Semakin ramai orang akan menilainya..


Abu Mishkat


Sebuah negara yang bebas dan demokratik membenarkan hujah melawan hujah, sebelum rakyat dapat melihat mana yang gagah, mana yang patah. 


Survival negara yang demokratik mesti dijamin dengan ruang bicara terbuka untuk semua. Ia tidak harus diserahkan sahaja kepada mullah ayatollah yang punyai ramai penyokong mengetik LIKE


Cikgu Amidi. 


.Membalas tulisan SS Mufti Perlis yang berkaitan isu video YBM Pendidikan.


1. Saya menjangka isu ini akan ditamatkan apabila SS Mufti WP mengeluarkan pandangannya yang dilihat sebagai ikhtiar untuk menyejukkan keadaan. Namun SS Mufti Perlis tidak menghargai usaha tersebut walaupun jelas ia berada pada ruang lingkup perkara khilafiah, yakni yang membenarkan perbezaan pandangan.


2. Dalam tulisan beliau jelas tiada sebarang usaha tabayyun yang diambil malah mendedahkan lagi kekeliruan kefahaman beliau terhadap konteks pertuturan YBM Pendidikan.


3. Beliau menyatakan ini adalah usaha dakwah atas jalan al-amru na bil ma'aruf wan nahyu a'ni l-mungkar, walaupun konteks yang dipetik tidak tepat dan tersasar daripada yang sepatutnya.


4. Beliau memperluaskan skop perbincangan dgn mengaitkannya kepada fenomena Islamafobia apabila ada perkataan -perkataan yang diharamkan kerana akur dan tunduk kepada selera musuh Islam seperti kalimah 'jihad'. Beliau juga menggelar YBM Pendidikan sebagai penaja kepada kempen tidak memanggil orang bukan Islam sebagai 'kafir'.


5. Dari mana punca kefahaman bahawa YBM menaja kempen 'anti kalimah kafir' tidak pula saya ketahui. Kenyataan ini boleh dilihat sebagai usaha memburukkan lagi imej YBM.


6. Saya ingin mengangkat isu ini dalam konteks yang sebenar setelah saya bertemu bagi mendapatkan penjelasan daripada Menteri sendiri.

 

7. Latar belakang 'pengharaman' perkataan 'kafir' di rumah beliau seperti yang disebut dalam video tersebut, adalah kesan kempen pilihanraya umum pada 2022 yang lalu.


8. Anaknya menyatakan bahawa 'kerja mama sekarang tidak berkat kerana mama bekerja dengan orang kafir'. Maksudnya kerajaan MADANI yang dibentuk pada hari ini adalah kerajaan kafir.


9. Inilah yang cuba dibetulkan oleh seorang ibu. Sebab itu diulas pada kalam yang selanjutnya berkaitan kewarganegaraan, undi dan pilihanraya.


10. Pada pandangan saya, kekeliruan inilah yang sepatutnya menjadi topik perbincangan oleh seseorang yang berstatus mufti. 


11. Apabila beliau termakan umpan yang dimainkan seorang ahli politik picisan yang berseberangan dgn YBM ia menunjukkan kelemahan dalam kaedah membuat pertimbangan yang wajar.


12. Beliau juga mengkritik teman-teman yang membawa hujah al-Qaradhawi dalam hal ini sebagai mereka yang menyalahgunakan hujah atau berhujah di luar konteks. Sebenarnya Dr. Asri yang hilang pedoman dalam mempertahankan pendiriannya. Hujah al-Qaradhawi jelas mengusulkan kalimah 'ghayr muslim' (non muslim) digunakan dgn tujuan mendekati dan melunakkan mereka dengan agama Islam. Bukan seperti yang didakwa bahawa sesiapa yang tidak bersetuju dgn pandangannya (Dr. Asri) adalah mereka yang mahu mengharamkan semua karya al-Qaradhawi yang tertulis perkataan 'kafir' dan seumpamanya. Jelas sekali beliau (Dr. Asri) gagal memahami hujah yang dibawakan oleh teman-temannya.


13. Dalam perenggan 12 tulisannya, beliau mencadangkan penyelesaian, iaitu YBM memperbetulkan ucapan. Namun saya juga ingin mencadangkan agar beliau mengambil langkah tabayyun terlebih dahulu, menyelidiki dgn teliti sesuai dengan sifat dan sikap seorang mufti.


14. Saya tidak bersetuju dengan pandangan seorang teman saya yang menggelar Dr. Asri sebagai Mufti Belum Mumaiyiz (MBM). Namun setelah insiden ini saya rasa ada keperluan untuk saya mempertimbangkan semula rasional gelaran tersebut.


Hj. Amidi bin Abdul Manan,

Pengarah,

Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama,

Parti Keadilan Rakyat Malaysia.


3 April 2024.





No comments: