikh 31 Oktober 2022 yang disiarkan di akhbar Harakahdaily untuk memahami situasi di Dewan Rakyat mutakhir ini. Pencerahan yang cukup jelas, bak kata orang, "hari itu faham hari ini buat-buat tak faham."


***********************

Artikel

Apa sebenarnya definisi lompat parti? 

October 31, 2022


DEWAN Rakyat telah meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang diluluskan dengan undian dua pertiga majoriti pada 28 Julai 2022.


Namun, tidak ramai yang aware apa definisi sebenar lompat parti yang telah dipersetujui.


Definisi ini tidak dilakukan secara unilateral. Ia adalah syor daripada Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) dengan keanggotaan rentas parti.


Antaranya ahli PSC adalah Azalina Othman (BN), Takiyuddin Hassan (PAS), Saifuddin Nasution (PKR-PH) serta Gobind Singh (DAP-PH).


Pindaan Perlembagaan Persekutuan ini sebahagiannya melibatkan tambahan peruntukan 49A iaitu Pertukaran Parti Politik Anggota.


Perkara 49A(1) menjelaskan sebab keanggotaan Dewan Rakyat gugur bermaksud seseorang itu telah dianggap melompat parti. 


(a)(i) dia melepaskan keanggotaan parti politik itu;


(a)(ii) dia tidak lagi menjadi anggota parti itu;


(b) setelah dipilih ke Dewan Rakyat bukan sebagai anggota suatu parti politik, dia menyertai suatu parti politik sebagai anggota.


Perkara 49A(2) sebaliknya mengecualikan maksud lompat parti bagi tindakan berikut;


(a) pembubaran atau pembatalan pendaftaran parti politiknya;


(b) pelepasan keanggotaannya daripada parti politiknya apabila dipilih sebagai Yang di-Pertua;


(c) pemecatannya daripada keanggotaan dalam parti politiknya. 


Prinsip asas dalam mendefinisikan lompat parti adalah berdasarkan tindakan seseorang wakil rakyat itu sendiri untuk keluar parti yang dianggotainya.


Fahami situasi berikut.


Situasi 1:


Ali menang atas tiket Bebas. Selepas menang beliau sertai Gerakan. Maka dia dikira lompat parti. 


Situasi 2:


Ali menang atas tiket DAP, kemudian keluar menjadi Bebas. Dia dikira lompat parti. 


Situasi 3:


Ali menang atas kerusi BERSATU dalam PERIKATAN NASIONAL. Dia keluar parti dan sertai PAS juga dalam PERIKATAN NASIONAL. 


Dia tetap dianggap lompat parti kerana prinsip asas adalah partinya, bukan gabungan parti.


Situasi 4:


Ali menang atas kerusi PAN. Selepas menang dia keluar parti dan sertai PAS. Dia dikira lompat parti. 


Situasi 5:


Ali menang atas kerusi Umno. Tiba-tiba parti Umno membuat keputusan menyertai PERIKATAN NASIONAL. Maka, kerusi Ali dan Ahli Parlimen Umno tadi kekal dan tidak dianggap lompat parti.


Kerana tindakan melompat parti hanya ‘accountable’ atas individu yang keluar parti. 


Situasi 6:


Ali menang atas kerusi Pejuang. Dia dipecat oleh partinya atas sebab-sebab tertentu. Maka, dia tidak dianggap lompat parti kerana dipecat oleh parti.


Dipecat daripada parti tidak dianggap lompat parti. 


Situasi 7:


Tetapi, jika Ali melakukan sesuatu tindakan yang menyebabkan berdasarkan Perlembagaan parti dia digugurkan keahlian, maka dia dianggap lompat parti.


Kerana keahlian partinya tergugur bukan sebaliknya dipecat.


Situasi 8:


Ali parti PAN tetapi bertanding dengan logo PKR. Dia tetap dikira menang dengan nama PAN, bukan PKR. 


Jika dia bertanding sebagai calon PKR. Kemudian bertukar parti daripada PAN kepada PKR. Maka, dia dianggap lompat parti. 


Ia bergantung kepada apa keahlian parti Ali sebenarnya. 


Situasi 9:


Ali calon Bebas, tetapi meminjam logo MIC. Selepas menang status dia adalah Bebas dan bukannya MIC. 


Jika dia menyertai MIC, dia dianggap telah melompat parti walaupun asalnya dia bertanding dengan logo MIC. 


Jadi, kesimpulannya mudah. 


Lompat parti adalah mereka yang keluar daripada parti yang disertainya.


Lompat parti tidak dirujuk ke atas gabungan parti, tetapi parti.


Seseorang wakil rakyat juga tertakluk kepada Perlembagaan partinya. Jika dia melanggar disiplin parti dan disebabkan itu keahlian tergugur, maka dia dianggap telah melompat parti. 


Sebaliknya jika dia dipecat, dia tidak dianggap lompat parti. 


Soal logo parti dalam PRU tidak menjadi isu dalam undang-undang lompat parti, tetapi keahlian hakiki calon yang bertanding. 


Jadi, apa sebenarnya status Langkah Sheraton? 


HAFIZ MANSOR – HARAKAHDAILY 31/10/2022


Sumber:


1. Kertas pindaan RUU Perlembagaan (Pindaan)(No.3) 2022 DR15/2022.


2. Hansard Dewan Rakyat 28 Julai 2022.


3. Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang RUU Perlembagaan (Pindaan)(No.3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti.


Sumber HAFIZ MANSOR