Dalam beberapa hari kebelakangan ini, terdapat dua fitnah yang berlegar di media sosial dan menjadi makanan enak bagi sesetengah netizen untuk menyebar dan memanjang-manjangkannya sebagai dosa percuma.
Tidak terkecuali turut ghairah melakukan dosa tersebut ialah mereka yang bergelar pemimpin dan beberapa individu yang agak dikenali dalam masyarakat.
Dua fitnah berkenaan ialah:-
Pertama, gambar isteri Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama isteri-isteri pemimpin dunia, termasuk isteri Perdana Menteri Israel, Sara Netanyahu.
Melalui gambar tersebut, kebetulan berlaku konflik perang sedang berlaku di Gaza ketika ini, adanya Wan Azizah dalam gambar bersama isteri Perdana Menteri Israel itu digambarkan kononnya beliau seolah-olah tidak menyokong perjuangan rakyat Pakestin.
Sehingga ada netizen yang menulis, kenapa Wan Azizah tidak mengelak untuk bergambar dengan Sara Netanyahu itu?
Kedua, video berkenaan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail ketika mendaftarkan perkahwinan pasangan bukan Islam sempena sambutan Hari Pendaftaran Negara semalam.
Video itu digambarkan dan diberi keterangan seolah-olah menunjukkan Saifuddin Nasution menjadi “jurunikah” untuk menikahkan pasangan bukan Islam.
Dalam hal ini, selain ramai yang memfitnah Saifuddin Nasution telah menjadi seorang “jurunikah” kepada bukan Islam, terdapat pula seorang yang dekat dengan PN meyebarkan video tersebut bersama keterangan yang mendakwa “inilah menteri yang tiada kerja yang kini telah menjadi jurunikah agama Hindu.”
Dalam kedua-dua kes, keghairahan mereka yang anti kerajaan menyebarkan gambar dan video berkenaan ternampak seperti tidak dapat dibendung lagi.
Tanpa melakukan tabayun atau menyemak fakta terlebih dahulu, mereka terus nenyebarkannya demi meraih manfaat politik dan untuk menyerang kerajaan yang ingin dijatuhkan.
Meskipun kemudoannya penjelasan telah diberikan, baik berkenaan gambar Dr Wan Azizah dengan isteri Perdana Menteri Israel dan video Saifuddin Nasution, hakikatnya fitnah telah pun lebih dulu tersebar luas dengan meluasnya.
Berkaitan gambar Dr Wan Azizah, ia diperjelaslan bahawa itu adalah gambar ketika isteri-isteri ketua kerajaan diraikan oleh isteri Presiden AS sewaktu sidang UNGA PBB pada 21 September lalu.
Ketika gambar itu diambil, konflik perang di Gaza belum lagi meletus dan dengan itu, mengaitkannya seperti Isteri Perdana Menteri tidak sentitif dengan konflik di Palestin adalah suatu fitnah yang terang lagi nyata.
Begitu juga dengan video Saifuddin Nasution mendaftarkan perkahwinan pasangan bukan Islam, selain ia bukanlah ritual agama dan tidak menjadi jurunikah. beliau selaku Menteri Dalam Negeri sebenarnya memang diberi kuasa berbuat demikian.
Selain penjelasan dan ada laporan polis turut dibuat, agak menyedihkan kerana mereka yang menyebarkan fitnah berhubung kedua-dua kes langsung tidak diambil tindakan.
Pemfitnah itu juga, meskipun setelah penjelasan diberrkan, selain tidak memadam hantaran mereka, juga tifak meminta maaf atas kesalahan dan dosa yang telah dilakukan.
Dengan itu, ada kemungkinan di lain masa mereka akan terus menyebarkan perkara-perkara tidak sahih dan menyebarkan fitnah, bahkan tidak menimbulkan ketakutan kepada sesiapa juga untuk melakulan hal yang sama.
Akhirnya, apa jadi kepada negara ini?
Dalam hal ini, sudah sampai masanya untuk pihak kerajaan, khususnya PDRM dan SKMM, untuk segera bertindak tegas terhadap mereka yang mempunyai kegemaran melakukan firnah di media sosial itu.
Lagi pun, selain dua kes di atas, sebelum ini banyak juga fitnah-fitnah lain turut bertebaran.
Tidak kira waima selepas penjelasan diberikan sekali pun, kes tidak patut dianggap sudah selesai.
Mereka yang sebelum itu telah menyebarkan firnah mesti diambil tindakan tegas.
Tangkap, siasat dan kemudian dakwalah mereka yang terbabit mengikut perlbagai peruntukan undang-undang sedia ada.
Dua tiga kali kena tangkap, disiasat dan didakwa di mahkamah,- percayalah - pasti taubat mereka untuk terus jadi jahat. – ShahbudinHusin 26/10/2023.
https://shahbudindotcom.net/2023/10/26/kaki-fitnah-patut-segera-diambil-tindakan-jangan-dibiarkan-lepas-begitu-saja.html