ISYARAT KEMENANGAN ANWAR SEMAKIN JELAS LAGI NYATA

 

Bekas Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul dipilih sebagai Speaker Parlimen yang baru menggantikan Azhar Azizan Harun.

Dalam undian sulit yang diadakan pagi ini, beliau memperolehi 147 undi menewaskan pencabarnya daripada PN, Radzi Sheikh Ahmad yang sekadar memperolehi 74 undi.

Undi 147 yang diperolehi Johari itu kurang 1 daripada 148 yang sepatutnya mengikut jumlah Ahli Parlimen parti-parti yang bersetuju membentuk kerajaan perpaduan.

Kekurangan itu adalah disebabkan kelewatan Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Mukah, Hanifah Hajar Taib daripada menghadiri majlis angkat sumpah, lalu terlepas peluang untuk mengundi.

Apa yang pasti, dengan kemenangan Johari terpilih sebagai Speaker Parlimen, ini adalah isyarat jelas bahawa Anwar Ibrahim juga bakal memperolehi laluan cerah untuk memenangi usul undi percaya pada sebelah petang nanti.

Jika sebelum ini masih ramai yang sangsi sama ada Anwar mampu melepasi undian usul percaya itu atau sebalknya, kemenangan Johari tadi setidak-tidaknya telah memadam segala keraguan tersebut.

Tidak diragukan lagi, kecuali jika ada Ahli Parlimen yang belot dan tidak setia kepada keputusan parti di saat-saat akhir, Anwar hampir pasti akan memperolehi 148 undi.

Dengan sokongan 148 undi itu nanti, bererti kerajaan perpaduan pimpinan beliau adalah cukup stabil kerana disokong oleh dua pertiga Ahli-Ahli Parlimen.

Semoga semuanya berjalan lancar petang nanti.- ShahbudinHusin 19/12/2022.



No comments: