Pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa
terdapat penyelewengan dan salah guna kuasa dalam agihan bantuan serta pakej
rangsangan ekonomi ketika pandemik Covid 19 melanda negara harus disiasat
sesegera mungkin.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor, Syed
Ibrahim Syed Noh, salah guna kuasa sewaktu negara menghadapi malapetaka amat
tidak boleh diterima dan SPRM perlu membongkar jenayah tersebut sehingga ke
akar umbi.
Katanya, sewaktu peruntukan kecemasan Covid 19 dibahaskan di
Parlimen pihak Pakatan Harapan telah mengingatkan mengenai ketelusan, terutama
dalam proses pemerolehan serta agihan. Namun hal tidak diingini itu tetap juga
berlaku.
"Masa kes Covid 19 meningkat kita sudah sebut antara perkara
penting sebelum kita luluskan bajet Covid mestilah ada ketelusan. Semak dan
imbang untuk pastikan tak ada ketirisan dan penyelewengan.
"Sekarang jika benar apa yang didedahkan, maknanya ini
seperti yang telah kita jangkakan.
"Jadi apa yang ditegur, diperingatkan, sekarang baru timbul.
Semestinya pihak SPRM telus supaya sesiapa jua yang terlibat didedahkan dan
diambil tindakan tegas," katanya.
Mengenai saranan pemimpin DAP agar SPRM mendedahkan pihak mana
atau nama individu yang disiasat oleh SPRM, Syed Ibrahim menyokongnya.
Tegas beliau, hal itu perlu dilakukan memandangkan pihak terlibat
mengambil kesempatan di atas penderitaan rakyat.
"DAP minta SPRM dedah nama yang disiasat kerana SPRM pernah
dedah nama hakim yang mereka siasat.
"Kita mahu pendedahan ini (dilakukan) dan tidak mahu ia
disenyapkan," katanya lagi.
Kelmarin, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mendedahkan
berlaku penipuan berkaitan pemerolehan peralatan perlindungan perubatan yang
dipalsukan (topeng muka, sarung tangan dan lain-lain) dari segi kuantiti dan
kualiti peralatan yang dibekalkan lebih rendah daripada sepatutnya.
Beliau juga berkata, SPRM turut menyiasat aktiviti rasuah
membabitkan pegawai penguat kuasa dalam barisan pasukan penguat kuasa ketika
Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.