Oleh: Hassan Abdul Karim
ULASAN: Di dalam Kamus Dewan terbitan tahun 1970, biduk adalah perahu
untuk menangkap ikan atau mengangkut barang di sungai.
Manakala peribahasa, “biduk lalu kiambang bertaut” bermaksud lebih
baik jangan dicampuri perselisihan orang yang bersanak saudara kerana akhirnya
mereka akan berbaik balik.
Maka begitulah relevannya peribahasa ini dengan proses pemilihan
Parti Keadilan Rakyat yang sedang berlangsung sekarang.
Proses pemilihan pimpinan KEADILAN yang mesti diadakan setiap tiga
tahun sekali di bawah Fasal 47.3 Perlembagaan Parti KEADILAN bolehlah dianggap
sebagai “biduk”. Manakala “kiambang” adalah tumbuhan yang hidup terapung di
permukaan air sungai adalah diibaratkan sebagai lebih sejuta anggota KEADILAN
di seluruh negara.
Pemilihan kepimpinan KEADILAN ini menarik minat masyarakat
Malaysia. Hal itu tidak menghairankan atas banyak sebab. Pertama, KEADILAN
adalah parti pelbagai kaum dan pelbagai agama. Kedua, KEADILAN dipimpin oleh
Anwar Ibrahim, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan juga Ketua Pembangkang
Parlimen Malaysia dan sebab Ketiga, KEADILAN mempunyai anggota yang ramai,
melebihi sejuta orang dan satu-satunya parti politik Malaysia yang mempunyai
cabang atau bahagian di semua 222 buah kawasan Parlimen di seluruh Malaysia.
Tegasnya KEADILAN adalah parti berstatus nasional, bukannya parti
yang bersifat wilayah.
Pemilihan timbulkan perpecahan?
Ada pihak berasa bimbang pemilihan KEADILAN sekarang ini akan
menimbulkan perpecahan. Kebimbangan itu agak berlebih-lebihan sebenarnya.
Jawatan presiden telah dimenangi oleh Anwar Ibrahim tanpa bertanding. Ertinya
kedudukan Anwar tidak dicabar di dalam pemilihan kali ini. Ini adalah kali
kedua Anwar menang tidak bertanding dalam pemilihan sebagai Presiden KEADILAN.
Kali pertama dalam pemilihan tahun 2018. Anwar bukan sahaja presiden parti
tetapi beliau juga adalah penyatu yang menyatukan seluruh anggota parti selama
ini.
Tetapi tidak dinafikan, pertandingan yang agak sengit di peringkat
jawatan timbalan presiden dan naib presiden.
Namun pertandingan antara Saifudin Nasustion dengan Rafizi Ramli
tidak akan memecahkan KEADILAN. Pertembungan antara Saifudin dengan Rafizi
tidak melibatkan pertentangan ideologi. Ia hanya sekadar perbezaan strategi
iaitu berkisar pada persoalan bagaimana KEADILAN patut lakukan untuk menghadapi
Pilihan Raya Umum ke-15.
Siapapun yang menang jawatan timbalan presiden, ia akan membantu
Anwar Ibrahim sebagai presiden dan akan menguatkan KEADILAN itu sendiri. Anwar
sebagai seorang presiden dan seorang demokrat akan menerima siapa jua yang
dipilih oleh anggota parti untuk menjadi timbalan presiden.
Juga menarik perhatian masyarakat umum bahawa terdapat 17 orang
calon yang menawarkan diri bertanding bagi jawatan naib presiden untuk empat
kerusi naib presiden yang diperuntukkan dalam Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN.
Kesan positif pemilihan
Pemilihan kepimpinan KEADILAN pada tahun 2022 ini memberi kesan
yang amat positif. Sekarang masyarakat umum di seluruh negara melihat siapa
tokoh selain Anwar dalam KEADILAN. Siapa pemimpin pelapis. Siapa berada di
lapis kedua. Siapa berada di lapis ketiga hiraki kepimpinan
Pertandingan di peringkat Wanita KEADILAN dan Angkatan Muda
KEADILAN (AMK) juga hebat dan sengit. Ini membuktikan KEADILAN tidak kurang
bakat kepimpinan. Beribu orang anggota KEADILAN di seluruh negara sedang
menawarkan diri untuk bertanding pelbagai jawatan di dalam parti, dari
kepimpinan di Majlis Pimpinan Pusat sehinggalah ke peringkat akar umbi di
peringkat Jawatankuasa Cabang.
Jika KEADILAN dianggap sebagai satu organisma, maka ia adalah
organisma yang hidup subur, bergerak dan membiak aktif.
KEADILAN sekarang muncul lebih yakin dan berani berbanding Umno
dalam menghadapi pemilihan parti masing-masing. Di kala Presiden Umno, Ahmad
Zahid Hamidi berhempas pulas untuk mengatur strategi supaya pemilihan Umno
diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15, tetapi Presiden KEADILAN, Anwar
Ibrahim tidak bimbang akan kedudukannya dicabar dan tidak bimbang akan
perpecahan parti sekalipun pemilihan parti dilakukan sebelum PRU-15. Dalam hal
ini Anwar muncul bukan sahaja sebagai seorang demokrat yang percaya pada mandat
anggota, tetapi mencerminkan idealisme refomasi yang diperjuangkannya selama
ini.
Anwar mungkin faham dan menyedari peribahasa Melayu iaitu “biduk
lalu, kiambang bertaut”. Selepas proses pemilihan ini saf kepimpinan KEADILAN
akan lebih kompak dan bersatu. Sebagai pemimpin suatu jemaah, Anwar tidak boleh
gagal untuk mempastikan semua kiambang di permukaan sungai itu agar bertaut
semula.
Tiada 'bakar jambatan'
Persaingan antara Saifudin dan Rafizi tidaklah kelihatan tegang
dan sengit sehingga dilihat seperti "berkerat rotan" ataupun
"menang jadi arang, kalah jadi abu". Pertentangan antara Saifudin dan
Rafizi kali ini berbeza sifatnya jika dibandingkan pertandingan antara Azmin
Ali dan Rafizi Ramli empat tahun lalu, pada 2018.
Rafizi dan Saifudin kelihatan membawa pendekatan “gentlemen” dalam
persaingan antara mereka berdua. Penyokong masing-masing yang mungkin “lebih
sudu dari kuah”. Kedua-dua tokoh ini, Saifudin dan Rafizi kenal hati budi
masing-masing. Lalu mereka mendekati pertandingan merebut jawatan timbalan
presiden itu dengan pendekatan “air dicencang tidak akan putus”, bukannya
pendekatan “berkerat rotan, berpatah arang”.
Tidak ada “jambatan sesiapa dibakar” angkara pemilihan Parti
Keadilan kali ini. Pemilihan kepimpinan yang sedang berlangsung sekarang ini
adalah persaingan persahabatan dalam satu keluarga besar Keadilan yang
kedua-dua tokoh ini, Saifuddin Nasustion dan Rafizi Ramli ada saham besar dalam
membangunkan KEADILAN sehingga kuat dan berpengaruh seperti sekarang ini.
______________________________________________________________________________
Penulis merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang