Majlis Presiden PH gesa Azam, Abu Zahar dan Borhan Dolah direhatkan

 


Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa tiga individu berkaitan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) direhatkan disusuli dengan siasatan bebas berhubung isu dakwaan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Selain Azam, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar juga perlu dikenakan tindakan sama sehingga siasatan penuh terhadap Azam selesai.

Turut harus direhatkan ialah Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM, Tan Sri Borhan Dolah.

Menerusi kenyataan bersama hari ini, Majlis Presiden PH berpendapat langkah itu wajar memandangkan Borhan enggan bertindak menyiasat Azam Baki.

Walhal, jelas PH, Azam Baki berkemungkinan telah melakukan kesalahan undang-undang dengan membenarkan akaun saham digunakan oleh adiknya, Nasir Baki secara proksi berkaitan dengan perdagangan berjuta-juta saham dan waran.

“Perlu ada pimpinan baharu yang bersih, profesional dan bebas untuk mengetuai LPPR dan PPPR SPRM agar kewibawaan, integriti dan kredibilit SPRM dapat dipulihkan semula,” kata PH.

Dalam masa sama, Majlis Presiden PH juga memandang serius kenyataan media tiga Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang menyatakan sokongan terbuka terhadap Azam Baki serta membuat tuduhan motif ‘dendam politik’.

“Tindakan janggal mereka secara terburu-terburu menyokong “bos” mereka dengan kenyataan terbuka menyerupai tingkah laku ahli politik dalam sebuah parti politik dan bukannya agensi terhormat seperti SPRM,” katanya.

Sehubungan itu, Majlis Presiden PH berpendapat suatu siasatan yang dijalankan secara mendadak oleh SPRM ke atas Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang sedang menyiasat perdagangan saham secara proksi oleh Azam Baki boleh juga disifatkan sebagai tekanan untuk motif ‘dendam politik’.

“Sebagai penjawat awam, ketiga-tiga pegawai kanan ini patut tahu bahawa kenyataan mereka boleh ditafsir sebagai percubaan mempengaruhi proses siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya, dan mengandungi tuduhan serius yang menimbulkan pelbagai tanda tanya,” tegasnya.

Justeru, Majlis Presiden PH berpendapat pegawai-pegawai kanan terbabit perlu membuat laporan polis dan membiarkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat secara terbuka.

Hal tersebut perlu, jelasnya, memandangkan SPRM sememangnya tidak akan menyiasat Azam secara bebas dan profesional sebaliknya akan ‘membersihkan’ nama beliau.“Kami mengulangi pendirian bahawa satu sidang khas Parlimen perlu diadakan segera untuk merunding dan membincangkan isu yang amat penting ini, sebaiknya sehari sebelum atau selepas sidang khas berhubung isu banjir pada 20 Januari nanti,” tegas Majlis Presiden PH lagi.

No comments: