Program Intervensi Ehsan: Selangor bekal 10 ribu ayam sehari ke pasaran

 


Kerajaan Negeri akan membekalkan ke pasaran 10,000 ekor ayam bulat sehari bagi menangani kekurangan bekalan dan kenaikan harga di seluruh negeri.



Menurut Menteri Besar (MB) Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, bekalan ayam segar kepada penduduk itu dilaksanakan di bawah Program Intervensi Ehsan.



"Kerajaan Negeri akan membekalkan 10,000 ekor ayam sehari menerusi Program Intervensi Ehsan bagi menampung permintaan ayam di pasaran bermula 1 Jun ini," katanya dalam kenyataan.



Selain itu, program tersebut yang bermula sejak Februari 2022 lalu telah berjaya menjual daging, ikan, minyak paket, telur dan sayuran lebih murah daripada harga pasaran sehingga Hari Raya Aidilfitri lalu.



"Program yang dijenamakan sebagai Jualan Prihatin Rakyat telah menjelajah seluruh 56 DUN Selangor agar semua rakyat dapat menikmatinya. Lebih RM3 juta jualan terhasil dan ketika jualan mega sempena Aidilfitri, lebih RM700 ribu terjual.



"Program ini bukan sahaja meringankan beban rakyat, malah menambah kegembiraan menyambut Aidilfitri baru-baru ini.

"Dengan tekad dan iltizam yang kuat, Kerajaan Negeri akan berikhtiar sebaiknya demi rakyat Selangor," kata MB lagi.



Bekalan bahan mentah makanan dalam program ini diambil daripada ladang Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor atau dibeli secara borong daripada petani dan penternak seluruh negeri.

 


No comments: