‘Umno yang pemaaf’ dapat segerakan kejatuhan Bersatu, kata penganalisis

 

facebook sharing button 
twitter sharing button 
whatsapp sharing button 
email sharing button 

Tindakan Zuraida Kamaruddin meninggalkan Bersatu mencetuskan
 spekulasi bahawa Hamzah Zainudin akan dilantik sebagai timbalan
 perdana menteri.

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik percaya “Umno yang pemaaf” boleh menyegerakan kejatuhan Bersatu, di tengah-tengah spekulasi bahawa pemimpin Bersatu mungkin mengikut jejak ahli Majlis Pimpinan Tertingginya, Zuraida Kamaruddin meninggalkan parti.

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, jelas bahawa lebih ramai pemimpin Bersatu akan berusaha menyertai parti lain, terutamanya Umno.

“Saya tidak rasa semestinya kita akan lihat penghijrahan besar-besaran. Namun hakikatnya, Bersatu bukanlah tandingan Umno, jadi mereka yang ingin mengekalkan kerusi, terutamanya yang menang atas tiket Umno pada pilihan raya umum (PRU) lepas, akan mahu kembali.”

Pemergian Zuraida, walaupun dijangka, menonjolkan kelemahan Bersatu yang semakin meningkat, kata Azmi.

Ura-ura mengenai rombakan Jemaah Menteri, termasuk spekulasi bahawa Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin akan dilantik sebagai timbalan perdana menteri, tidak akan dapat banyak mengubah keadaan.

Azmi berkata, beliau ragu-ragu Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan menjadikan Hamzah timbalannya.

“Saya tidak nampak pemimpin dan akar umbi Umno menerimanya, memandangkan Hamzah dilihat memainkan peranan penting dalam usaha memusnahkan Umno sejak melompat parti pada 2018,” katanya kepada FMT.

Ismail tidak akan mahu melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan popularitinya, kata Azmi.

Beliau berkata, detik kejatuhan Bersatu bermula apabila penasihat Barisan Nasional Najib Razak mula “melancarkan perang” terhadap Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, ketika Muhyiddin menjadi perdana menteri dari Mac 2020 hingga Ogos 2021.

“Ia membawa kepada persepsi bahawa Muhyiddin, dan Bersatu, tidak boleh mentadbir negara. Sejak itu, segala-galanya merosot bagi mereka.”

Walaupun hubungan Umno dan Bersatu tidak akrab, beliau percaya Umno tidak akan menutup pintu kepada pemimpin Bersatu yang mahu menyertai mereka, termasuk mereka yang melompat parti selepas PRU 2018.

“Saya rasa Umno yakin dapat menumpaskan Bersatu pada PRU15, jadi saya agak motif untuk ‘memaafkan’ mereka yang melompat parti bukan untuk mengelak pertembungan (pada PRU15) tetapi untuk lebih melemahkan Bersatu,” katanya.

Felo Majlis Profesor Negara Jeniri Amir juga berkata, kemungkinan lebih ramai pemimpin Bersatu akan keluar parti.

Beliau berkata, wujud kekurangan keyakinan dan kepercayaan terhadap Bersatu, terutamanya selepas Muhyiddin kehilangan kuasa dan susulan pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor, yang menyaksikan prestasi buruk parti itu.

“Parti tiada masa depan,” kata Jeniri.

Bagaimanapun beliau ragu-ragu Umno akan menerima mereka yang meninggalkan parti kerana ia akan membawa kepada konflik, lebih-lebih lagi apabila pemimpin lain telah menunjukkan kebolehan mereka.

“Melainkan Umno boleh mencari jalan untuk memuaskan hati semua orang, tetapi itu lebih mudah diucapkan daripada dilakukan.”


No comments: