Desa HM
Kenapa Aliff Teega dan Aishah Hijanah direman SPRM? Kenapa bukan PDRM? Kenapa bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009?
Kenapa tak kesalahan tipu orang bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan? Jom kita selidik undang-undang.
Bab undang-undang ini, kalau perhati betul-betul memang menarik. Mengikut laporan media mereka berdua ditahan reman bagi siasatan bawah S.23 Akta SPRM.
Jadi kita semua tahu, tahanan reman bukanlah hukuman penjara kerana didapati bersalah. Reman adalah antara proses paling awal lagi. Belum tuduh atau didakwa di mahkamah pun. Mereka ditahan untuk siasatan.
Kenapa Seksyen 23 bawah SPRM pula tu? Kita lihat dulu apa kesalahan Seksyen 23 ini iaitu kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan.
Maknanya gunakan kedudukan atau jawatan contoh pangkat, profesion atau kedudukan untuk dapat suapan. Suapan tu apa? Suapan ini dijelaskan secara terperinci dalam Seksyen 3 tafsiran akta yang sama bermaksud wang, derma,fi, hadiah.
Itu antara maksud suapan. Banyak lagi maksud suapan, lihat gambar di bawah juga. Jadi jelas kesalahan Seksyen 23 ini adalah mereka yang menggunakan jawatan atau kedudukan yang mendapat suapan atau habuan.
Seterusnya Seksyen 23(1) memperuntukkan mana-mana adalah menjadi kesalahan bagi mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan dan kedudukan untuk suapan sama ada tak kiralah untuk diri sendiri, saudara atau sekutu.
Jadi di sini timbul isu apa itu pegawai badan awam? Penjawat awam ke? Pengawai Kerajaan ke? Macam mana pula Aishah dan Alif ini jadi penjawat atau pegawai awam? Takkan main pakai sebat reman? Majistret pula benarkan reman sehingga 4 hari? Game apa ni?
Waktu permohonan reman oleh SPRM, peguam mana-mana suspek boleh membantah reman. Antara alasannya, tak ada keperluan tahan, boleh je siasat tanpa ditahan. Suspek akan bagi kerjasama.
Kenapa perlu tempoh yang lama? Apa proses yang hendak diambil? Suspek tidak melakukan kesalahan berdasarkan Seksyen yang disiasat. Ini antara alasan-alasannya untuk membantah reman.
Tapi dalam kes ini, Majistret tetap membenarkan 4 hari tahanan reman terhadap mereka berdua. Bermakna ada asas untuk siasatan. Jadi saya pun selidiklah tentang undang-undang S.23 Akta SPRM ini.
Seksyen 23 ini, tentang mana-mana pegawai badan awam. Perkataannya pegawai badan awam tau, bukan penjawat awam atau bukan juga pegawai am kerajaan.
Jadi nak tahu siapa pegawai badan awam ini, kenalah rujuk maksud yang diberikan dalam Seksyen 3 tafsiran akta yang sama.
Pegawai badan awam ini, antaranya bermaksud anggota, pegawai, pekerja (nanti rujuk senarai lain dalam gambar) “dan mana-mana orang yang menerima apa-apa saraan daripada orang awam”.
Jadi bila tulis dan mana-mana orang ini membawa maksud tak semestinya pegawai awam atau anggota. Boleh jadi mana-mana orang yang terima saraan dari wang awam iaitu dana awam. Boleh jadi kita yang terima suapan melalui dana awam. Boleh jadi Aishah, boleh jadi Alif. Itu maksud mana-mana orang.
Bawah Seksyen ini juga kata, suapan yang dia dapat tu, boleh jadi diambil untuk diri dia sendiri atau saudara maranya atau sekufunya. Kalau orang bagi alasan, ya saya kutip tetapi suapan bukan untuk saya tetapi untuk orang lain.
Makanya kita pergi lihat siapa maksud sekutu bawah tafsiran Seksyen 3, sekutu adalah sama ada penama, pekerja atau organisasi. Jadi tak kisahlah suapan akibat kedudukan atau jawatan untuk kita atau orang lain tetaplah kesalahan bawah Seksyen ini.
Jadi celah mana sekalipun kalau saya selidik dan saya kaji dari segi kedudukan undang-undang. Ada elemen kesalahannya contoh Jawatan atau kedudukan-Fi-Hadiah-Wang-Derma-Saraan daripada wang awam-sama ada diri sendiri atau sekutu.
Begitulah setakat elemen kesalahan undang-undang dan akan ditentukan di mahkamah itu nanti. Benar atau tidak mereka melakukan kesalahan bawah Seksyen ini? Kita tunggu.
Isu berkaitan dengan dana awam ini, sekian hari semakin menjadi-jadi. Dulu hendak scam orang, tidak buat dalam skala besar begini tetapi sekarang ini makin menjadi-jadi.
Bila saya selalu follow dan baca muatnaik dalam PW Community ini, saya jadi peka bab-bab scam begini. Tambah pula semakin menjadi-jadi sekarang. Buat secara besar-besaran dan terang-terangan.
Mangsanya kita, mak ayah kita, keluarga kita, orang sekeliling. Kesian ditipu duit pencen atau duit simpanan . Mereka pun tak nikmati hasil simpanan sendiri.
Bab perlaksanaan undang-undang kutipan awam ini pula pada saya masih ‘baby step’. Tak tegas dan tak serius. Jarang kita dengar ada pendakwaan, apa entah lagi jika dana awam dikutip oleh orang ternama, jarang orang berani sentuh.
Saya harap selepas ini, undang-undang tambah lagi tegas! Elakkan kami ramai-ramai jadi mangsa.
Oleh Nor Zabetha