CEPAT, CEPAT, CEPAT…KALAU NAK LOMPAT, LOMPATLAH SEBELUM 3 MAC!!

 


Parti Bersatu dijangka akan mengadakan perhimpunan agung khas pada 3 Mac ini.

Perhimpunan agung khas itu diadakan bertujuan untuk meminda perlembagaan susulun tindakan enam Ahli Parlimennya setakat ini yang memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Enam Ahli Parlimen Bersatu yang tampil menyokong Anwar tetapi masih ingin bersama parti itu ialah Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Berikutan wujudnya kelompangan dalam akta lompat parti, tindakan enam Ahli Parlimen berkenaan tidak menyebabkan kedudukannya mereka sebagai Ahli Parlimen tergugur.

Sekadar memberi sokongan kepada Perdana Menteri tetapi mengumumkan kekal dalam Bersatu, tidak menjejaskan kedudukan mereka sebagai Ahli Parlimen.

Kedudukan seseorang Ahli Parlimen hanya akan tergugur jika mereka melompat menyertai parti lain.

Dalam hal tersebut, tindakan maksimum yang boleh diambil hanyalah menggantung keahlian enam Ahli Parlimen tersebut.

Jika parti memecat mereka, hanya keahlian sebagai ahli parti yang hilang, tetapi kedudukan sebagai Ahli Parlimen terus dikekal dalam genggaman dan ini sudah tentu merugikan Bersatu.

Untuk menyekat keadaan tidak sihat itu daripada terus berlaku, itulah yang menyebabkan Bersatu pada mesyuarat MPT pada Isnin, 12 Februari lalu memutuskan agar diadakan mesyuarat agung khas pada 3 Mac depan bagi meminda perlembagaannya.

Pindaan itu bagi memastikan Ahli Parlimen Bersatu yang bertindak memberi sokongan kepada pihak lawan, sebagaimana dilakukan enam Ahli Parlimen berkaitan, kedudukan mereka sebagai Ahli Parlimen akan tergugur secara automatik, sekaligus membolehkan pilihan raya kecil diadakan.

Ertinya, selepas 3 Mac ini, Ahli Parlimen Bersatu tidak boleh lagi sesuka hati mengumumkan sokongan terbuka kepada Perdana Menteri dan kerajaan, atas apa sebab sekali pun – mahu peruntukan, mengintai projek mahu pun jawatan dalam kerajaan.

Jika berbuat demikian juga, terkorbanlah kedudukan mereka sebagai Ahli Parlimen dan suatu pilihan raya kecil perlu diadakan.

Pada 6 Januari lalu, Syed Abu Hussin, Ahli Parlimen Bukit Gantang yang semacam melantik dirinya sendiri sebagai jurucakap kumpulan pelompat itu mendedahkan, terdapat tujuh atau lapan lagi Ahli Parlimen Bersatu akan tampil memberi sokongan kepada Anwar dalam waktu terdekat ini.

Kemudian, pada 26 Januari pula, beliau berkata, ada sepuluh lagi Ahli Parlimen Bersatu akan berbuat demikian.

Ehhh…mana satu jumlah yang betul YB?

Tetapi, tak kisahlah berapa jumlahnya – tujuh, lapan, sepuluh atau apa angka sekali pun – pokoknya bila lagi?

Cepat, cepat, cepat…kalau nak melompat, melompatlah sebelum 3 Mac ini.

Selepas 3 Mac, kalau melompat juga, alamatnya semua akan masuk longkang – hilang jawatan, hilang kedudukan, hilang gelaran serta hilang segala gaji dan elaun.

Ingat tu Syed Hussin, nak lompat mesti sebelum 3 Mac depan. – ShahbudinHusin 15/02/2024.

 


No comments: