Panas! Mohd Amar akhirnya dedah punca sebenar Muafakat Nasional huru hara

 

Panas! Mohd Amar akhirnya dedah punca sebenar Muafakat Nasional huru hara


Pas mendedahkan agenda peribadi yang diperjuangkan oleh sesetengah pemimpin UMNO menjadi punca kerjasama antara dua parti itu menerusi Muafakat Nasional (MN) menjadi huru-hara.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, UMNO perlu segera menyelesaikan masalah tersebut bagi membolehkan kerjasama menerusi MN kembali ke landasan asal sebagaimana sebelum ini.

“Kita bukan menunggu kata putus UMNO dalam membuat keputusan (MN), tetapi Pas berharap pimpinan UMNO dapat berfikir semula untuk kepentingan ummah dan negara melalui kerjasama MN,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kelantan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini pada Khamis.

Beliau berkata, yang membuat keputusan untuk berpisah dengan MN ialah UMNO Kelantan.

Mohd Amar berkata, selain itu UMNO Terengganu antara kumpulan awal yang mahu melawan Pas di negeri berkenaan.

“Mursyidul Am (Datuk Hashim Jasin) sudah membuat kenyataan bahawa Pas dengan MN masih kekal.

“Sekarang ini masalah dalam UMNO (kenyataan berkait MN yang dilihat sering bercanggah) bukan daripada Pas,” katanya.

Menurutnya, Pas tidak pernah menutup pintu rundingan dengan mana-mana pihak asalkan meletakkan Islam dan Melayu sebagai tunjang utama.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada jemaah menteri untuk membuat keputusan berkait dengan undang-udang anti lompat parti.

“Saya difahamkan perkara itu melibatkan beberapa aspek teknikal.

Parti tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan, itu kita serah kepada kabinet.

“Secara dasarnya Pas setuju dengan undang-undang ini,” katanya.


No comments: