Fuuuuh ini sudah next level.
**************
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita Menara Ilham, sebuah bangunan komersial bernilai tinggi yang terletak di ibu negara menurut laporan media.
Bangunan pencakar langit itu dimiliki bekas menteri kewangan Daim Zainuddin, yang juga teman rapat bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.
Channel News Asia (CNA) memetik sumber yang rapat dengan Daim sebagai berkata tindakan menyita itu dilakukan hari ini.
Sumber berkata tindakan itu dibuat selepas tokoh korporat itu enggan mematuhi arahan SPRM untuk mengiytiharkan pegangan kewangan miliknya dan keluarganya.
Menurut CNA, tindakan itu sebahagian daripada siasatan antipengubahan wang haram yang bermula pada Mei lalu berkaitan transaksi korporat bernilai RM2.3 bilion pada November 1997.
Urusniaga itu melibatkan Renong Bhd dan United Engineers Malaysia Bhd (UEM).
Bagaimanapun, CNA melaporkan Daim enggan mengulas mengenai perkara itu.
Rakan rapat Daim juga dilaporkan berkata hartawan itu menerima arahan daripada SPRM pada penghujung Mei untuk mengisytiharkan pegangan kewangannya dan aset ahli keluarganya.
Namun Daim menolak permintaan tersebut dan sebaliknya menegaskan semasa disoal oleh pegawai SPRM bahawa dia tidak ada kena mengena dengan perjanjian Renong-UEM.
Daim menegaskan perjanjian korporat yang menyaksikan UEM memperoleh 33 peratus kepentingan dalam Renong, adalah semata-mata transaksi korporat antara syarikat yang ditadbir oleh pengurusan, lembaga pengarah dan pemegang saham masing-masing.
Daim, 81 juga dipercayai meminta lanjutan tempoh untuk memberikan butiran mengenai pegangan kewangannya.
Dia juga meminta SPRM mendedahkan sebab di sebalik petisyen pengisytiharan harta berkenaan, termasuk dakwaan dia disiasat kerana melakukan kesalahan.
Bagaimanapun, pada awal Disember, sumber dilaporkan berkata Daim dimaklumkan oleh SPRM bahawa tiada lagi lanjutan masa akan diberikan.
Berikutan siasatan pada Mei itu, SPRM memaklumkan suruhanjaya itu sedang menyiasat dakwaan penyelewengan dana awam bernilai lebih RM2.3 bilion.
Pada Jun lalu, agensi antirasuah itu memaklumkan telah membekukan lebih RM39 juta dalam akaun bank, termasuk milik bekas menteri kanan yang tidak didedahkan, dua ahli perniagaan bergelar 'Tan Sri' dan ahli keluarga mereka.
Daim pernah berkhidmat sebagai menteri kewangan sebanyak dua kali semasa kali pertama Mahathir memegang jawatan sebagai perdana menteri dari 1981-2003.
Dia juga pernah berkhidmat sebagai pengerusi majlis penasihat kerajaan ketika Mahathir menjadi perdana menteri sekali lagi pada 2018.