Zahid Hamidi bela diri terhadap 47 pertuduhan berkaitan dana Yayasan Akalbudi esok


Bernama
Zahid Hamidi bela diri terhadap 47 pertuduhan berkaitan dana Yayasan Akalbudi esok
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memilih untuk beri keterangan secara bersumpah dari tempat duduk saksi yang membolehkan pihak pendakwaan menyoal tertuduh semasa pemeriksaan balas. - Gambar fail BERNAMA
KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan menjawab 47 pertuduhan yang dihadapi beliau membabitkan pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi (YAB), esok.
Peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid, 69, semasa dihubungi berkata, anak guamnya akan menjadi saksi pembelaan pertama memberi keterangan esok.
Kes itu telah ditetapkan pada 9 pagi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Mahkamah sebelum ini menetapkan 39 hari untuk mendengar kes pembelaan, bermula pada 13 dan 15 April, 23-26 Mei, 27-30 Jun, 1, 4-7 Julai, 22, 23, 29 dan 30 Ogos, 19-22 Sept serta 26-29 Sept, 17-20 dan 31 Okt dan 1-3 dan 7-10 Nov.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari tempat duduk saksi yang membolehkan pihak pendakwaan menyoal tertuduh semasa pemeriksaan balas
Pada 24 Jan, Sequerah memerintahkan Ahmad Zahid Hamidi membela diri atas 12 pertuduhan CBT, lapan pertuduhan rasuah dan 27 untuk pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik yayasan itu, selepas mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Dalam penghakimannya, Sequerah berkata, pihak pendakwaan telah membuktikan semua unsur dalam kesemua pertuduhan dan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap tertuduh.
Perbicaraan bermula pada 18 Nov 2019.
Bagi pertuduhan CBT, Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi penggunaan kad kredit peribadinya, polisi insurans dan lesen kenderaan peribadinya, pemindahan wang ke firma guaman dan sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini, antara 13 Jan 2014 dan 23 Dis 2016. Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar, antara 15 Julai 2016, dan 15 Mac 2018. Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Ahmad Zahid juga berdepan dengan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di bank yang sama di Jalan Maarof, Bangsar dan Marhaba Enterprise Sdn Bhd, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang, di sini, antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018. - BERNAMA