AMARAN KERAS KEPADA PN – JANGAN GANGGU ANWAR TADBIR NEGARA SEHINGGA 2027!!


Perdana Menteri, Anwar Ibrahim akhirnya berjaya memenangi usul undi percaya di Parlimen melalui undian suara yang jelas lebih nyaring kedengaran bersetuju berbanding tidak setuju.

Dengan keadaan tersebut, kerajaan perpaduan pimpinan Pengerusi PH itu kini sah mempunyai sokongan majoriti yang mutlak, bukan setakat disokong oleh dua pertiga daripada Ahli-Ahli Parlimen, malah lebih daripada itu lagi.

Ini kerana, tidak mustahil ada daripada kalangan 74 Ahli Parlimen PN yang dikenali sebagai blok pembangkang turut sama bersuara bersetuju memberi sokongan dalam undian suara yang dijalankan itu.

Malah, undi secara undian suara yang langsung tidak dibantah oleh blok pembangkang yang bukan saja memberi petunjuk mereka tidak yakin menang jika undi belah bahagi atau undi sulit dijalanlan, malah turut memberi gambaran Anwar sebagai Perdana Menteri memang memiliki sokongan yang kukuh dan meyakinkan daripada parti-parti yang bersetuju membentuk kerajaan perpaduan.

Kali terakhir kerajaan mempunyai sokongan dua pertiga di Parlimen ialah pada tahun 2004 di mana Tun Abdullah Badawi ketika itu berjaya memenangi PRU11 dengan jumlah kemenangan sebanyak 198 kerusi Parlimen.

Tetapi, apabila BN mula hilang majoriti dua pertiga pada PRU tahun 2008 kemudiannya dengan hanya memenangi 140 kerusi, sejak itu tiada mana-mana kerajaan lagi berjaya melepasi garisan tersebut.

Melalui undian suara yang tidak dibantah itu dan boleh ditafsirkan lebih besar daripada dua pertiga itu, keabsahan dan keraguan terhadap kerajaan diterajui Anwar kini tidak timbul lagi.

Dalam masa yang sama, dengan memilih bersetuju dengan undian suara dan sebelum itu Shahidan Kassim turut menyarankan agar PN tidak melibatkan diri dalam pengundian atas alasan kerajaan sudah pun terbentuk dengan perkenan Yang Dipertuan Agong, PN dengan sendirinya dapat menyelamatkan air mukanya daripada menerima malu buat kali kedua.

Dalam pemilihan Speaker Parlimen pada pagi tadi, Johari Abdul berjaya memenangi jawatan tersebut dengan memperolehi 147 undi berbanding Radzi Sheikh Ahmad sebanyak 74 undi.

Kalau undian sulit atau belah bahagi dijalankan dalam usul percaya, Anwar dijangka akan memperolehi 148 undi setelah pada sebelah pagi, Ahli Parlimen Mukah, Hanifah Hajar Taib yang dipercayai kurang sihat telah terlewat sampai ke Parlimen, lalu terlepas untuk mengundi.

Jika tidak, dua kalilah jadinya PN tewas dalam pengundian yang kekalahan mereka itu bukan saja disaksikan manusia di bumi, tetapi juga malaikat di langit.

Dengan sokongan dan keabsahan majoriti yang dimiliki Anwar selaku Perdana Menteri melalui usul percaya itu, beliau kini berhak memimpin kerajaan perpaduan tanpa gangguan sehingga PRU16 pada tahun 2027 akan datang.

Blok pembangkang jangan lagi cuba-cuba mahu mempertikaikan sokongan yang dimilikinya, lebih terlarang jika ada niat mahu memanjat dinding untuk menebuk atap bagi meruntuhkan kerajaan.

Anwar bersama kerajaan dan barisan menteri yang dilantiknya hendaklah diberi ruang memimpin negara sebaik mungkin dengan fokus utama memulihkan ekonomi dan memberi kesejahteraan kepada rakyat.

Blok pembangkang dengan Hamzah Zainuddin dilantik sebagai Ketua Pembangkang haruslah fokus membina diri menjadi pembangkang yang berwibawa dengan tujuan melakukan semak dan imbang serta membawa suara suara rakyat ke pentas Parlimen untuk dibela melalui batas-batas sedia ada.

Bermain politik untuk jatuh menjatuh dan menukar kerajaan wajib disimpan dengan diikat ketat di dalam almari buat sementara waktu.

Kalau mahu menukar kerajaan dan menjatuhkan Perdana Menteri selepas ini, medan yang tersedia ialah PRU16 pada tahun 2027 nanti.

Sebelum tahun 2027, adalah haram mengganggu dan menggugat kedudukan Anwar bersama kerajaannnya yang setelah diperkenankan pembentukannya oleh Yang Dipertuan Agong, kini secara rasmi telah dimutlakkan keabsahan majoritinya melebihi dua pertiga di Parlimen yang mulia. – ShahbudinHusin 19/12/2022.


No comments: