Keselamatan Sistem PADU Teruji, Dijamin Kukuh


 

Oleh: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil



ULASAN: Kerajaan MADANI telah mengambil langkah berani dengan memperkenalkan sistem Pangkalan Data Utama (PADU), sistem ini adalah pertama seumpamanya yang diperkenalkan oleh kerajaan yang memerintah Malaysia di mana sebelum ini data penduduk Malaysia disimpan secara berasingan sama ada oleh agensi peringkat Persekutuan atau peringkat Negeri.



Keadaan ini menyukarkan pentadbiran kerajaan untuk mengenalpasti secara tepat setiap penduduk Malaysia untuk dikategorikan dalam status sosial dan ekonomi. Ketiadaan sebuah pengkalan data utama yang merangkumi semua maklumat rakyat Malaysia juga menyukarkan pihak kerajaan untuk mengawal penyaluran subsidi secara tepat, seterusnya mengawal kadar hutang negara setiap tahun.



Negara lain perkenal awal



Malaysia bukanlah negara pertama yang memperkenalkan sistem seumpama PADU, negara lain di dunia lebih awal meneroka kaedah yang menghampiri PADU. Keselamatan PADU telah dijamin oleh YB Rafizi Ramli, Menteri Ekonomi melalui kenyataan bahawa keselamatan dan kerahsiaan maklumat dalam sistem PADU adalah terjamin daripada kebocoran dan diselenggara sepenuhnya oleh Jabatan Digital Negara (JDN). Sekiranya berlaku sebarang perkara tidak diingini jelasnya, PADU melalui Pasukan Tindak Balas Insiden Keselamatan Siber Sektor Awam (CSIRT) bersiap siaga melalui prosedur yang ditetapkan.



Wujud dakwaan oleh Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong bahawa Menteri Ekonomi tidak mengakui kesangsian rakyat Malaysia terhadap isu keselamatan dan kerahsiaan maklumat dalam sistem PADU. Kementerian Ekonomi tidak pernah menafikan kesangsian tersebut menjadi penghalang kepada sesetengah rakyat Malaysia untuk mendaftar maklumat di dalam sistem PADU.



Kesedaran Menteri Ekonomi berkenaan isu berkenaan telah menyebabkan beliau berulang kali memberi jaminan terhadap isu tersebut, malah Kerajaan MADANI melalui Kementerian Komunikasi turut memberi jaminan yang sama.



Taklimat berkenaan isu ini terpaksa diulang berkali-kali kerana ada sesetengah pemimpin dalam Kerajaan MADANI sendiri yang mengungkit-ungkit isu keselamatan dan kerahsiaan maklumat dalam sistem PADU.



Keselamatan PADU tidak diragui



Menteri Ekonomi telah mendedahkan wujud lebih dua juta cubaan bagi menembusi ciri keselamatan Pangkalan Data Utama (PADU) dibuat setiap hari, bagaimanapun setakat ini tiada pihak yang berjaya kerana ciri keselamatan sistem berkenaan mematuhi piawaian global, termasuk bagi komponen keselamatan rangkaian. Malah jika ada pihak yang berjaya mendapatkan data daripada sistem PADU sekalipun, data berkenaan tidak bermakna kerana ia telah melalui proses encryption.



Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong turut membangkit keperluan mewujudkan PADU sedangkan sistem e-Kasih boleh ditambahbaik, malah beliau menyatakan sangat bahaya meletakkan semua maklumat dalam satu sistem dan lebih baik biarkan maklumat rakyat Malaysia dikendalikan dalam keadaan semasa di mana ia berselerak dalam pengkalan data Persekutuan dan Negeri.



Kedangkalan pemikiran ini menyebabkan kerajaan gagal untuk menguruskan sumber negara dengan sebaik mungkin. PADU adalah tulang belakang kepada pelaksanaan Government Technology atau Govtech. Melalui penyatuan keseluruhan maklumat rakyat Malaysia dalam satu pengkalan data maka urusan kerajaan melalui pendigitalan menjadi lebih cekap, mudah dan canggih.



PMX yang menerajui Kerajaan MADANI telah menetapkan matlamat beliau di dalam buku yang bertajuk SCRIPT, PMX percaya bahawa bagi memastikan kerajaan berjaya melalui zaman pasca-pandemik maka pentadbiran kerajaan tidak boleh mengamalkan pegangan business as usual. Pentadbiran pada zaman MADANI perlu berbeza dari segi aplikasi digital, justeru pengenalan PADU adalah usaha ke arah pentadbiran yang berbeza dan jauh lebih efisyen.

________________________________________________________________________________

Penulis merupakan Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Selangor

 

No comments: