Sharifah dedah taktik kotor Peja di Perak

 

Panas! Sharifah dedah taktik kotor Peja di Perak


Penggerak Komuniti Negara (PKN) Perak mendedahkan permohonan hampir kesemua ahli mereka yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak diproses walaupun yuran keahlian telah dibayar.

Setiausaha PKN Perak, Sharifah Hazlina Syed Musa Jamalullail berkata, usaha mendaftarkan ahli PKN ke dalam Bersatu bermula selepas Kongres Negara yang berlangsung pada Ogos 2020.

Menurutnya, bagaimanapun kira-kira 2,000 ahli PKN yang sudah menyerahkan borang keahlian menyertai Bersatu masih belum diterima masuk ke dalam parti itu termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong.

“Saya boleh jawab semua hal berkaitan keahlian PKN untuk sertai Bersatu. Saya yang menguruskan semua dokumentasi berkaitan keahlian PKN bagi menyertai Bersatu selepas Kongres Negara yg berlangsung pada Ogos 2020.

“Soal kemasukan keahlian PKN ke dalam Bersatu Perak, saya boleh perincikan satu persatu apa sebenarnya berlaku sehingga membawa kepada tertubuhnya Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang dilancarkan pada 21 Disember lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, keahlian dua ADUN iaitu Paul Yong dan ADUN Buntong, A Sivasubramaniam ke dalam Bersatu telah diuruskan, namun hanya Sivasubramaniam yang diproses dan diterima pada awal tahun 2021.

Katanya, permohonan keahlian Paul Yong yang dihantar serentak bersama permohonan Sivasubramaniam langsung tidak diproses oleh Bersatu sehingga bekas Exco Kerajaan Negeri Perak itu mengambil keputusan untuk menyertai PBM.

Beliau berkata, Paul Yong, Sivasubramian dan ADUN Malim Nawar, Leong Cheok Keng keluar daripada DAP menjadi ADUN bebas untuk menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) Perak ketika Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilantik sebagai Menteri Besar Perak untuk kali kedua.

Sharifah Hazlina berkata, bagaimanapun lantikan barisan kepimpinan PN Perak yang diterajui Ahmad Faizal mengetepikan ketiga-tiga ADUN berkenaan dengan alasan mereka adalah ahli kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu PKN dan bukan sebuah parti politik.

“Hasil laporan serta saranan yang saya sendiri bawa dari Perak ke pengetahuan pimpinan tertinggi PKN Malaysia bahawa PKN Perak dalam keadaan mendesak sangat memerlukan platform politik baharu yang lebih segar bagi menyantuni rakyat dan pengundi pelbagai bangsa membawa kepada penubuhan PBM.

“Mengenai yuran menyertai Bersatu, tidak apa, kami halalkan semua yuran keahlian yang dibayar berkali-kali oleh sesetengah ahli PKN di beberapa bahagian apabila diminta berkali-kali untuk isi borang Bersatu oleh ketua bahagian dengan pelbagai alasan,” katanya yang turut membuat hantaran di Facebook mengenai perkara tersebut.

No comments: