Anwar arah cetak sejuta al-Quran, reaksi tindakan biadab Paludan



ANWAR Ibrahim ketika melawat operasi pencetakan al-Quran di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya bersempena Festival Seni Al-Quran Restu Global. - UTUSAN/IQBAL ROSLI


Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR


28 Januari 2023, 5:02 pm


PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan serta-merta operasi mencetak sejuta al-Quran untuk diedarkan ke seluruh dunia sebagai reaksi balas kepada tindakan biadab membakar al-Quran di Sweden, baru-baru ini.

Menurutnya, proses cetakan sejuta al-Quran itu akan dilaksanakan Yayasan Restu di Kompleks Nasyrul Quran di Presint 14, di sini bermula hari ini.


“Dia (ahli politik Sweden-Denmark, Rasmus Paludan) bakar satu al-Quran, tapi Insya-Allah melalui Yayasan Restu kita akan berusaha secara berperingkat untuk mengeluarkan satu juta al-Quran.


“Saya setuju bahawa cara paling berfaedah untuk menjawab kerja-kerja gila dan biadab ini adalah dengan meneruskan usaha yang sudah dimulakan dan bertekad dalam masa singkat secara berperingkat untuk mencetak dan mengedar satu juta al-Quran ke seluruh dunia.


“Itu jawapan terbaik bagi menghadapi kegilaan orang ini. Insya-Allah, al-Quran ini bukan sahaja diedar untuk bacaan tetapi dijadikan bahan untuk dihayati,” katanya ketika ditemui selepas melawat operasi pencetakan al-Quran di Kompleks Nasyrul Quran di sini bersempena Festival Seni Al-Quran Restu Global.


Katanya, Malaysia serta kerajaan Islam dan dunia Islam membantah keras kegilaan manusia dan haiwan ini yang sanggup membakar kitab suci.


Anwar berkata, kerajaan sudah pun memanggil duta Sweden di Malaysia bagi menyampaikan suara bantahan rakyat Malaysia terhadap tindakan biadab itu.

Mengulas lanjut mengenai cetakan sejuta al-Quran itu, Anwar berkata, kos percetakan itu akan ditanggung kerajaan dan sumbangan wakaf oleh orang awam.


Menurutnya, kerajaan juga akan menghubungi negara-negara Islam lain bagi menyelaras pengedaran al-Quran itu nanti.


Hari ini, Kementerian Kewangan (MOF) juga menyerahkan sumbangan sebanyak RM2 juta kepada Kompleks Nasyrul Quran bagi melancarkan operasi pencetakan itu,” katanya.


Terdahulu, Anwar turut melancarkan Festival Seni Al-Quran Restu Global (RGQAF), pameran buku terbesar dunia (Haza Muhammad) dan Lembaran Bersejarah Yayasan Restu yang berlangsung di Kompleks Nasyrul Quran, di sini bermula 20 Januari lalu dan berakhir esok. – UTUSAN



No comments: