Anwar sampaikan khutbah Jumaat di masjid Pusat Kebudayaan Islam New York



NEW YORK: Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan khutbah solat Jumaat di masjid Pusat Kebudayaan Islam New York (ICCNY) pada Jumaat ini.


Perdana Menteri adalah pemimpin negara luar pertama diberikan penghormatan menyampaikan khutbah di masjid ICCN yang bersejarah, iaitu masjid pertama dibuka di kota New York pada 25 September 1995 yang turut menempatkan ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).


Jemputan menyampaikan khutbah itu dimaklumkan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ketika sidang media bersama wartawan Malaysia di Pejabat Wakil Tetap Malaysia di sini petang semalam.


ICCNY adalah sebuah organisasi agama dan budaya Islam yang ditubuhkan pada awal tahun 1960-an. Rancangan asal pusat ini adalah menjadi institusi Muslim yang terdiri daripada sebuah masjid, sekolah, perpustakaan, dewan ceramah, muzium, dan rumah untuk Imam.


Objektifnya termasuk melayani komuniti Muslim di Manhattan khususnya dan keseluruhan komuniti Muslim Amerika secara umum.


Antaranya, untuk keperluan keagamaan mereka dan menyediakan tempat ibadah, kelas untuk membantu mereka dan anak-anak mempelajari pengetahuan terperinci tentang agama mereka, Islam dan mencerahkan pendapat awam Amerika Syarikat dengan pengetahuan sebenar mengenai Islam.


Dr Zambry berkata, Perdana Menteri akan berada di sini pada 20 hingga 23 September untuk menghadiri Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-78.


Beliau diiringi isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengk Abdul Aziz; Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa; Speaker Dewan Undangan Negeri, Timbalan Ketua Menteri dan Ahli Parlimen serta pegawai kanan kerajaan dari kementerian yang berkaitan.


No comments: