Nurul Izzah tak tanding pemilihan PKR, mahu fokus tarik pengundi atas pagar



Nurul Izzah Anwar pada 2018 mengumumkan peletakan jawatan
 sebagai Naib Presiden PKR serta mengundurkan diri daripada
 pelantikannya sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar tidak akan bertanding bagi merebut enam jawatan tertinggi dalam pemilihan PKR
kali ini.

Bekas naib presiden PKR yang melepas jawatannya pada 17 Dis 2018 memaklumkan walaupun tidak bertanding merebut sebarang jawatan dalam pemilihan parti kali ini, beliau sebaliknya akan memberi tumpuan membantu parti menarik pengundi atas pagar.

“Seiring dengan komitmen penuh saya kepada usaha melindungi masa depan parti serta perjuangan yang kita kasihi – saya akan menumpukan sepenuh usaha dan perhatian kepada kempen memenangi hati pengundi atas pagar menerusi wadah Ayuh Malaysia.

“Meski, saya tidak terlihat di dalam pesta demokrasi parti, saya tetap mendokong rakan-rakan yang bertanding dengan penuh semangat setiakawan. Moga-moga PKR mampu membidani satu lapisan kepimpinan yang gah dan komited.

“Berikan saya ruang untuk memacu gerakan Ayuh Malaysia sepenuhnya. Titik pertemuannya adalah kejayaan kita meraih semula keyakinan rakyat yang telah banyak berkorban lalu menongkah badai sosioekonomi yang perit, lebih-lebih lagi selepas dilanda pandemik tetapi kecewa dengan kemelut politik negara,” katanya di Facebook.

Beliau turut mengulangi keputusan beliau meletak jawatan pada 2018 antara lain kecewa dengan pengkhianatan dalaman yang berlaku dalam PKR.

“Suara hati saya tuntas melahirkan penolakan kepada bahang khianat yang jelas dirasakan sebelum penggulingan kerajaan yang dipilih rakyat berlaku,” katanya merujuk kepada tumbangnya kerajaan PH selepas 22 bulan mentadbir Putrajaya susulan beberapa wakil rakyat termasuk PKR menarik sokongan dan keluar parti.

“Peletakan jawatan tersebut bukanlah titik noktah akhir perjuangan di dalam parti. Sebaliknya ianya merupakan langkah introspeksi mengingatkan semua, termasuk diri saya sendiri tentang kepentingan mengembalikan keyakinan rakyat kepada kita, serta kepimpinan parti kepada perjuangan asal reformasi,” katanya.

Nurul Izzah pada 2018 mengumumkan peletakan jawatan sebagai Naib Presiden PKR serta mengundurkan diri daripada pelantikannya sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang.


No comments: